Bagi negara bergolak, Pra-Paskah ialah ‘365 hari derita’

Uskup Agung Yangon mengingatkan umat bahawa bagi kebanyakan orang di kawasan yang dilanda konflik, “Pra-Paskah bukanlah drama 40 hari.”

Mar 01, 2024


TOKYO: Uskup Agung Yangon mengingatkan umat bahawa bagi kebanyakan orang di kawasan yang dilanda konflik, “Pra-Paskah bukanlah drama 40 hari.”

Dalam Misa semasa lawatannya ke paroki Yesuit di Jepun baru-baru ini, Kardinal Charles Maung Bo menyatakan bahawa bagi kebanyakan orang yang terluka dan menderita akibat peperangan dan pertumpahan darah, Pra-Paskah mewakili “365 hari penderitaan, air mata, kehancuran, ketakutan, kebimbangan dan kelaparan yang tidak berkesudahan dari Salib.”

Prelatus itu berkata Pra-Paskah mengajar keluarga manusia pelajaran hebat tentang “pembebasan daripada penindasan, ajakan penyucian diri dan harapan.”

Kardinal Bo merenungkan kisah dari Kitab Keluaran yang “membawa orang-orang Israel ke tanah perjanjian dengan kedamaian dan kemakmuran. “Aku telah mendengar tangisan umat-Ku. Ya! Tuhan kita bukanlah Tuhan yang pasif. Apabila orang miskin menangis, Tuhan mendengar dan campur tangan,” katanya.

Prelatus itu berkata Pra-Paskah fokus untuk memahami kelemahan manusia, seperti yang dialami oleh Yesus semasa digoda di padang gurun.

Ia mengingatkan kita bahawa walaupun Yesus diuji dengan tawaran kuasa, prestij dan kehormatan tetapi Dia menekankan bahawa tunduk kepada dosa adalah jalan menuju kebinasaan diri.

Semasa Pra-Paskah, umat beriman diga-lakkan untuk meneruskan penyucian diri dengan bantuan Roh Kudus sebagai Penolong utama dalam perjalanan rohani mereka, kata Kardinal Bo.

Kardinal Bo berkata bahawa intipati harapan, juga ditekankan semasa Pra-Paskah. Ini jelas digambarkan melalui peristiwa dalam Kisah Para Rasul, di mana Yesus menghabiskan empat puluh hari bersama murid-murid-Nya selepas kebangkitan-Nya.

Harapan mempertahankan iman Kristian bahawa kuasa kejahatan bersifat sementara dan kebaikan pasti menang. Harapan adalah destinasi Pra-Paskah, harapan akan kebangkitan Yesus yang menghapuskan kuasa ke gelapan,” kata Kardinal Bo. — LiCASnews.com

Total Comments:0

Name
Email
Comments