Kembara mission mahasiswa jangkau para migran

Kembara mission mahasiswa jangkau para migran

Sep 21, 2018

LAHAD DATU: Pada 8-20 Ogos lalu, Paroki St. Dominic Lahad Datu telah menerima kunjungan tujuh orang pelajar IPTA yang ingin melakukan perjalanan mission untuk mengenali dengan lebih dekat dengan kehidupan para migran di daerah ini terutamanya di paroki ini sendiri.

Growing in Faith Together atau lebih dikenali sebagai GIFT merupakan persatuan pelajar Kristian UTM JB yang berada di bawah naungan Catholic Student Society, Keuskupan Melaka-Johor. Tujuh orang pelajar ini terdiri daripada enam orang pelajar UTM Johor Bahru dan seorang pelajar UiTM Shah Alam dan diketuai oleh Karen Chan, Jason Bryan dan Ozwayle Chin. Mereka juga turut digelar sebagai GIFTers.

Mereka tiba di Lahad Datu pada petang 8 Ogos dengan Welcoming Fellowship yang juga dihadiri oleh Father Simon Kontou, Rektor Paroki St. Dominic. Pada keesokan harinya, para GIFTers ini mengikuti orientasi agar mereka lebih bersedia dalam menjalankan aktiviti pada hari-hari seterusnya.

Pada 10 Ogos, tim KPIP yang terdiri daripada Sdra. Kletus Muyuk, Sdra. Aloysius Alo Lein dan Sdra. Rayner Guntingan menyampaikan taklimat mengenai latar belakang migran di paroki ini seperti kedatangan mereka ke Sabah dan juga fungsi Komiti Kristian Dasar (KKD) dalam membantu golongan migran.

Pada sebelah petang, para peserta berdialog dengan para pelajar dan mengongsikan pengalaman mereka di kampus, membuat perkongsian mengenai kehidupan di peringkat pengajian. Melalui sesi ini, para belia berasa semangat dan penuh motivasi untuk menyambung pelajaran mereka selepas SPM. GIFTers juga mendermakan buku-buku rujukan kepada mereka. Sesi diteruskan dengan aktiviti riadah petang bersama para belia yang dikendalikan oleh Pelayan Altar St. Dominic.

Misi mereka bermula pada 11 Ogos dengan mengunjungi St. Simon, Putatan yang menempatkan penduduk yang majoriti berasal dari Indonesia.

Sesi ini terbahagi kepada dua iaitu sesi bersama anak-anak migran dan sesi bersama para migran.

Dalam sesi bersama migran, mereka mendengar perkongsian daripada migran mengenai kehidupan mereka sebelum dan sesudah wujudnya KKD. Pada sebelah petang pula mereka bertolak ke KKD St. Juan, Silam untuk menghadiri Misa Senja di Chapel Our Lady of Pillar dan seterusnya mengadakan sesi bersama para belia Silam. KKD ini menempatkan ramai umat yang berbangsa Filipina. Para GIFTers tidur di rumah angkat pada malam itu.

Keesokan paginya, GIFTers berpeluang untuk mengajar kanak-kanak di sekolah minggu. Ozwayle dan Healice mengajar mengenai Ekaristi kepada anak-anak yang berumur 12 tahun ke bawah, manakala Karen, Worldey dan Jason mengajar kelas Penguatan dengan topik mengenai pertaubatan.

Pada sebelah petang, GIFTers bertolak ke outstasi St. Michael, Lam Soon Plantation (LSP, sebuah ladang kelapa sawit) untuk aktiviti seterusnya. Mereka telah menetap di LSP selama tiga hari dua malam. Di sini, mereka meluangkan masa bersama anak-anak migran yang bersekolah di Community Learning Center (CLC).

Manakala dalam sesi bersama para migran, para GIFTers mendengar cabaran hidup mereka dari segi pengurusan dokumen yang sah dan juga hak untuk mendapatkan pendidikan.

Pada 14 Ogos, GIFTers bertolak ke stasi luar St Anthony, Batu 18 Jalan Sandakan yang juga turut menempatkan ramai pekerja migran Indonesia di ladang-ladang kelapa sawit sekitar St. Anthony. Umat yang hadir telah dipecahkan kepada tiga kumpulan iaitu kanak-kanak, belia dan orang dewasa. Bagi kanak-kanak, GIFTers bercerita tentang Kejadian Dunia dan mengajak mereka menterjemahkannya dalam lukisan manakala bagi kumpulan belia dan orang dewasa, GIFTers membawa mereka berkongsi dan seterusnya mengajar mereka membuat Rosary daripada benang.

Pada sebelah petang, GIFTers telah ditempatkan di tiga buah KKD iaitu KKD St. Christopher, KKD St. Julius dan KKD St. Yakobus. Mereka tinggal di KKD ini selama dua hari dan dua malam. Di sini, mereka merasai kehidupan para migran yang tinggal di kawasan bandar dan mendengar pengalaman hidup mereka. Penghujung program mission ini iaitu pada 17 Ogos, para GIFTers telah diraikan dalam Majlis Perpisahan. Dalam majlis ini GIFTers mengambil kesempatan untuk berkongsi mengenai pengalaman mereka sepanjang berada di Lahad Datu. — Tim KBP St.

Total Comments:0

Name
Email
Comments