Novena ... apakah ia berkesan?

Novena ... apakah ia berkesan?

Aug 24, 2018

Soalan: Saya tidak berpeluang mempelajari mengenai doa Novena secara mendalam semasa belajar di kelas Inisiasi Kristian Dewasa dahulu. Bolehkah pihak anda menerangkan apa itu doa Novena? -- Lorena, Kajang.

Jawaban: Singkatnya, Novena adalah doa peribadi atau doa bersama selama sembilan hari berturut- turut agar suatu hajat itu terkabul atau memohon kurnia khusus. Novena berasal dari kata Latin “novem” yang ertinya “sembilan”. Doa novena juga selalu digalakkan bagi perkara-perkara yang mendesak.

Asal usul doa Novena ini sukar ditentukan kerana Perjanjian Lama tidak mencatat perayaan doa selama sembilan hari di kalangan bangsa Yahudi. Tetapi di dalam Perjanjian Baru, pada peristiwa Kenaikan Tuhan Yesus, Tuhan memberikan Perutusan Agung kepada para rasul, dan kemudian menyuruh mereka untuk kembali ke Yerusalem dan menunggu kedatangan oh Kudus.

Dalam Kisah Para Rasul, tercatat, “Maka kembalilah rasul-rasul itu ke Yerusalem dari bukit yang disebut Bukit Zaitun, yang hanya seperjalanan Sabat jauhnya dari Yerusalem. Mereka semua bertekun dengan sehati dalam doa bersamasama” (Kis 1:12, 14). Sembilan hari sesudahnya, Roh Kudus turun atas para rasul pada hari Pentakosta. Kemungkinan, “tempoh doa sembilan hari” yang dilakukan oleh para rasul inilah yang menjadi asas kepada doa Novena.

Ada kemungkinan juga, amalan doa Novena ini diambil dari budaya bangsa Romawi kuno. Sebelum kedatangan agama Kristian, bangsa Romawi kuno mengamalkan doa selama sembilan hari untuk memohon perkara-perkara yang baik. Sejarahwan Romawi bernama Titus Livy mencatat bagaimana doa sembilan hari itu dirayakan di Gunung Alban untuk menolak bala atau murka para dewa seperti yang diramalkan oleh para tukang tenung.

Beliau juga menyatakan bahawa doa sembilan hari dipersembahkan apabila suatu “hal baik” diramalkan akan terjadi. Keluarga-keluarga yang kematian orang dikasihi akan berkabung selama sembilan hari selepas pengebumian.

Bangsa Romawi juga merayakan parentalia novendialia, iaitu novena tahunan (Feb 13-22) iaitu upacara mengenang anggota-anggota keluarga yang sudah meninggal dunia. Oleh kerana amalan Novena ini merupakan sebahagian daripada budaya Romawi, ada kemungkinan umat Kristiani “mengKristiankan” amalan kafir ini.

Walaupun asal usul doa Novena ini sukar ditelusuri namun di kalangan umat Kristian perdana memang wujud amalan masa berkabung selama sembilan hari atas meninggalnya seseorang yang dikasihi. Maka, pada akhirnya, Misa Novena dipersembahkan bagi kedamaian kekal jiwa.

Hingga sekarang, terdapat praktik novendialia atau Novena Paus, yang dilaksanakan apabila Bapa Suci meninggal dunia, seperti yang kita saksikan semasa Paus Yohanes Paulus II meninggal dunia.

Pada Abad Pertengahan, terutama di Sepanyol dan Perancis, doa Novena biasa dipanjatkan sembilan hari menjelang Natal, melambangkan sembilan bulan yang dilewatkan Tuhan kita dalam rahim Santa Perawan Maria.

Doa Novena khusus ini membantu umat beriman mempersiapkan diri merayakan dengan tekun kelahiran Tuhan kita. Lama-kelamaan pelbagai macam Novena disusun untuk membantu umat beriman mempersiapkan diri menyambut suatu pesta istimewa atau untuk memohon pertolongan seorang Kudus dalam masalah tertentu.

Beberapa Novena popular yang diasaskan serta diguna secara meluas oleh Gereja kita adalah Novena Medali Ajaib, Novena Hati Kudus Yesus, Novena Roh Kudus, Novena St Yosef, Novena St Yudas Tadeus, dan sebagainya.

Di dalam buku “Pedoman Indulgensi” terdapat catatan menyatakan, “Indulgensi sebahagian diberikan kepada umat beriman yang tekun menyertai kegiatan rohani Novena yang diadakan sebelum perayaan Natal, atau Pentakosta, atau Hari Raya Santa Perawan Maria Dikandung Tanpa Dosa.”

Di sini, Gereja menekankan bahawa Novena merupakan amalan rohani yang saleh, yang meneguhkan individu agar individu tersebut tekun berdoa serta selalu mengingat kebaikan Tuhan yang sentiasa menjawab semua doa-doa kita menurut kehendak ilahi-Nya. — The Arlington Catholic Herald

Total Comments:0

Name
Email
Comments