Doa Bapa Suci untuk Sudan, Mozambique

“Di mana sahaja pertempuran berlaku, orang ramai keletihan, letih berperang dan hanya akan membawa kematian, kemusnahan dan tidak akan pernah menyelesaikan masalah.”

Mar 01, 2024

Gambar: Para pelarian Sudan di salah sebuah kem pelarian sedang menunggu bantuan makanan


VATIKAN:
“Di mana sahaja pertempuran berlaku, orang ramai keletihan, letih berperang dan hanya akan membawa kematian, kemusnahan dan tidak akan pernah menyelesaikan masalah.”

Sri Paus Fransikus melancarkan permohonan itu pada hari Minggu selepas doa Angelus bersama umat awam di Dataran Sto Petrus.

Pope mengingatkan bahawa 10 bulan telah berlalu sejak konflik tercetus di Sudan yang membawa kepada situasi kemanusiaan yang serius.

“Saya sekali lagi meminta pihak yang bertelagah menghentikan peperangan yang mendatangkan kemudaratan kepada rakyat dan masa depan negara,” katanya. “Mari kita berdoa agar jalan menuju keamanan segera dicapai demi membina masa depan Sudan yang dikasihi.”

Keganasan di utara Mozambique
Bapa Suci Fransiskus mengeluh tentang “keganasan terhadap penduduk yang tidak berdaya, kemusnahan infrastruktur dan ketidakamanan yang meluas” di Wilayah Cabo Delgado utara Mozambique. Bapa Suci juga sedih setelah mendapat tahu bahawa Gereja mision Katolik Our Lady of Africa di Mazeze juga telah dibakar.

Menurut Oliveira Amimo, pentadbir daerah Chiúre di Mozambique, penyerang bersenjata memusnahkan Gereja Katolik tersebut dan beberapa rumah.

“Mari kita berdoa agar keamanan kembali ke wilayah yang terseksa itu,” kata Paus. Uskup Roma itu juga berdoa untuk orang yang menderita akibat konflik di daerah lain di benua Afrika, di Ukraine dan Tanah Suci.

“Peperangan selalunya kekalahan,” tegas Sri Paus.

“Marilah kita berdoa tanpa jemu, kerana doa itu berkesan dan marilah kita meminta Tuhan untuk karunia fikiran dan hati yang didedikasikan secara konkrit untuk kedamaian.”

Kesengsaraan berterusan di Sudan
Walaupun cubaan untuk menamatkan konflik kejam di Sudan, pertempuran tetap berterusan di negara itu.

Sudan telah menyaksikan pertempuran bersenjata kejam antara tentera Sudan dan Rapid Support Forces –– atau RSF –– sejak April 2023.

Kini, tentera Sudan –– atau SAF –– telah mara di Omdurman buat kali pertama sejak perang dengan RSF meletus.

Omdurman terkenal sebagai bandar kembar kepada ibu negara Sudan, Khartoum, yang terletak di seberang Sungai Nil.

Menurut laporan terbaharu, SAF telah menyertai rakan merka di selatan di mana mereka telah dikepung oleh RSF sejak sepuluh bulan lalu.

Pertempuran di Sudan menyebabkan lebih 25 juta orang bergantung kepada bantuan kemanusiaan dengan lapan juta terpaksa meninggalkan rumah mereka, termasuk 1.6 juta yang telah melarikan diri ke negara lain. — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments