Mesyuarat Komisi Kateketik SeMalaysia di Keuskupan Keningau

Pada 25- 28 Januari 2016, Komisi Kateketik SeMalaysia telah mengadakan Mesyuarat Tahunan di Rumah Retret Keuskupan Keningau di Tatal.

Feb 26, 2016

KENINGAU: Pada 25- 28 Januari 2016, Komisi Kateketik SeMalaysia telah mengadakan Mesyuarat Tahunan di Rumah Retret Keuskupan Keningau di Tatal. Perwakilan dari semua kesembilan Keuskupan dan Keuskupan Agung hadir ke mesyuarat ini.

Perbincangan memokus pada pembentukan katekis yang berterusan dan yang mengintegrasikan pembentukan peribadi, kerohanian, pengetahuan dan kemahiran mereka. Setiap perwakilan keuskupan diminta menyediakan modul pembentukan katekis yang lengkap yang akan dikongsikan dalam mesyuarat Komisi yang akan diadakan pada bulan Oktober tahun ini.

Siri Kateketik Malaysia terbitan Konferens Uskup SeMalaysia yang telah digunakan secara bertahap sejak 2005 juga dibincangkan. Para katekis semakin tercabar dalam usaha mereka untuk menyampaikan katekesis mingguan yang lebih menarik dan berkesan di dalam keadaan dunia yang semakin modern dan berubah.

Oleh itu, setiap perwakilan Komisi keuskupan masingmasing akan membuat penyelidikan untuk memahami situasi dan pemikiran generasi muda kita sekarang supaya dapat menyediakan bahan katekesis yang lebih sesuai dengan keadaan dan keperluan para pelajar.

Panduan borang soalselidik ini akan disediakan oleh Fr. Alvin Ho, SJ dari Keuskupan Agung Kuala Lumpur. Topik-topik pembelajaran tambahan untuk generasi muda sekarang yang tidak terkandung dalam Siri Kateketik Malaysia boleh disampaikan dalam Kem, Rekoleksi dan sesi pembentukan iman yang diadakan secara khusus.

Berhubungan dengan katekesis bagi kanak-kanak pra-sekolah, Sr. Maria Chan berkongsikan tentang Katekesis Gembala Baik.

Bahan pengajaran-pembelajaran untuk Inisiasi Kristian Dewasa (IKD) yang disediakan oleh Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah dikongsikan. Pada mula tahun ini, bahan itu boleh digunakan sebagai percubaan sebelum dibukukan.

Minggu Kateketik akan dirayakan pada 18 September 2016, bertema “Berbelas Kasihan seperti Bapa (Lukas 6:36)” sesuai dengan tema perayaan Gereja sejagat pada Tahun Belas Kasihan. Renungan tema ini akan di sediakan oleh Fr. Simon Yong, SJ dari Keuskupan Melaka Johor.

Pemilihan Ahli Jawatankuasa baru juga telah diadakan seperti berikut: Pengerusi: Fr. Alvin Ho, SJ — Keuskupan Agung Kuala Lumpur

Timbalan Pengerusi: Fr. Mark Michael — Keuskupan Pulau Pinang. Setiausaha: Michell Wong — Keuskupan Agung Kuala Lumpur

Pembantu Setiausaha: Sr. Dariah Ajap — Keuskupan Agung Kota Kinabalu

Para perwakilan sempat melawat Bukit Sosopon, sebuah pusat ziarah di mana terdapat pintu Jubilee Tahun Belas Kasihan di Keuskupan Keningau. Para perwakilan juga disambut dengan meriah oleh umat di Gereja Katolik St. Blasius, Magatang, Keningau dan saling beramah mesra.

Mesyuarat Komisi Kateketik SeMalaysia akan diadakan selanjutnya di Keuskupan Agung Kuala Lumpur pada 10-13 Oktober 2016. -- Sr. Dariah Ajap, FSIC

Total Comments:0

Name
Email
Comments