Orang Asli rai Hari Kebangsaan di Pos Kemar

Buat julung-julung kalinya, sebuah perayaan telah dianjurkan untuk meraikan Hari Kemerdekaan dan menghimpunkan Orang Asli dari pelbagai kampung di Perak.

Sep 21, 2018

GERIK: Buat julung-julung kalinya, sebuah perayaan telah dianjurkan untuk meraikan Hari Kemerdekaan dan menghimpunkan Orang Asli dari pelbagai kampung di Perak. Ini merupakan cita-cita kerajaan negeri baharu Perak dan untuk merealisasikannya, ia disokong oleh pelbagai perkumpulan termasuk tim Kerasulan Sahabat Orang Asli (SOA) Perak.

Perhimpunan itu diadakan di Pos Kemar, Gerik, dihadiri oleh penduduk Orang Asli dari 15 buah perkampungan yang mempunyai populasi penduduk lebih kurang 4,500.

Acara itu diadakan selama tiga hari dua malam. Antara perkumpulan Orang Asli yang datang dari pelbagai tempat di Perak ialah dari Tapah/Caremon Highlands, Simpang Pulai dan Kampar. SOA membantu dari segi menyediakan logistik, kenderaan dan keperluan bagi Orang Asli yang melawat ke tempat itu.

Orang-orang Asli di perkampungan Pos Kemar gembira menikmati pelbagai kemudahan ekonomi dari penyediaan pengangkutan air, rumah tumpangan dan pelbagai makanan yang disediakan sepanjang perhimpunan itu. Terdapat juga individu dan pihak-pihak yang bermurah hati untuk menampung sedikit perbelanjaan bagi kelancaran perhimpunan tersebut.

Sebelum acara tersebut, SOA telah membantu pembiayaan pembinaan dewan komuniti baharu dan dua buah chalet ekopelancongan di kampung tersebut. Dewan dan chalet itu digunakan sepenuhnya sempena acara tersebut.

Kemuncak perhimpunan itu ialah lawatan mengejut dari Menteri Besar yang baharu, YAB Tuan Ahmad Faizal bin Dato' Azumu. Orang-orang Asli tersentuh dengan kerendahan hati Menteri Besar yang masih muda itu malah sedia mendengar pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi dalam kehidupan serta yang menggugat cara hidup tradisional Orang Asli.

Selain mengadakan dialog dengan ketua-ketua kampung Orang Asli, YAB Tuan Ahmad Faizal juga melawat sekolah, klinik kesihatan dan sumber air di Pos Kemar serta prihatin dengan kondisi keadaan mereka masa kini. Lawatan dan keprihatinan Menteri Besar telah disiarkan beberapa kali di akhbar nasional.

Kami optimistik bahawa dengan lawatan itu, akan membawa harapan baharu bagi Orang Asli di Perak bahawa kerajaan negeri menjayakan usaha lebih baik untuk membantu meningkatkan kualiti kehidupan Orang Asli.

Pada akhir perayaan, Konsert Merdeka yang dijadualkan hampir berakhir dengan bencana apabila tempat penganjuran dilanda ribut taufan yang hampir memusnahkan pentas yang dibina. Namun, dengan kecekapan pihak penganjur, konsert itu dipindahkan ke tempat yang lebih selamat dan tidak ada kemalangan jiwa yang berlaku.

Perayaan Hari Kebangsaan itu tetap meninggalkan kenangan manis dan amat bermakna di hati para Orang Asli yang datang ke situ.

Total Comments:0

Name
Email
Comments