Karya Mision Kepausan siap siaga bulan misionari luar biasa 2019

Karya Mision Kepausan siap siaga bulan misionari luar biasa 2019

Sep 07, 2018

BUNDU TUHAN: Karya-karya Misi Kepausan (Pontifical Mission Societies/PMS) dari Keuskupankeuskupan Malaysia, Singapura dan Brunei telah mengadakan pertemuan di Pusat Retret Bundu Tuhan pada 25- 26 Julai lalu. Ia dihadiri oleh sembilan orang direktur Misi Keuskupan bersama penasihat rohani mereka, Uskup Agung Simon Poh dari Kuching, Sarawak.

Pertemuan tahunan para direktor yang bertanggungjawab dalam karya mision ini membolehkan mereka merancang, menganjur dan melaksanakan aktiviti-aktiviti misi di rantau ini. Ia juga merupakan masa bagi Direktur Nasional untuk melaporkan aktiviti dan berita yang diterima dari Perhimpunan Agung PMS di Roma pada akhir bulan Mei lalu.

PMS menaungi pelbagai persatuan iaitu Persatuan Penyebaran Iman, Persatuan Sto Petrus Rasul, Persatuan Kanak-kanak Suci dan Persatuan para Paderi dan Religius Misionari.

Persatuan Karya-karya Misi Kepausan ini memikul peranan penting dalam mempromosi semangat misionari sejagat iaitu semangat doa dan pengorbanan di kalangan para Katolik yang sudah dibaptis.

Tiga Persatuan karya-karya misi itu mempromosi dan mengajak umat Katolk yang telah dibaptis agar mengungkapkan komitmen misionari mereka dengan mempersembahkan doa, pengorbanan peribadi dan sokongan kewangan bagi kerja-kerja mision Gereja di seluruh dunia.

Dalam ucapannya, Uskup Agung Simon mengingatkan para direktur bahawa prinsip PMS adalah bersemangatkan misionari serta mengaitkannya dengan objektif Perhimpunan para Klerus Katolik Malaysia kali pertama yang diadakan pada 10-20 Julai, di mana antara lain untuk memperbaharui semangat misionari para klerus melayani di ladang Tuhan.

Uskup Agung Simon juga berkata bahawa salah satu pendirian penting PMS ialah menjadi saksi Injil yang boleh mengubah masyarakat menjadi lebih baik dan sejahtera.

Mesyuarat agung itu juga menumpukan Bulan Misionari Luar Biasa pada Oktober 2019 seperti yang diumumkan oleh Sri Paus Fransiskus pada bulan Oktober 2017, di mana prelatus itu menyeru agar semua Gereja sejagat, mengadakan Bulan Misionari Luar Biasa pada bulan Oktober 2019 untuk merayakan ulang tahun ke-100 Surat Apostolik Sri Paus Benediktus XV, “Maximum Illud”(1919)...

“Maximum Illud” adalah seruan untuk memperbaharui komitmen para paderi dan misionari untuk membangun Gereja lokal dan menyelamatkan bangsanya. Menurut Uskup Agung Simon, ia juga merupakan peluang bagi semua umat Katolik untuk mengambil peranan melalui kerasulan doa dan kemurahan hati bagi kebangunan serta kelanjutan misi Kristus di tempat masing-masing.

Oleh itu, inisiatif cadangan untuk dianjurkan di peringkat Gereja tempatan akan diserahkan kepada Konferensi para Uskup untuk disemak dan diluluskan.

Para direktur juga berterima kasih kepada Uskup Agung John Wong yang sangat bermurah hati dan menyokong penganjuran perhimpunan agung PMS di keuskupan itu.

Total Comments:0

Name
Email
Comments