Lembutkanlah hati ku, lembutkanlah hati mereka

Lembutkanlah hati ku, lembutkanlah hati mereka

Jun 01, 2018

Pada tahun 1996, hampir semua ahli komuniti biarawan Trappis di Atlas, Algeria mati syahid kerana dibunuh oleh pelampau Islam di Atlas, Algeria.

Kebanyakan daripada kita pernah mendengar kisah mereka yang dikenali dengan iman luar biasa dan keberanian mereka menemui ajal , terutama Abas atau ketua mereka, Christian de Cherge. Sesungguhnya, surat-surat terakhir Christian mendedahkan iman dan cinta kasih yang luar biasa.

Sebagai contoh, beberapa bulan sebelum kematiannya, Christian menulis dalam sepucuk surat kepada ahli keluarganya menyatakan bahawa dia telah memaafkan pembunuhnya dan berharap agar mereka akan bersama dengannya di syurga. Dia sudah menyedari yang ajalnya akan tiba.

Ketika bersemuka dengan ketua pengganas yang telah memancung kepala sembilan orang, dia berdoa, “Lembutkan hati saya, lembutkan hati mereka.”

Dalam jurnalnya yang telah kini diterbitkan, dia menceritakan: Pada pagi dia menerima Sakramen Komuni Pertama, dia memberitahu ibunya bahawa dia tidak beberapa memahami apa yang dia buat semasa menerima Ekaristi.

Ibunya menjawab yang dia akan memahami semua itu kemudian hari. Pemahamannya terhadap Ekaristi yang semakin mendalam dapat dikesan dalam jurnalnya, terutama apabila dikaitkan dengan hubungannya dengan Islam dan satu kejadian yang luar biasa dalam hidupnya:

Christian bertugas sebagai seorang pegawai tentera Perancis di Algeria dari Julai 1959 sehingga Januari 1961. Ketika itu, dia mengenali seorang lelaki Islam bernama Mohamed, sudah berkeluarga, orangnya sangat sederhana, tetapi seorang Muslim yang warak. Persahabatan mereka semakin erat.

Pada suatu hari, dalam satu pertempuran kecil, Christian telah ditangkap oleh tentera Algeria. Mohamed, sebagai kawannya, telah campur tangan dan meyakinkan penawannya untuk membebaskannya. Walaupun Christian dibebaskan, Mohamed pula didapati dibunuh hari berikutnya, sebagai membalas dendam terhadapnya yang membantu membebaskan Christian.

Pengorbanan diri kawannya ini, yang telah menyelamatkan Christian, sebenarnya telah melemahkan semangat Christian. Sebagai seorang biarawan, Christian memang berniat untuk kembali ke Algeria dan hidup bersama-sama dengan komuniti Islam di Atlas sehingga akhir hayatnya. Niat ini timbul daripada peristiwa yang menimpa dirinya, dan ia telah membantunya mendalami pemahamannya tentang Ekaristi.

Sekarang dia sudahpun memahami apa yang diberitahu oleh ibunya, “Kamu akan memahaminya kelak": Ekaristi tidak hanya membawa kehadiran Yesus, tetapi pengorbanan Yesus di kayu salib merupakan hadiah kepada kita.

Yesus mati demi penyelamatan kita “dan untuk ramai yang lain juga”; begitu juga kawannya, Mohamed, yang telah mengorbankan dirinya demi menyelamatkan orang lain.

Dan pengorbanannya ini menyerupai kewafatan Yesus. Oleh itu, setiap kali Christian merayakan Ekaristi, dia merayakan juga pengorbanan Mohamed terhadapnya. Mohamed juga telah menumpahkan darahnya demi nyawa orang lain.

Pengorbanan Mohamed telah membantu Christian untuk menyedari dan menghargai pengorbanan Yesus kerana di dalam Ekaristi, Christian percaya bahawa pengorbanan kedua-dua Yesus dan kawannya telah menjadi nyata dan diberi sebagai hadiah.

Christian percaya bahawa pengorbanan Kristus ternyata dalam setiap tindakan berbentuk pengorbanan cinta dan oleh itu, pengorbanan sahabatnya adalah sebahagian daripada pengorbanan Kristus.

Tepat sekali kata Christian kerana setiap kali Ekaristi dirayakan, kita memperingati kurnia Yesus ketika wafatnya, dan ini termasuk perbuatan setiap orang yang telah mencontohi Yesus yang tidak mementingkan diri sendiri tetapi sebaliknya mengorbankan dirinya. Dalam Sakramen Ekaristi, pengorbanan Kristus yang kita peringati termasuk pengorbanan setiap orang yang telah mati demi kebaikan orang lain.

Ekaristi merupakan satu misteri yang luas, dan mempunyai erti yang sungguh mendalam sehingga sukar bagi kita untuk memahaminya. Namun kita bernasib baik: Apabila Yesus memulakan Ekaristi di Perjamuan Terakhir, para rasulnya pun tidak begitu mengerti apa yang dibuat olehNya, dan ini dibuktikan dengan protes yang dibuat oleh Petrus apabila Yesus hendak mencuci kaki mereka.

Tindakan Petrus menunjukkan bahawa dia tidak memahami apa yang dimaksudkan oleh Yesus dalam perjamuan itu. Dengan itu, kata-kata Yesus kepada Petrus dan para Rasul menyerupai apa yang dikatakan oleh ibu Christian kepadanya apabila dia tidak mengerti makna Ekaristi: “Kamu akan mengerti kelak.”

Apabila saya menerima Komuni pertama, pemahaman saya tentang Ekaristi adalah pemahaman seorang kanak-kanak. Sebagai seorang kanak-kanak berumur tujuh tahun, saya percaya bahawa saya menerima tubuh Yesus yang benar dan apabila hos dikuduskan, kita merayakan pengorbanan Yesus yang membuka pintu syurga untuk kita.

Enam puluh kemudian dan selepas memperoleh beberapa ijazah teologi, barulah saya memahami bahawa maksud Ekaristi yang saya percayai sebagai seorang kanak-kanak adalah betul; tetapi saya juga mengetahui bahawa apabila dua perkara, iaitu apabila kehadiran sebenar Kristus dan pengorbanan-Nya kepada kita terurai, kita mendapati diri kita diselubungi misteri yang cukup indah dalam mana, semua orang yang telah berkorban untuk kita demi cinta kasih adalah sebahagian daripada Kehadiran Nyata Kristus.

Dengan itu, kita terus menerima Ekaristi, kerana kita akan memahami maksud dan kepentingannya kemudian. — Oleh Fr Ron Rolheiser, Hak Cipta Terpelihara 1999-2018

Total Comments:0

Name
Email
Comments