Bijaksana dalam amalan iman

Bijaksana dalam amalan iman

Nov 30, 2018

HARI MINGGU
PERTAMA ADVEN (C)
YEREMIIA 33:14-16
1 TESSLONIIKS. 3:12 – 4:2
IINJJIIL LUK.21:25-28,34-36

Seorang biarawati bekerja sebagai seorang perawat di rumah sakit. Dia membantu seorang doktor pakar bedah bertahun-tahun lamanya. Setiap kali pembedahan selesai, doktor tersebut selalu bertanya dengan nada mengejek, “Sungguh lucu, sister, setiap kali kita membedah orang, kita tidak pernah menemukan jiwanya.”

Biarawati tersebut selalu menjawabnya sambil lewa, “Kami akan menemukan jiwamu doktor, sebelum engkau mati. Engkau tidak dapat lari dari kenyataan ini. Saya akan sentiasa mendoakanmu.” Seperti biasa doktor tersebut memberi jawapan yang sama: “Lebih baik sister simpan doa sister tersebut untuk orang lain, bukan saya.”

Suatu hari sang doktor pergi bercuti, dan beberapa hari kemudian terdengar berita bahawa doktor tersebut tiba-tiba jatuh sakit lalu meninggal dunia. Biarawati tersebut terus ke chapel dan berdoa, “Tuhan, saya pasti Engkau telah menyelamatkan jiwanya. Di akhir hayatnya Engkau telah memberikannya iman yang teguh.”

Lalu pada penghujung doanya dia menambah “Tetapi bolehkah Engkau memberikan aku kepastian sama ada dia sudah Engkau selamatkan atau belum?”

Memang Tuhan memberikannya jawaban. Sebab beberapa jam kemudian tersebar berita bahawa doktor tersebut telah dibawa ke rumah sakit di mana terdapat ramai biarawati bertugas sebagai jururawat.

Dan doktor itu sendiri telah meminta agar paderi datang membaptisnya. Memang dia sempat dibaptis dan menerima sakramen yang terakhir lalu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Jelas dalam kisah yang menarik ini mengatakan bahawa doa seorang biarawati yang tekun, sabar dan tanpa putus-putusnya itu telah menyelamatkan jiwa seorang doktor yang pada mulanya tidak percaya pada Tuhan itu.

Masa Adven yang kita mulakan pada minggu ini dan berterusan hingga ke hari Krismas, adalah merupakan perayaan ketekunan, kesabaran dan tidak kenal putus asa. Dalam masa kurang lebih empat minggu masa Adven ini, kita diajak untuk merenungi kembali tentang masa yang berabad-abad lamanya menunggu kedatangan Yesus ke dunia ini.

Semangat ketabahan dan kesabaran akan dapat membantu kepada mereka yang selalu dalam keadaan tergesa-gesa dalam segala perkara termasuk dalam hal beribadah kepada Tuhan.

Kita perlu sentiasa ingat bahawa kita melayani Tuhan yang berada di tempat yang abadi di mana terdapat kehidupan yang tidak tergesa-gesa. Tetapi kita yang berada di dunia fana ini selalu diajar dan dikejar oleh masa. Untuk mengenal Tuhan dan juga diri kita sendiri agar menjadi dekat, maka kita perlu sentiasa berfikir dan berdoa kepada-Nya di dalam keadaan yang aman dan ketenangan. Bukan di dalam keadaan tergesa-gesa atau ala kadar belaka.

Tuhan perlu diutamakan di dalam hidup ini. Lebih dari segalanya. Namun kita mesti sentiasa ingat bahawa walaupun Tuhan itu akan datang, tapi kita tidak tahu bila masanya.

Maka tidak hairanlah ramai yang mengeluh: “Mengapa semasa hidup menantikan kedatangan Tuhan saya mengalami pelbagai masalah?” Tuhan, di dalam kebijaksanaan dan kebaikan-Nya, memberi kita pelbagai cabaran yang bukan hanya membuat kita menjadi peribadi yang mantap, tetapi juga mencabar kita untuk mengalami hidup yang tidak selalu selesa.

Apa yang dimaksudkan di sini, bahawa orang-orang yang hidup selesa dan tidak mempunyai apaapa masalah akan menghadapi bahaya untuk melupakan Tuhan. Dia merasakan begitu selesa di dunia ini sehingga lupa akan kehidupan kekal yang sedang menunggunya.

Yesus di dalam Injil tadi menegur kita dengan lantang. “Jagalah dirimu, supaya hatimu jangan sarat oleh pesta pora dan kemabukan serta kepentingan-kepentingan duniawi dan supaya hari Tuhan jangan tiba-tiba jatuh ke atas dirimu seperti mata jerat” (Luk 21:34).

Peringatan untuk berjaga-jaga ini sangat jelas kita lihat dalam bentuk dugaan-dugaan kehidupan seharian dan malah kadang-kadang dalam kejadian-kejadian yang menyayat hati untuk membuat kita agar sentiasa berwaspada bahawa tanpa Tuhan kita tidak boleh berbuat apaapa. Dengan adanya pelbagai dugaan dan tragedi kehidupan tersebut, maka kita akan sentiasa disedarkan daripada sikap kita yang bodoh, yang hanya berpuas hati pada apa yang kita perolehi di dunia yang fana ini.

Apapun yang kita alami dalam kehidupan ini, janganlah membuat kita berputus asa sebab hari Krismas yang kita nanti-nantikan itu bererti Sang Juruselamat datang memberikan kita kekuatan dan penyelamatan.

Apa yang penting kita lakukan sekarang ini adalah melakukan pesan-pesan Yesus sepanjang masa Adven ini. Pertama, MENGETAHUI kehendak Tuhan, kerana itulah yang merupakan sumber kebijaksanaan kita; kedua, MELAKUKAN kehendak Tuhan, kerana itulah yang merupakan kejayaan kita yang terhebat.

Maka marilah sentiasa, “Berjagajaga… sambil berdoa, supaya…beroleh kekuatan untuk luput dari semua yang terjadi itu, dan supaya kamu tahan berdiri di hadapan Anak Manusia” (Luk 21:36). — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments