Bapa Uskup hargai 53 tahun Sister FSIC tabur benih iman di K.Penyu

Sudah 53 tahun kewujudan para Sister dari kongregasi Franciscan Sisters of The Imaaculate Conception (FSIC) melayani di Paroki St Peter Bundu.

Dec 01, 2019

KUALA PENYU: Sudah 53 tahun kewujudan para Sister dari kongregasi Franciscan Sisters of The Imaaculate Conception (FSIC) melayani di Paroki St Peter Bundu.

Mereka  telah banyak membantu pembentukan dan perkembangan iman umat sehingga ada yang menjadi paderi dan religius termasuklah Ketua Keuskupan Keningau sekarang, Uskup Cornelius Piong.

Pada 16 November lalu, para sister yang melayani di Paroki St Peter Bundu bersukacita  apabila sebuah konven baharu mereka telah siap dan diberkati oleh Uskup Cornelius Piong.

Upacara pemberkatan dimulakan dengan Misa Kudus. Di dalam homilinya, Bapa Uskup memberikan ingatan kepada semua umat betapa pentingnya iman sebagai seorang Katolik.

Prelatus itu menyatakan bahawa pada masa kini kita semakin terdedah kepada cabaran kerana terlalu sibuk dengan hal keduniaan sehingga menyebabkan seseorang  kehilangan iman. Justeru, menurut Bapa Uskup, sebagai komuniti umat Tuhan yang baik janganlah kita terlalu mengarah kepada duniawi supaya iman kita sentiasa hidup.

Bapa Uskup meminta umat merenung dan mencontohi kehidupan komuniti para Sister yang sentiasa mendahulukan kepentingan hidup menggereja melebihi kehidupan secara duniawi.

Uskup Cornelius juga sempat mengimbau kenangan semasa Konven St Rita Of Cascia dibina   sekitar tahun 1966, di mana pada masa itu terdapat tiga orang Sister FSIC dihantar untuk membantu paderi dan membantu di sekolah mission kendalian Gereja yang kini dikenali sebagai SK St Peter Bundu dan SMK St Peter Bundu.

Dan hasil didikan mereka, ramai yang telah berjaya dalam kehidupan sama ada ada sebagai pemimpin, ahli politik dan berkerjaya  tinggi.

Sr Veronica Kandaung selaku ketua Sister di konven tersebut di dalam uca pannya, sangat bersyukur dan berterima kasih kepada Bapa Uskup Cornelius kerana datang untuk memberkati konven itu dan merakamkan penghargaan kepada semua individu, komiti dan keluarga yang baik hati kerana banyak membantu dalam pembinaan konven St Rita of Cascia.

Sebelum bersurai, Bapa Uskup bersama sister dan umat yang hadir meraikan persaudaraan sambil  menikmati jamuan makan tengah hari. -- Marcus Angang  Hari

Total Comments:0

Name
Email
Comments