Menggunakan talenta untuk memuliakan Tuhan

Ketiga-tiga perumpamaan itu semuanya memberi keterangan tentang hal-hal mutlak penting yang harus diperhatikan tentang Kerajaan Tuhan yang diwartakan dan didirikan oleh Yesus Kristus.

Nov 14, 2020

HARI MINGGU BIASA KE-33 TAHUN C
Kebijaksanaan 31, 10-13. 19-20. 30-31;
1 Tes 5, 1-6.
Injil Matius 25, 14-30 (Atau 14-15. 19-20)

Injil Matius hari ini memuat ajaran-Nya tentang nilai bakat-bakat atau talenta, yang diberikan Tuhan kepada setiap orang. Perumpamaan tentang talenta itu (Mat 25;14-30) sebelumnya didahului dengan perumpamaan tentang 10 gadis yang bijaksana dan bodoh (Mat 25:113). Dan sesudahnya perumpamaan tentang penghakiman terakhir (Mat 25:31-46).

Ketiga-tiga perumpamaan itu semuanya memberi keterangan tentang hal-hal mutlak penting yang harus diperhatikan tentang Kerajaan Tuhan yang diwartakan dan didirikan oleh Yesus Kristus.

Dengan perumpamaan tentang talenta dalam Injil Matius hari ini Yesus mahu menerangkan apa yang harus diperhatikan dan dilaksanakan dalam Kerajaan Tuhan, yang diwartakan dan didirikan-Nya.

Setiap orang diberi Tuhan bakat, talenta, karisma. Dengan pemberian Tuhan itu kita masing-masing dapat saling memberi dan menerima. Yesus berha dapan dengan ramai orang Yahudi, yang memandang Tuhan sebagai seorang hakim yang kejam, yang akan menilai dan mengadili manusia menurut ukuran ketaatannya dalam melaksanakan hukum.

Manusia semacam itu hidup dalam ketakutan dan kekhuatiran, sehingga mengalami banyak kesukaran untuk bertumbuh dan berkembang menjadi manusia dewasa dan matang. Untuk menolong dan mengubah sikap hidup orang yang hidup dalam ketakutan itu, Yesus berceritera tentang talenta-talenta dan sikap serta cara untuk menggunakannya.

Tuhan memberikan talenta kepada setiap orang sesuai dengan kemampuannya. Tetapi reaksi, jawaban atau penggunaan talenta mereka masingmasing tidak sama.

Kedua-dua orang hamba yang menerima banyak talenta tahu menggunakannya dan menggandakan apa yang diberikan kepada mereka. Oleh itu, mereka diberi kepercayaan lebih besar.

Tetapi hamba yang ketiga tidak menggunakannya, malahan hanya menyembunyikannya kerana takut akan kehilangan talentanya itu. Hamba ini memandang Tuhan sebagai seorang hakim yang tidak bertimbang rasa dan kejam. Oleh kerana itu, hamba yang ketiga tersebut berasa takut.

Orang yang mempunyai pandangan bahawa Tuhan sangat tegas dan kejam, akan hidup dan berbuat hanya dengan tujuan agar jangan sampai dihukum Tuhan. Orang seperti itu sebenarnya bukan orang yang percaya kepada Tuhan yang maha adil dan mahakasih.

Tanggapan yang disampaikan oleh si pemilik wang kepada hamba ketiga merupakan suatu teguran yang keras. Beliau berkata: “Seharusnya wangku itu kuberikan kepada orang yang menjalankan wang, supaya sekembaliku aku menerimanya serta dengan bunganya” (Mat 25:27). Dengan bahasa kita sekarang kata-kata Yesus itu dapat diterjemahkan sebagai berikut: 

“Seharusnya wangku itu kau bawa ke sebuah Bank, maka aku akan mendapat bunganya, baik sedikit mahupun banyak”. – Ternyata pandangan hamba ketiga itu, iaitu bahawa Tuhan adalah keras atau kejam, adalah salah!

Kalau Tuhan adalah keras atau kejam, maka Dia akan menyimpan wang titipannya itu di sebuah bank.

Maka hukuman yang diberikan Tuhan kepada hambanya itu bukan kerana Tuhan adalah keras atau kejam, melainkan kerana kesalahan hamba itu sendiri, kerana dia memiliki pandangan tentang Tuhan yang keliru! Pandangan yang keliru tentang Tuhan, itulah yang  membuat manusia menderita dan sengsara! Tuhan yang sebenarnya baik dan penuh kasih dianggap keras dan kejam.

Talenta atau “wang” yang dimaksudkan dalam perumpamaan Injil Matius hari ini adalah “kekayaan” yang ada di dalam Kerajaan Tuhan, iaitu kasih, pelayanan, pengabdian, berbahagi diri, kebersamaan.

Sebaliknya setiap orang yang tidak hanya memikirkan dirinya sendiri, dan memberikan milik diri peribadinya sendiri kepada sesama, akan bertumbuh dan berkembang, bahkan menerima kembali apa yang diberikannya, malahan lebih banyak dari apa yang diberikannya kepada orang lain.— Iman Katolik 

Total Comments:0

Name
Email
Comments