Doa menyebabkan kepurapuraan terhenti

Dua perkara bertentangan mengenai subjek yang sama tidak boleh wujud dalam masa yang sama. Artistotle pernah menerangkan dengan jelas bahawa, siang dan malam tidak boleh wujud dalam satu masa.

Nov 10, 2019

Dua perkara bertentangan mengenai subjek yang sama tidak boleh wujud dalam masa yang sama. Artistotle pernah menerangkan dengan jelas bahawa, siang dan malam tidak boleh wujud dalam satu masa.

Namun perkara yang bertentangan ini wujud bersama di dalam jiwa kita. Pada bila-bila masa sahaja, jiwa kita mempunyai campuran rasa gembira dan sedih, ikhlas dan berpura-pura, mementingkan diri dan tidak mementingkan diri sendiri, bersifat baik dan jahat, memberkati dan berdosa, mahu menjadi kudus tetapi pada yang sama mahu melakukan dosa.

Henri Nouwen pernah menulis bahawa “Kita mahu menjadi santo yang agung tetapi pada masa yang sama, kita tidak mahu ketinggalan merasai keseronokan melakukan dosa.” Ini bermakna, hidup kita tidak sebegitu mudah.

Kita mempunyai bahagian “cahaya” dan “gelap” di dalam hidup dan kelihatannya, pertentangan ini wujud bersama dalam jangkamasa yang lama.

Jiwa kita adalah medan pertempuran di mana sikap mementingkan diri dan tidak mementingkan diri, kekudusan dan dosa selalu bersaing untuk menguasai hidup kita.

Tetapi akhirnya, hanya satu daripada dua perkara yang saling bergelut tersebut yang akan menguasai kita dan membentuk peribadi kita. Inilah sebabnya mengapa Yohanes dari Salib memilih pepatah falsafah dan menggunakan fal safah tersebut sebagai kunci dalam mengajar bagaimana memperoleh kesucian hati dan kekudusan niat di dalam hidup kita.

Ini adalah kerana, subjek yang bertentangan tidak boleh wujud bersama di dalam jiwa kita, kita harus memilih salah satu yang penting. Bagaimana? Kita harus berdoa dengan tekun.

Dua perkara yang saling bertentangan tidak boleh wujud bersama di dalam diri kita sekiranya kita mengekalkan hidup berdoa dengan sungguh-sungguh.

Doa menyebabkan semangat keikhlasan menentang ketidakjujuran, semangat mengorbankan diri mengalahkan rasa mementingkan diri sendiri dan rahmat akan mengatasi dosa. Sekiranya kita mengekalkan ketekunan doa dalam jangkamasa yang lama, kita tidak akan mudah terpedaya dengan prinsip moral yang boleh diubah-ubah. Sekiranya kita mengekalkan disiplin hidup berdoa, kita tidak akan cenderung membuat peraturan moral mengikut kehendak diri sendiri sehingga menyebabkan dosa.

Dengan kesetiaan dalam berdoa, ia akan memastikan kita tidak akan menjalani “dua” kehidupan kerana doa membawa kehadiran Tuhan yang nyata di dalam hidup kita, doa akan menyebabkan rasa mementingkan diri, dosa, suka memberi alasan, menipu diri sendiri dan kepura-puraan — terhenti. Ringkasnya, pada tahap tertentu di dalam hidup, kita akan berhenti berdoa atau berhenti melakukan  perkara-perkara yang buruk. Kita tidak dapat hidup dengan kewujudan kedua-duanya. Perkara paling bahaya akan berlaku sekiranya kita berhenti berdoa.

Dan nasihat ini sungguh praktikal: Kita tidak mampu untuk sentiasa mengawal perasaan atau tindakan kita terhadap sesuatu perkara. Kita tidak dapat mengawal diri kita daripada tidak tergoda dengan sesuatu perkara. Dan tidak ada seorang pun di antara kita yang mempunyai kekuatan untuk menjauhkan diri daripada dosa. Kita mempunyai keterbatasan dalam mematuhi semua prinsip moral akibatnya kita tidak dapat mencapai kekudusan sepenuhnya.

Terdapat beberapa perkara yang di luar jangkauan kita. Tetapi ada sesuatu yang dapat kita kawal, sesuatu yang di luar emosi liar dan godaan.

Kita di kelilingi oleh banyak  perkara tetapi dengan disiplin dan azam yang tinggi, kita akan dapat berdoa dengan tekun. Kita boleh komited untuk aktif berdoa peribadi. Dan sekiranya kita dapat mengekalkan hidup berdoa peribadi meskipun selalu ditimpa rasa bosan dan kekeringan iman, sentiasa tergoda mengubah pendirian serta melakukan dosa, pada akhirnya, doa itu akan menghapuskan tabiat- tabiat buruk dan dosa. Satu subjek tetapi mempunyai dua perkara bertentangan tidak boleh wujud di dalam jiwa kita. Sama ada kita berhenti berdoa atau kita meninggalkan hidup berdosa.

Tidak ada sesiapa yang boleh berdoa secara harian dan meninggalkan perbuatan yang menyebabkan dosa. Oleh itu, tugas kita ialah untuk mengekalkan doa peribadi, menjadikannya amalan harian di dalam hidup kita. Teruskan berdoa seperti biasa meskipun kita mempunyai masalah tentang perkara-perkara yang bertentangan tersebut dan meskipun kita buta terhadap prinsip-prinsip moral hidup sendiri. Apa yang diperolehi melalui doa biasanya tidak kelihatan dan tidak disedari tetapi rahmatnya akan menghapus (Yohanes dari Salib menggunakan kata “membakar”) dosa serta mengatasi rasa suka memberi alasan melakukan dosa.

Ronald Knox juga pernah menulis sesuatu yang serupa mengenai Ekaristi. Bagi beliau, Ekaristi adalah yang paling istimewa, utama dan amalan yang kekal di dalam hidup orang Kristian. 

Mengapa? Knox percaya bahawa sebagai umat Kristian, kita tidak pernah hidup seperti mana yang Kristus kehendaki.

Kita tidak sungguh-sungguh memaafkan musuh-musuh kita, apatah lagi berbaik-baik dengan mereka, memberkati mereka yang menyakiti hati kita, hidup dengan adil dan mengasihi musuh kita.

Tetapi menurut beliau, kita sentiasa taat kepada Kristus dalam satu perkara: Kita setia melakukan satu perintah Yesus iaitu merayakan Ekaristi. Sebelum Dia meninggalkan kita, Yesus memberikan kita Ekaristi dan meminta kita untuk meneruskan perayaan ini sehinggalah Dia kembali.

Sambil menunggu kedatangan- Nya yang kedua, dan selama dua ribu tahun ini kita setia merayakan Ekaristi, meskipun kita sering melakukan dosa. Kita terus merayakan Ekaristi dan pada akhirnya perayaan Ekaristilah yang memanggil kita berulang kali untuk setia kepadaNya. Begitu juga dengan tabiat berdoa, seperti Perayaan Ekaristi, berdoa secara tekun akan mendorong kita untuk setia kepada- Nya.

Oleh kerana dua perkara yang bertentangan tidak boleh wujud dalam satu masa, kita boleh memilih sama ada untuk berhenti hidup berdoa atau berhenti melakukan dosa serta rasionalisasi. Bahaya moral terbesar di dalam hidup kita ialah apabila kita berhenti berdoa! -- Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999-2019

Total Comments:0

Name
Email
Comments