Menjambatani jurang yang mustahil dirapatkan

Menjambatani jurang yang mustahil dirapatkan

Sep 28, 2018

Selain dari pada itu, di antara kami dan engkau terbentang jurang yang tak terseberangi, supaya mereka yang mahu pergi dari sini kepadamu ataupun mereka yang mahu datang dari situ kepada kami, tidak dapat menyeberang.

Abraham mengucapkan kata-kata ini kepada sebuah jiwa di dalam neraka dalam perumpamaan yang terkenal tentang Orang Kaya dan Lazarus (Lukas 16, 19-21) dan pada umumnya, kata-kata itu bermaksud bahawa wujudnya jurang syurga dan neraka, jurang yang mustahil untuk dihubungkan atau dirapatkan.

Tiada sesiapa yang dari neraka dapat masuk ke syurga. Neraka bersifat selama-lamanya dan di sana, tidak ada penyesalan atau pertobatan yang akan membawa seseorang dari neraka berpindah ke syurga. Sesungguhnya, sekali di dalam neraka, tiada sesiapa di syurga yang dapat membantu anda, ada jurang di antara kedua-duanya dan jurang itu adalah kekal jauh.

Tetapi perumpamaan itu sebenarnya bukanlah tentang jurang yang tidak dapat diseberangi.

Beberapa tahun yang lalu, Jean Vanier menyampaikan kuliah Massey yang berprestij dan beliau telah menerangkan perumpamaan ini. Beliau menekankan bahawa perumpamaan Orang Kaya dan Lazarus bukanlah mengenai jurang antara syurga dan neraka, seperti yang difahami oleh orang ramai sekarang ini.

Sebaliknya, bagi Vanier, jurang yang tidak dapat dirapatkan di dunia ini sudah lama wujud iaitu jurang antara orang kaya dan golongan miskin, jurang yang sehingga kini masih tidak dapat dijambatani.

Selain itu ia adalah jurang yang mempunyai banyak dimensi daripada yang kita bayangkan. Apa yang memisahkan orang kaya dari golongan miskin begitu jelas ada jurang yang dalam, seolah-olah tidak dapat dijambatani? Apakah yang akan dapat merapatkan jurang itu?

Nabi Yesaya menawarkan sesuatu yang dapat membantu gambaran kita (Yesaya 65, 25). Yesaya memberitahu akan sebuah mimpi ilahi yang dialaminya yang memberitahu bahawa jurang itu akhirnya akan dapat didekatkan atau dijambatani.

Yesaya mengatakan jurang yang dalam itu akan rapat pada zaman Mesianik, ketika kita berada di syurga kerana di sanalah, rahmat Tuhan akhirnya dapat mempengaruhi seluruh sejagat untuk berdamai sehingga “serigala dan domba akan makan bersama” (atau , seperti yang selalu kita dengar, “singa dan anak domba akan berbaring dan bermain bersama.”)

Singa dan anak domba akan berbaring bersama.Tetapi singa membunuh anak domba! Bagaimana ia dapat diubah? Itulah jurang yang tidak dapat dikawal antara syurga dan neraka.

Itulah jurang antara mangsa dan pembunuh, jurang antara yang tidak berkuasa dan yang berkuasa, yang dibuli dan pembuli, yang dipandang hina dan yang mulia, yang ditindas dan yang menindas, korban dan rasis, yang dibenci dan yang membenci, abang yang sulung dan adik yang hilang, miskin dan kaya. Itulah jurang antara langit dan neraka.

Jika ini adalah gerak hati Yesaya, maka saya fikir, gambaran ini mengandungi satu cabaran yang kuat yang melampaui kedua-dua cara:

Bukan hanya singa yang perlu berubah dan menjadi sensitif, memahami dan tidak terlalu keras untuk berbaring bersama domba; domba itu juga perlu berubah dan meningkatkan usaha dalam memahami, mengampuni dan percaya demi dapat berbaring bersama dengan singa.

Ironinya, ia mungkin cabaran yang lebih besar bagi anak domba daripada singa.

Apabila pernah terluka, pernah menjadi mangsa, pernah dibenci, pernah diludahi, pernah diperkosa, pernah dipukul oleh pembuli, pernah di diskriminasi kerana jantina, bangsa, agama, atau orientasi seksual, ia adalah amat sukar, hampir mustahil untuk benar-benar memaafkan, untuk melupakan dan mempercayai orang yang menyakiti kita.

Ini adalah kata-kata yang sukar, tetapi kehidupan kadang-kadang boleh menjadi tidak adil dan mungkin ketidakadilan paling besar yang pernah kita alami ialah menjadi mangsa, dikasari, diperkosa, atau dibunuh, tetapi atas segala perkara salah dan tidak adil ini berlaku kepada diri kita, kita diminta untuk memaafkan orang yang melakukannya kepada kita sambil pada masa yang sama mengetahui bahawa orang yang menyakiti kita mungkin lebih mudah melupakan insiden itu dan berdamai. Itu mungkin ketidakadilan yang paling besar bahawa anak domba itu harus memaafkan singa yang membunuhnya.

Tetapi inilah adalah undangan kepada kita semua yang pernah menjadi mangsa.

Parker Palmer menyatakan keganasan adalah cetusan atau perlakuan kasar apabila seseorang tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan dengan penderitaan, dengan kesakitan akibat didera oleh keluarga sendiri, menderita akibat perkauman, seksisme, homofobia, dan penghinaan terhadap golongan miskin menjadikan mangsa sukar menerima semua ini. Parker mengatakan, dalam hal ini, kita perlu "imaginasi moral" yang lebih besar.

Saya sependapat dengan Parker. Saya percaya, pada kedua-dua pihak: keganasan seseorang berpunca apabila dia tidak tahu apa yang harus dilakukan dengan penderitaan mereka dan kita memerlukan imaginasi moral yang lebih besar. Tetapi dengan memahami bahawa mereka yang mendera kita mengalami kesakitan yang mendalam, bahawa pembuli adalah kerana mereka pernah dibuli — tidak banyak meringankan rasa sakit dan penghinaan yang pernah mereka lakukan terhadap kita.

Begitu juga, jika kita membayangkan betapa baiknya dan betapa mulianya jika bertindak sebagai orang Kristian yang tabah, juga tetap tidak memberi kekuatan untuk memaafkan. Ada sesuatu yang diperlukan, iaitu kekuatan yang di luar jangkauan kita.

Ini adalah sebuah pengajaran yang sukar, yang sukar untuk difahami dan disampaikan dengan jelas. Bagaimana anda memaafkan seseorang yang mengasari, memukul dan melukai anda?

Dalam kehidupan ini, mungkin ia mustahil, tetapi ingatlah kata-kata Yesaya tentang masa penyelamatan, sebuah masa apabila pada akhirnya, dengan bantuan Tuhan, kita akan dapat menjambatani jurang yang tidak dapat dijambatani. — Hakcipta Terpelihara 1999-2018 @ Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments