Kem Pelayan Altar 2016 di Kuala Penyu

Buat Julungjulung kalinya Komiti Liturgi dan Pelayan Altar Paroki St. Peter Bundu telah menganjurkan Kem Pelayan Altar yang berjaya menghimpunkan seramai 138 orang.

Nov 11, 2016

KUALA PENYU: Buat Julungjulung kalinya Komiti Liturgi dan Pelayan Altar Paroki St. Peter Bundu telah menganjurkan Kem Pelayan Altar yang berjaya menghimpunkan seramai 138 orang.

Para peserta terdiri daripada semua pelayan altar yang melayani di Paroki St. Peter Bundu, pelayan altar dari Paroki St. Yohanes Pembaptis Sipitang dan paling istimewa ialah penyertaan para pelayan altar dari Paroki St. Catherine Inanam, Holy Family Telipok, Holy Rosary Limbahau, Good Shepherd Menggatal dan beberapa orang dari Kota Marudu.

Lima objektif utama kem tersebut adalah untuk melahirkan para pelayan Tuhan yang sanggup melayani demi Tuhan; menimbulkan perasaan cinta kasih akan pelayanan, menjalinkan persaudaraan tidak hanya di Keuskupan Keningau tetapi memperluas semangat persahabatan itu dengan Keuskupan lain; menyedarkan para pelayan altar akan kehadiran kerajaan Tuhan adalah anugerah Tuhan yang nyata dalam peribadi mereka, dan memperkasakan jati diri para pelayan altar untuk menjadi agen perubahan dalam memberitakan Injil Yesus dengan penuh kemurahan hati.

Fr. Ronnie Luni selaku Pembimbing Rohani Pelayan Altar Keuskupan Keningau, melalui ucapannya di dalam buku program Kem Pelayan Altar, menyatakan rasa sangat sukacita dan bersyukur beliau kerana kem tersebut berjaya diadakan dengan kerjasama Rektor Paroki St. Peter Bundu, Fr. Boniface Kimsin selaku tuan rumah dan kerjasama yang diberikan oleh paroki-paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu dan Paroki St. Yohanes Pembaptis Sipitang.

Beliau dengan itu merakamkan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat khususnya kepada Ronny Apin selaku ko-ordinator program dan AJKnya.

Selama tiga hari kem diadakan, pelbagai aktiviti dijalani oleh para peserta sejak ketibaan mereka pada 21 Oktober.

Para peserta mengikuti beberapa Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr. Boniface Kimsin dan Fr. Harry Dorisoh. Mereka juga menyertai dengan aktif sesi ceramah berkaitan dengan pelayanan sebagai seorang pelayan altar.

Para penceramah terdiri daripada Fr. Boniface, Fr. Harry dan Sr. Diana Ehing fsic. Kem berakhir pada 23 Oktober dengan Perayaan Ekaristi. Para pelayan altar ini menerima pengutusan oleh Fr. Harry Dorisoh.

Sebelum mengikuti sesi perkongsian dan rumusan serta bersurai, para peserta bergambar di dalam gereja bersama dengan Fr. Harry Dorisoh, Sr. Diana Ehing fsic dan Sdra. Ronny Apin.--Marcus Angang

Total Comments:0

Name
Email
Comments