Memiliki kasih yang berkobar seperti Kristus

Sakramen Penguatan menyebabkan curahan Roh Kudus dalam kelimpahan, seperti yang pernah dijanjikan oleh Kristus kepada para murid-Nya dan dialami para Rasul pada hari Pentakosta.

Nov 11, 2016

KUALA PENYU: Sakramen Penguatan menyebabkan curahan Roh Kudus dalam kelimpahan, seperti yang pernah dijanjikan oleh Kristus kepada para murid-Nya (Yoh 14:15-21) dan dialami para Rasul pada hari Pentakosta. Curahan Roh Kudus dapat menjadikan kita seperti para rasul, iaitu memiliki kasih yang berkobar kepada Kristus dan keinginan memberikan diri untuk ikut serta dalam karya keselamatan-Nya.

Pada 16 Oktober lalu, seramai 68 orang menerima Sakramen Krisma oleh Uskup Cornelius Piong di Gereja St. Peter Bundu.

Mereka terdiri daripada 43 orang pelajar Buku 10 iaitu para belia yang telah menyempurnakan pembelajaran selama tiga tahun dan 23 orang ialah umat dewasa yang mengikuti Kelas Khas Krisma yang dikendalikan oleh Komiti Kateketikal Paroki St. Peter Bundu secara intensif selama lebih enam bulan.

Sehari sebelum penerimaan Sakramen Krisma, para calon telah mengikuti Rekoleksi sebagai persiapan terakhir mereka.

Selepas Misa Kudus, Kat. Simon Masusih selaku Pengerusi Majlis Pastoral Paroki di dalam ucapannya, merakamkan penghargaan kepada Uskup Cornelius kerana menyempunakan upacara yang sangat bermakna kepada para penerima sakramen Krisma. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Komiti Kateketikal Paroki yang dipengerusikan oleh Kat. Mary Tunsin ISKB dan diselaraskan oleh Kat. Jaffery Singli kerana telah berjaya melaksanakan pelayanan yang dimandatkan kepada mereka.

Paderi Paroki St Peter, Fr. Boniface Kimsin, menyelitkan pesanan kepada para penerima Krisma semasa sesi ucapan. Paderi itu menasihati umat dan para Krismawan bahawa urapan Krisma yang mereka terima kononnya sebagai syarat untuk perkahwinan di gereja adalah salah dan silap. Krisma yang diterima adalah sebagai pelengkap kepada sakramen Pembaptisan yang telah mereka perolehi sebelum ini. Beliau menyeru semua yang telah menerima Krisma pada hari tersebut agar lebih tabah dan kuat serta semakin bijaksana di dalam kehidupan sebagai seorang Katolik walau di mana mereka berada dan semakin aktif membantu di gereja Paroki ataupun di KUK masing-masing.

Uskup Cornelius pula mengucapkan tahniah kepada Rektor Paroki, MPP dan Komiti Kateketikal Paroki di atas komitmen mereka dalam menjayakan upacara tersebut. Prelatus itu bersyukur dan memuji usaha murni para Katekis Pembimbing yang telah bekerja keras bertahuntahun di dalam menyiapkan para belia tersebut.

Kepada para Krismawan, Bapa Uskup menekankan kepada mereka agar sentiasa mencontohi sikap Yesus seperti mana pada malam selepas Perjamuan Terakhir, Yesus datang kepada Bapa dan berdoa.

Katanya, “Kita juga sebagai pengikut Yesus harus memiliki sikap seperti Yesus, iaitu dalam apa juga keadaan, tidak mudah putus asa dan sentiasa bersatu berharap kepada Yesus sebagai Juruselamat kita.”

Seusai sesi ucapan dan bergambar, umat dan para Krismawan beredar ke Dewan Paroki bagi majlis penyampaian sijil, persembahan pentas dan makan bersama.--Marcus Angang

Total Comments:0

Name
Email
Comments