Iman ialah mengasihi dan bersaksi akan Yesus

Iman ialah mengasihi dan bersaksi akan Yesus

Sep 21, 2018

HARI MINGGU BIASA
KE-25 TAHUN B
KEBIJAKSANAAN 2:12,17-20
YAKOBUS :16 – 4:3
INJIL MARKUS 9:30-37

Anthony De Mello, seorang penulis renungan yang terkenal, pernah menulis sebuah renungan yang bertajuk, “Anda dicipta untuk melayani.”

Saya melihat ada seorang gadis cilik di tepi jalan, kedinginan, menggigil dan kelaparan. Saya menjadi marah pada Tuhan dan berkata, “Tuhan, mengapa Engkau membiarkan perkara ini berlaku kepada gadis cilik ini? Mengapa Engkau tidak berbuat sesuatu?”

Pada malam itu juga saya mendengar suara kecil jauh di dalam lubuk hati saya yang berkata, “Saya sudah berbuat sesuatu untuk itu, dengan menciptakan engkau. Apa yang telah engkau perbuat terhadap hal itu pula?

Sedar atau tidak, kita sebenarnya dicipta Tuhan untuk melayani, bukan lebih-lebih untuk dilayani atau menyuruh orang lain melakukan sesuatu agar keadaan menjadi baik.

Sejak dahulu hingga sekarang, memang ramai orang lebih suka dilayani daripada melayani. Orang lebih suka berada di muka umum dengan menampakkan kelebihankelebihan dan kejayaannya.

Memang ramai orang suka mengumpulkan harta benda dan wang ringgit yang banyak untuk didermakan kepada badan-badan kebajikan yang terdaftar supaya nama mereka terpampang di muka hadapan surat-surat khabar utama serta mengukir nama mereka di papan-papan perasmian bangunan yang mereka dermakan.

Ada juga orang-orang yang ingin terkenal melalui buku-buku yang dikarangnya serta meraih pelbagai ijazah. Ada juga mahu terkenal dengan cara menjadi penceramah bebas baik di dalam Gereja mahupun di luar Gereja.

Malah ada juga yang mencipta lagu dan menerbitkan banyak album lagu-lagu yang dinyanyikannya sendiri. Kesemuanya ini tidak mempunyai nilai di mata Tuhan jika ia hanya dilaksanakan berlandaskan kepentingan diri sendiri serta meraih keuntungan dan hanya untuk kemegahan sendiri.

Sikap-sikap duniawi, seperti inipun sebenarnya pernah dialami sendiri oleh para murid Yesus seperti yang terdapat dalam Injil hari ini.

Mereka bertengkar kerana berebut- rebut tempat tertinggi sebab mereka menyangka Yesus datang ke dunia ini untuk membentuk sebuah kerajaan duniawi.

Maka tidak hairanlah kebanyakan ahli-ahli politik pada masa kini pun, saling berebut-rebut untuk mendapat tempat tertinggi di dalam kerajaan dengan apa cara sekalipun demi mencapai cita-cita mereka. Semua perkara ini berlaku mungkin sikap keegoan manusia yang agak keterlaluan sehingga membawa mala petaka pada diri sendiri pula.

Konon suatu ketika, seekor musang bertemu seekor ayam jantan. Dasar musang, dia ingin memakan ayam tersebut dengan cara yang licik. “Hai ayam jantan, perdengarkanlah saya suaramu yang merdu itu.”

Oleh kerana bangga dek dipuji maka berkokoklah si ayam jantan yang ego itu.Pada saat itulah sang musang menerkamnya lalu melarikannya ke dalam hutan. Orang-orang kampung yang melihat lalu berteriak, “Hoi musang lepaskan ayam kami.” Ayam jantang yang mulai sedar bahawa dia ditipu, lalu berkata, “Hei musang, katakanlah kepada orang kampung itu, ‘ayam ini saya punya’ dengan suara yang nyaring.”

Sang musang yang bodoh itu lalu berteriak sekuat tenaganya, “Hai orang kampung, ini ayam sayaaaaaaaaaaaa!” Ayam terlepas dari mulutnya, lalu terbang menyelamatkan dirinya. Musang marah pada dirinya sendiri lalu menghempas-hempaskan mulutnya pada pokok kayu hingga berdarah, “Bodoh, saya memang bodoh, jika tidak malam ini saya makan ayam.”

Pesan Injil pada hari ini sangat mudah dan sederhana. Yesus mengharapkan agar kita berusaha secara sedar, tahu dan mahu untuk tidak mementingkan diri sendiri, tidak terlalu mengharapkan pangkat dan kedudukan. Walaupun seseorang itu berkuasa, terkenal dan disegani, namun jika dia berjiwa sederhana, rendah hati, maka dia akan sentiasa ingat bahawa segala yang dimilikinya itu adalah daripada Tuhan, sebab, “Makin besar engkau, makin patut kau rendahkan dirimu supaya kau dapat karunia di hadapan Tuhan” (1 Sir 3:18). Sikap yang terpuji ini boleh kita miliki hanya jika kita sanggup menolak pengaruh sikap dengki dan cemburu yang keterlaluan di dalam hidup kita.

Yesus berkata, “Orang yang mahu menjadi nombor satu, ia harus menjadi yang terakhir dan harus menjadi pelayan semua orang” (Mk 9:35).

Dengan kata lain, kehebatan kita dinilai oleh Tuhan melalui pelayanan kita terhadap sesama dan komuniti kita tanpa mengharapkan pangkat, pendapatan yang lumayan atau keberuntungan pada masa akan datang.

Salah satu peluang yang ada pada kita adalah menggunakan bakatbakat yang kita miliki untuk membantu sesama kita melalui pelayanan kasih.

Selain wang ringgit dan harta milik, kita sebenarnya mempunyai banyak sumber yang kita miliki untuk dikongsikan pada sesama kita. Misalnya kita mempunyai kemahiran teknologi maklumat, kepimpinan dalam masyarakat dan Gereja, mahir dalam perdagangan, kewangan dan macam-macam lagi.

Ini hanyalah sekadar beberapa contoh yang boleh kita kongsikan bagi kepentingan sesama dalam komuniti kita. Sebab, apabila seseorang itu menggunakan bakat-bakat yang dimilikinya demi pelayanan sesama, percayalah dia akan mengalami suatu kepuasan yang tak terkata sebab dia akan menjadi seperti Yesus yang datang bukan untuk dilayani tetapi untuk melayani. — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments