Kaum muda, jangan takut sahut panggilan-Nya jadi imam Gereja!

“Here am I Lord, Send Me” Isaiah 6:8, adalah tema bagi hari pentahbisan seorang anak muda yang berani menyahut panggilan Tuhan sebagai Paderi iaitu Rev Fr Stanley William Matakim pada Ahad, 1hb Februari 2016 di Gereja St Dominic, Lahad Datu.

Feb 19, 2016

LAHAD DATU (Herald Maalysia): “Here am I Lord, Send Me” Isaiah 6:8, adalah tema bagi hari pentahbisan seorang anak muda yang berani menyahut panggilan Tuhan sebagai Paderi iaitu Rev Fr Stanley William Matakim pada Ahad, 1hb Februari 2016 di Gereja St Dominic, Lahad Datu.

Fr Stanley merupakan Paderi kedua kelahiran Keuskupan Sandakan selepas Fr David A Garaman yang ditahbis pada lima tahun yang lalu.

Ketua Keuskupan Sandakan, Uskup Julius Dusin Gitom memimpin Upacara pentahbisan tersebut bersama 17 orang paderi dari Keuskupan Melaka-Johor, Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan Kuching, Keuskupan Keningau dan Kolej Seminari St. Peter Kuching.

Misa yang bermula tepat jam 4.30 petang dihadiri lebih seribu orang umat termasuk ahli keluarga Fr Stanley.

“Inilah hari yang dijadikan Tuhan. Kita akan bergembira dan bersukacita di dalamnya (Mazmur 118:24). Seperti mana kita berkumpul untuk merayakan dan bergembira pada hari pentahbisan Fr Stanley Wiliam Matakim, marilah kita mengucap syukur dan memuji Tuhan kerana kemurahan hati- Nya.

Perayaan ini adalah satu lagi pencapaian di dalam 8 tahun perjalanan Keuskupan Sandakan iaitu pentahbisan kepaderian kali ke dua,” demikian kata Uskup Julius Gitom, yang juga mengenangkan pentahbisan kepaderian yang pertama pada lima tahun yang lalu iaitu pentahbisan Fr Father David A. Garaman yang juga telah ditahbiskan di Gereja yang sama, St Dominic, Lahad Datu.

"Panggilan Tuhan itu hanya dapat bertumbuh dalam situasi di mana kita memiliki hubungan secara peribadi dengan Tuhan Yesus. Iman kita bukan hanya menghafal doa-doa rasmi Gereja atau menghafal rumusan iman.

“Kita perlu memiliki hubungan peribadi yang akrab dengan Tuhan Yesus dan mengalami keindahan serta sukacita bertemu dangan Yesus,” kata Fr Simon Kontou, rektor Paroki St. Dominic.

Beliau juga menyeru bagi para belia di seluruh keuskupan untuk mencari tujuan hidup yang sebenar dan mencarinya di dalam Tuhan Yesus seraya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada ahli keluarga Fr Stanley yang sanggup datang dari jauh untuk memberi sokongan kepada beliau serta membantu beliau di dalam proses pembentukannya sehingga menjadi seorang paderi.

Dalam pada itu, Uskup Julius mengumumkan bahawa Fr. Stanley akan melayani sebagai pembantu paderi di Katedral St. Mary, Sandakan.

Fr Stanley, berketurunan Kadazan, dilahirkan di Penampang namun membesar di Lahad Datu.

Anak kepada En. William Matakim (mendiang) dan Pheliscita Francis Alasa memulakan kehidupannya sebagai seminarian pada tahun 2007, di Catholic Diocesan Center, Kota Kinabalu, dan selepas itu di Kolej Sto Petrus,Kuching.

Pendedahan pelayanan pastoralnya bermula di Katedral St Mary pada tahun 2012, seterusnya di Paroki St Martin Telupid pada tahun 2013 dan tahun berikutnya di Paroki, Holy Trinity, Tawau.

Selesai sahaja Misa, semua umat dijemput untuk acara pentas di dewan terbuka paroki. Ketibaan Bapa Uskup bersama paderi baru dan semua para paderi yang hadir telah diiringi dengan tarian Sumazau, Tarian Hedung dan Seleng. Acara dimulakan dengan menjamu selera dan diteruskan dengan persembahan pentas dari KKD, stasi luar dan para belia dari seluruh keuskupan.

Total Comments:0

Name
Email
Comments