Kristus, Sukacita kita!

“Kristus, Sukacita kita!” demikianlah diputuskan tema untuk perayaan Minggu Kateketikal pada tahun 2017.

Nov 08, 2016

PAHANG: “Kristus, Sukacita kita!” demikianlah diputuskan tema untuk perayaan Minggu Kateketikal pada tahun 2017.

Pada 10-13 Oktober 2016 lalu, Komisi Kateketikal Malaysia (KKM) telah mengadakan mesyuarat di Father’s House Tanah Rata Cameron Highlands Pahang. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 18 para perwakilan dari Keuskupan Agung KualaLumpur, Kuching, Kota Kinabalu; keuskupan Melaka Johor, Penang, Miri, Sibu, Keningau, Sandakan; dan Vikariat Brunei Darussalam.

Tujuh orang paderi, termasuk Yang Mulia Uskup Cornelius Piong DD dari Keuskupan Keningau selaku Presiden Episkopal kepada KKM, religius dan umat awam. Mesyuarat ini telah dipengerusikan oleh Pengerusi KKM, Fr. Alvin Ho SJ, dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur.

Mesyuarat KKM ini telah dimulakan dengan perayaan Misa Kudus oleh Uskup Cornelius Piong di mana di dalam homilinya, beliau telah memberikan kata-kata dorongan dan motivasi kepada semua ahli-ahli KKM dalam menghadapi cabarancabaran di dalam pelayanan Kateketikal.

Banyak perkara dan isu telah dibincangkan dalam mesyuarat ini. Salah satunya ialah bagaimana KKM efektif dalam membantu secara lebih sistematik dan teratur pembentukan iman yang berterusan kepada para katekis di peringkat Keuskupan Agung atau Keuskupan dan di peringkat nasional yang boleh memantapkan para katekis dalam menghadapi cabaran-cabaran masyarakat yang lebih moden pada hari ini.

Perkara lain yang telah dibincangkan dalam mesyuarat ini ialah sumber-sumber kateketikal dan bahan-bahan mengajar termasuk Siri Kateketik Malaysia (SKM) yang telah disusun dan dibangunkan lebih 20 tahun yang lalu.

Untuk memperbaiki mutu dan metode katekesis kita pada hari ini, borang-borang soal selidik telah disediakan khas untuk para katekis, para pelajar minggu gembira dan untuk para ibu bapa.

Borang-borang soal selidik ini akan dilaksanakan oleh para Koordinator, Penyelaras Kateketikal Komisi di seluruh Keuskupan Agung/Keuskupan bermula bulan Januari sehingga bulan Jun 2017.

Mesyuarat juga telah membincangkan tentang Konstitusi KKM dan telah membuat beberapa pindaan. Selain dari itu, mesyuarat juga telah membincangkan tema Minggu Kateketikal 2017.

Setelah berbincang dan merenung lebih jauh situasi, cabaran-cabaran iman Katolik umat kita, maka dengan sebulat suara telah memilih tema Kristus, Sukacita Kita (Christ, Our Joy) yang dipetik dari Injil Yohanes.

Fr. Mark Michael dari Keuskupan Pulau Pinang yang akan menyediakan renungan sempena tema ini. Perayaan Minggu Kateketikal yang dirayakan pada bulan September setiap tahun dipindahkan pada bulan Januari 2017 bersesuaian dengan permulaan tahun akademik di Malaysia.

Upacara pengutusan para katekis juga boleh dilakukan pada masa ini. Perayaan Minggu Kateketikal pada tahun 2017 akan dirayakan pada 22 Januari 2017.

Cuaca yang segar dan sejuk di Cameron Higlands telah membantu memberi inspirasi dan fokus yang baik kepada ahli-ahli KKM sehinggakan mesyuarat tersebut telah berjalan dengan baik dan lancar dan menangani banyak isu.

Mesyuarat KKM akan datang akan diadakan di Good Shepherd Seminary, Melaka pada 9-13 Oktober, 2017.--Sr Dariah Ajap FSIC

Total Comments:0

Name
Email
Comments