Dia yang bernyanyi sama dengan berdoa dua kali

Dia yang bernyanyi sama dengan berdoa dua kali

Sep 14, 2018

LAHAD DATU: Lagu dan muzik tidak dapat dipisahkan dari perayaan liturgi. Lagu dan muzik sentiasa mengungkapkan kekayaan budaya umat Tuhan dan ciri khas perayaan yang sakral dan agung bak kata Santo Agustinus dari Hippo, “Dia yang bernyanyi dengan baik, berdoa dua kali”.

Pada 5 Ogos 2018 yang lalu, Gereja St. Dominic telah mengadakan Pesta Koir peringkat paroki St Dominic. Seramai 700 umat turut serta dalam pesta ini.

Umat memenuhi ruang dewan terbuka St. Dominic untuk bersama-sama bangkit ke arah menghidupkan Misi Gereja serta bersatu di dalam iman Katolik. Tema Pesta Koir pada kali ini cukup menghidupkan aura iman Katolik iaitu, ‘Dia yang menyanyi adalah berdoa dua kali’.

Turut hadir menjayakan pesta ini adalah Bapa Uskup Julius Dusin Gitom, Paderi Paroki Fr. Simon Kontou dan Fr. Marcellinus Pongking.

Pesta koir pada kali ini berjaya mendapat sambutan penuh dari umat yang bersemangat di dalam cintakasih terhadap Yesus Kristus yang ditonjolkan melalui nyanyian-nyanyian koir. Selain itu, pihak penganjur juga berharap sedikit sebanyak dapat berjalan bersama dalam mengumpul dana bagi tabung Gereja dengan adanya anjuran seperti ini.

Upacara dimulakan dengan beberapa persembahan tarian dari Komuniti Pastoral Filipino (FPC), belia TUKAD dan Komuniti Pastoral Indonesia yang mewarnai pentas terbuka Gereja.

Saat mencemaskan berakhir bagi kumpulan yang mengambil bahagian dalam pertandingan apabila St Peter, Kunak diumumkan sebagai juara Pesta Koir 2018.

Naib Johan disandang oleh Maria Ratu Damai, Kg Langsat dan tempat ketiga KKD St. Simon, Putatan manakala Outstasi St Joachim, Tampenau, menduduki tempat keempat.

Semoga pertandingan Pesta Koir ini memberi dorongan dan inspirasi kepada umat Gereja untuk sentiasa berdoa dua kali demi meniup semangat penginjilan di kalangan umat Kristus. — Mazdollyna Majalin

Total Comments:0

Name
Email
Comments