Cabaran Katekis menghadapi generasi milenium

Sri Paus Fransiskus dalam salah satu siri audiensinya baru-baru ini, menekankan peranan Katekis pada zaman milenium ini agar kreatif dalam mewartakan Khabar Gembira. Para Katekis dituntut memahami segala perubahan yang terjadi zaman ini.

Apr 12, 2019

RANAU: Sri Paus Fransiskus dalam salah satu siri audiensinya baru-baru ini, menekankan peranan Katekis pada zaman milenium ini agar kreatif dalam mewartakan Khabar Gembira. Para Katekis dituntut memahami segala perubahan yang terjadi zaman ini.

Hal senada turut disampaikan oleh Paderi Paroki St Peter Claver Ranau (SPRC) kepada para Katekis dan Katekis Pembimbing, baru-baru ini.

Sempena Tahun Misi Luar Biasa 2019, seramai 226 para Katekis dan Katekis Pembimbing Paroki Ranau telah mengadakan perhimpunan Minggu Kateketikal Peringkat Paroki pada 8 Feb lalu.

Father Nicholas Stephen, Paderi Paroki SPRC berharap agar para Katekis dapat membawa Khabar Gembira Tuhan kepada semua orang dengan tekun, tanpa lelah dan sebagai menunaikan tugasan istimewa mereka orang-orang yang “dibaptis dan diutus”.

“Sebagai seorang Katekis dan Katekis Pembimbing, kesaksian hidup sungguh penting. Pada masa sekarang, kata-kata tidak begitu berkesan lagi sebaliknya tingkah laku, sifat-sifat dan perbuatan kita menjadi sarana teguh orang lain melihat Yesus dalam diri kita.”

Fr Nicholas juga menerangkan bahawa di mana-mana pun, bilangan Paderi amat berkekurangan, maka beliau mengharapkan para Katekis dan Katekis Pembimbing sebagai “kaki, tangan dan mata” Gereja.

“Saya tidak dapat menjangkau seluruh umat di Paroki yang luas ini. Maka kamulah yang menjadi harapan Father untuk mendekati dan melayani umat khususnya di stasi-stasi luar dan tempat terpencil,” kata Fr Nick.

Dalam ucapannya selepas Misa dan Pengutusan, Fr Nick mengajak semua Katekis Pembimbing untuk mencari sukacita dalam pelayanan mereka.

“Kita akan menjadi Gereja yang keluar untuk mendekati umat, keluar untuk membimbing bahawa Gereja bukanlah sebuah bangunan yang kaku sebaliknya badan hidup dan bersukacita berjumpa dengan kanak-kanak yang dibimbing,” kata Fr Nick.

Perayaan Minggu Keteketikal peringkat Paroki Ranau pada tahun ini diadakan di Chapel St Edwin North of Umbrio di Kg Maringkan dalam Zon Nunuk Ragang.

Fr Nick juga mengumumkan bahawa Perayaan Hari Minggu Kateketikal pada tahun 2020 akan diadakan di Zon Perancangan.

Total Comments:0

Name
Email
Comments