Fransiskus iktiraf uskup ‘tidak sah’ di China

Selepas menandatangani perjanjian sementara Vatikan-China pada 2 Sept tentang penamaan uskup, Vatikan mengumumkan bahawa Sri Paus Fransiskus mengiktiraf tujuh orang uskup yang ditahbis tanpa persetujuan Vatikan sebelum ini.

Sep 28, 2018

KOTA VATIKAN: Selepas menandatangani perjanjian sementara Vatikan-China pada 2 Sept tentang penamaan uskup, Vatikan mengumumkan bahawa Sri Paus Fransiskus mengiktiraf tujuh orang uskup yang ditahbis tanpa persetujuan Vatikan sebelum ini.

Keputusan itu dibuat “dengan tujuan mengekalkan pewartaan Injil di China,” demikian menurut laporan ringkas akhbar Vatikan.

Para uskup yang kini setia dan dalam persekutuan dengan Gereja adalah Uskup Bishop Joseph Guo Jincai dari Rehe; Uskup Joseph Huang Bingzhang dari Shantou; Uskup Paul Lei Shiyin dari Jiading; Uskup Joseph Liu Xinhong dari Wuhu; Uskup Metropolitan Joseph Ma Yinglin dari Kunming; Uskup Joseph Yue Fusheng, pentadbir apostolik di Harbin; dan Uskup Vincent Zhan Silu dari Funing.

Bapa Suci turut mengiktiraf Uskup Anthony Tu Shihua, yang meninggal dunia pada 4 Jan, 2017, tetapi sebelum meninggal, mempunyai hasrat untuk berdamai dengan Takhta Suci.

Sri Paus Fransiskus berharap agar keputusan untuk mengiktiraf para uskup itu, yang sebelum ini ditahbis oleh pemerintah China tanpa izin dari Roma, akan memulakan proses baru “yang akan membolehkan luka-luka masa lalu itu diatasi, yang membawa kepada perpaduan penuh dengan semua orang Katolik China.”

Komuniti Katolik di China “dipanggil untuk menjalani kerjasama yang lebih bersolidariti, bersaudara, dengan komitmen yang diperbaharui, demi mewartakan Injil,” ujar Sri Paus Fransiskus dalam kenyataan tersebut. “Malah, Gereja wujud untuk memberi kesaksian tentang Yesus Kristus dan mewartakan pengampunan serta penyelamatan Bapa.”

Setiausaha Vatikan, Kardinal Pietro Parolin, menghantar satu kenyataan yang mengulas perjanjian sementara di antara Vatikan dan China, dengan mengatakan, “hari ini, buat kpertama kalinya, semua Uskup di China bersekutu dengan Uskup Roma, dengan Penerus Sto Petrus.”

“Sri Paus Fransiskus, seperti pendahulunya, prihatin dan mengambil berat akan Rakyat China. Apa yang diperlukan sekarang ialah perpaduan, kepercayaan dan dorongan baru; mempunyai Pastor yang baik, yang diakui oleh Pengganti Sto Petrus — oleh Sri Paus — dan oleh Pihak Berkuasa sivil yang sah. "

Kardinal Parolin menujukan ucapan itu kepada komuniti Katolik di China, termasuk para imam, uskup, religius dan orang awam, bahawa, "di atas segalanya, komitmen untuk memeterai persaudaraan dan damai ini adalah untuk mengatasi salah faham, ketegangan masa lampau dan isuisu terdahulu.

Parolin berkata matlamat perjanjian itu adalah pastoral dan bertujuan untuk mewujudkan kebebasan dan autonomi yang lebih besar untuk Gereja di China, untuk membantu misinya menyebarkan Injil. Menandatangani perjanjian itu “sangat penting, terutama untuk kehidupan Gereja di China,” katanya.

Juga diumumkan pada 22 September, Sri Paus Fransiskus telah menubuhkan sebuah keuskupan baru di China, “Keuskupan Chengde,” sebagai keuskupan di bawah suffragan Keuskupan Agung Beijing, demi pelayanan pastoral yang lebih efektif untuk umat Tuhan dan mengendalikan pelbagai kebajikan rohani di wilayah itu.

Katedralnya bagi keuskupan baru itu ialah Gereja Yesus Gembala yang Baik, yang terletak di Shuangluan, kota Chengde. — sumber Hannah Brockhaus, CNA/EWTN 

Total Comments:0

Name
Email
Comments