Patung Maria ‘menangis’ bebas dari unsur semula jadi

Patung Maria ‘menangis’ bebas dari unsur semula jadi

Sep 21, 2018

LAS CRUCES, New Mexico: Seorang uskup New Mexico memberikan maklumat terkini tentang patung Bonda Maria yang dilihat mengalirkan air mata, mengatakan keuskupan masih menyiasat dan akan mula menganalisis kejadian luar biasa itu.

Uskup Oscar Cantu dari Las Cruces berkata fenomena yang berlaku di Paroki Our Lady of Guadalupe di Hobbs, New Mexico, nampaknya tidak mempunyai sebab semula jadi.

“Fasa pertama siasatan adalah untuk menentukan sama ada fenomena itu boleh dijelaskan oleh sebab semula jadi. Setakat ini, kita tidak menemui sebab-sebab semula jadi bagi patung itu mengeluarkan cecair,” katanya dalam satu kenyataan pada Ogos.

“Jika penyebab fenomena itu adalah luar biasa (supernatural), kita harus melihat apakah itu dari Tuhan atau dari setan. Saya mengingatkan anda bahawa Gereja percaya kepada kewujudan malaikat yang jatuh, yang kadangkadang cuba menipu kita,” tambahnya. Patung yang diperbuat daripada gangsa di Gereja Our Lady of Guadalupe mulai mengalirkan air mata pada 20 Mei lalu, sehari selepas Hari Besar Pentakosta dan pada Perayaan Maria, Bonda Gereja dan sekali lagi mengalirkan air mata pada Perayaan Hati Kudus Maria, 9 Jun.

Dikhabarkan, bahan yang ditemui pada patung itu berbau minyak zaitun wangian bunga ros, yang hampir serupa wangiannya dengan minyak krisma suci. Menurut siasatan juga, tidak ada apa-apa di bahagian berongga patung yang boleh mencipta cecair.

Proses siasatan juga termasuk menemu bual kilang pembuat patung itu dan menurut Uskup Cantu, pemilik kilang mengatakan proses pembuatan patung mereka melibatkan proses kepanasan tinggi, yang mencairkan cetakan acuan lilin yang membentuk patungpatung tersebut dan tidak meninggalkan kesan lilin yang mungkin menyumbang kepada fenomena tersebut.

Father Jose Segura, paderi paroki melaporkan kejadian patung Maria mengalirkan air mata kepada Uskup Cantu. Siasatan kemudiannya dimulakan oleh canselor keuskupan Fr Enrique Lopez dan naib canselor Diakon Jim Winder, yang mengumpulkan sampel air mata dan para saksi yang menyaksikan fenomena itu.

Setelah memberikan maklumat terkini siasatan kepada umum pada 15 Julai, Uskup Cantu berkata patung yang menangis itu bukanlah hasil daripada punca semula jadi yang mereka uji. Dalam satu kenyataan baru-baru ini, uskup berkata ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk menentukan asalusul air mata yang luar biasa itu.

Penelitian dan siasatan sama ada fenomena itu daripada Tuhan atau Kejahatan akan mengambil proses yang panjang. Iblis kadang-kadang boleh meniru hal-hal suci untuk mengelirukan kita. Oleh itu, kita mesti berhati-hati dan berjaga-jaga.

Prelatus itu juga mengingatkan umat Katolik bahawa Gereja membezakan antara wahyu awam dan peribadi. Wahyu umum, yang ditutup selepas kematian rasul yang terakhir, katanya, berbeza dari wahyu peribadi kerana ia tidak memberikan pengetahuan baru mengenai keselamatan.

“Tidak ada maklumat baru mengenai keselamatan kita yang dapat diperoleh dari wahyu peribadi. Mesej wahyu peribadi hanya menegaskan semula dan menyerlahkan apa yang telah diturunkan Kristus dalam Kitab Suci dan Tradisi,” katanya.

Oleh itu, Maria dan orangorang kudus selalu membawa kita kembali kepada Yesus dan kepada Gereja. Itulah sebabnya Maria memberitahu Santo Juan Diego, ‘pergi kepada uskup,’ dan ‘membina rumah ibadat’.” — CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments