Belum dikurniai anak

Saya telah mendirikan rumahtangga selama 12 tahun, tetapi belum dikurniai anak. Suami saya penganut Seventh Day Advent (SDA) dan saya Katolik.

Nov 14, 2020

Soalan: Saya telah mendirikan rumahtangga selama 12 tahun, tetapi belum dikurniai anak. Suami saya penganut Seventh Day Advent (SDA) dan saya Katolik. Kami telah mencuba pelbagai cara dan menjalani rawatan di hospital, berdoa di shrine sehingga kami malas untuk berusaha lagi. Suami mencadangkan agar kami mengambil anak angkat tetapi hati saya belum terbuka dan masih berharap agar Tuhan  memberi keturunan kepada kami. Bagaimana pandangan Father? — Anita

Jawaban: Saya bangga dengan kehidupan anda berdua yang dipandu oleh kesetiaan dan cinta kasih di tengah-tengah cabaran dan tanpa kehadiran anak. Pertanyaan Puan membuat saya yakin bahawa cinta kasih di antara Puan dan suami memang murni dan mempunyai dasar kebaikan. Mempunyai anak memang berkat Tuhan.

Mempunyai anak adalah karunia bebas yang bekerjasama dengan kehendak bebas manusia seiring dengan perjalanan perkahwinannya. Manusia tidak sepenuhnya berkuasa atas anak-anak yang dianugerahkan Tuhan.

Saya belum mengetahui berapa usia Puan sekarang. Apakah Puan sudah memasuki usia lewat hamil dan melahirkan (40 tahun ke atas) atau adakah Puan  masih berada di usia produktif untuk hamil?

Jika sudah di atas 40 tahun, maka Puan perlu membuka diri untuk memiliki anak melalui beberapa cara; mungkin mengambil anak angkat atau meminta nasihat dengan doktor tentang rawatan kesuburan. 

Pengambilan anak angkat di Malaysia kelihatan  remeh tetapi ia tidaklah serumit mana. Dua jenis pengambilan anak angkat di Malaysia ialah sama ada melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat atau pusatpusat perlindungan kanak-kanak dari organisasi Gereja atau terus daripada ibu bapa kandung yang mahu menyerahkan anak mereka dibesarkan oleh orang lain. Kedua-duanya memerlukan proses undang-undang demi kebaikan ibu bapa angkat dan anak yang bakal diambil itu juga.

Pengambilan anak angkat tidak dilarang Gereja kerana adalah baik untuk menyejahterakan dan merawat anak-anak yang terlantar atau yang diabaikan orangtuanya.

Bagi saya, Puan dan suami perlu berkomunikasi dengan baik akan keputusan ini. Cuba catat dan analisis pertimbangan-pertimbangan kalian berdua. Pengambilan anak angkat yang terbaik adalah kalau kedua-dua pihak merasa terlibat aktif; bukan salah satunya, supaya tanggung jawab diambil berdua, termasuk kesan dan akibat memiliki anak angkat yang boleh mengubah rutin anda berdua secara tibatiba.

Jangan terburu-buru mengambil anak angkat kerana pengambilan anak angkat menyangkut seluruh hidup keluarga selanjutnya, melibatkan ramai orang, mempengaruhi hubungan antara anggota keluarga (anda, suami, dan anak angkat). Oleh itu, perlu dipertimbangkan dan diperhalusi jika memilih untuk mengambil anak angkat. Persiapan jangka panjang dan pendek harus dilakukan, khususnya persiapan jangka panjang.

Hal kedua yang sama pentingnya adalah: jika Puan  masih berasa berat hati mengambil anak angkat, anda perlu mengutarakan hal ini kepada suami.

Memiliki anak bukan satu-satunya kebahagiaan yang harus diambil, meskipun memiliki anak sendiri adalah sukacita. Kebahagiaan anda berdualah yang utama. Harus dipastikan bahawa hubungan anda sebagai suami isteri tidak terganggu.

Bersikap realiti boleh membuat anda dan suami mengalami hubungan yang lebih baik. Cubalah mendengar suara suami, mengapa dia ingin mengambil anak angkat. Mendengar dengan hati akan lebih menghasilkan pengertian terhadap pasangan Puan. Jikalau Puan berkeras untuk mempunyai anak sendiri, pastikan  juga anda mengatakan hal ini dengan jelas kepada  suami, kerana anda akan mengusahakannya bersama.

Kalau sudah diputuskan, untuk mengambil anak angkat, maka Puan harus sungguh-sungguh membesarkan dan mengasihi anak angkat seperti anak Puan sendiri, kembangkanlah rasa keibuan itu melalui anak yang akan diambil.

Jika kelak Puan mengambil anak angkat, dan jika anak angkat itu dibesarkan dengan penuh kasih sayang, kelak Puan boleh berharap kebaikan juga. Anak yang Puan ambil pernah mengalami masa  pembuangan, jangan sampai pengalaman ini terulang bersama Puan. Ada seni dalam setiap cerita kehidupan. Anda tinggal memilihnya.

Berdoalah kepada Tuhan agar Dia memberikan tuntunan dan pendampingan. Tuhan memberkati! — Fr Alexander Edwin Santoso MSF, hidupkatolik. com

Total Comments:0

Name
Email
Comments