Mengangkat Salib dan bangkit bersama Kristus

“Mengikuti Yesus bukanlah hidup dalam keadaan yang enak-enak, melainkan siap sedia untuk mengalami penderitaan dan penganiayaan kerana iman akan Yesus.

Mar 04, 2016

KENINGAU: “Mengikuti Yesus bukanlah hidup dalam keadaan yang enak-enak, melainkan siap sedia untuk mengalami penderitaan dan penganiayaan kerana iman akan Yesus. Untuk itulah, sebagai umat-Nya, kita perlu setiap hari memohon rahmat dari Tuhan agar siap untuk mengangkat salib-salib kehidupan,” demikian pesan Uskup Cornelius Piong kepada 509 calon baptis peringkat Paroki Katedral St Francis Xavier pada 13 Feb lalu.

Para calon baptis ini menghadiri rekoleksi yang diadakan di Dataran Keuskupan Keningau, sebagai persiapan mereka mengikuti Upacara Pilihan pada keesokkan harinya.

Para calon baptis yang hadir dalam rekoleksi singkat ini, adalah calon-calon yang datang dari 12 Zon (Bingkor, Biah, Senagang, Menawo, Apin-Apin, Magatang, Toboh Laut, Kepayan, KSFX dan naungan) yang bernaung di bawah Paroki Katedral St Francis Xavier, Keningau. Dan di dalam rekoleksi singkat ini, para calon baptis dapat bertemu langsung dengan pembicara khas, iaitu, Bapa Uskup Cornelius Piong sendiri.

Di dalam ceramahnya, Bapa Uskup memberikan nasihat-nasihat kepada para calon baptis, tentang erti menjadi pengikut Yesus yang sejati. Beliau menekankan bahawa bukan jumlah yang diperlukan, melainkan kualiti yang ada dalam setiap calon. Para calon juga diingatkan bahawa kehadiran mereka untuk dibaptis pada malam Paskah nanti, bukanlah disebabkan mahu mendapat nama baru yang popular, melainkan mahu secara peribadi menjadi anak-anak Tuhan dan sekaligus menjadi agen-agen penyebar cintakasih kepada sesama.

Prelatus itu mengutip petikan dari Injil Matius 16:24 yang berbunyi “Lalu Yesus berkata kepada muridmurid- Nya: “Setiap orang yang mahu mengikut Aku, ia harus menyangkal dirinya, memikul salibnya dan mengikut Aku.” Dari petikan ini, para calon baptis diajak untuk mengerti bahawa keputusan mahu mengikuti Yesus, bererti siap untuk mengalami penderitaan dan pencobaan.

Bagaimana para calon baptis dapat menyangkal dirinya, memikul salib dan mengikut Yesus? Sekali lagi Bapa Uskup memberikan petikan dari Kolose 2:7 yang mana: “Hendaklah kamu berakar di dalam Dia dan dibangun di atas Dia, hendaklah kamu bertambah teguh dalam iman yang telah diajarkan kepadamu, dan hendaklah hatimu melimpah dengan syukur”.

Pertama-tama, para calon baptis haruslah memiliki hubungan yang akrab dan dekat dengan Tuhan Yesus. Dengan apa? Dengan berdoa secara peribadi, membaca Alkitab setiap hari, hadir di dalam Adorasi dan Saat Teduh, dan merayakan perayaan Ekaristi sekaligus menghayati Sakramen- Sakramen, iaitu, Sakramen Rekonsiliasi dan Sakramen Ekaristi.

Tanpa hubungan yang akrab dengan Yesus, mustahil bagi para calon baptis untuk setia memikul salib dan meneruskan perjalanannya sebagai pengikut Yesus.

Keesokan harinya, kesemua 495 para calon baptis, diselidiki oleh Bapa Uskup dan 12 calon mewakili setiap Zon naik ke halaman altar dan menandatangani buku upacara penerimaan dan diterima sendiri oleh Bapa Uskup untuk dibaptis pada malam Paskah nanti.

Total Comments:0

Name
Email
Comments