Pelayan Altar dipanggil serlahkan keagungan Ekaristi

Pelayan Altar dipanggil serlahkan keagungan Ekaristi

Oct 05, 2018

PAITAN: Mission Paitan amat teruja menerima kehadiran 78 orang remaja pada 23-26 Ogos lalu. Kehadiran para remaja itu adalah untuk menyertai Kem Pelayan Altar yang buat julung-julung kalinya dianjurkan di Gereja St Francis of Asisi, Kampung Sukang Paitan.Para peserta datang dari sebelas chapel di bawah naungan Mission Paitan.

Kem Pelayan Altar bertema, “Melayani Sesama dalam Kasih Tuhan” bertujuan memberi pendedahan kepada belia Mission Paitan untuk mengambil bahagian dalam apa juga pelayanan; mengeratkan hubungan dengan menjalinkan kerjasama di kalangan peserta; mengalakkan peserta melayani dalam pelayanan Altar dan membentuk belia yang berani menjadi pelayan Tuhan dan melayani di ladang Tuhan

Selepas pendaftaran dan doa petang, diadakan taklimat daripada Father Thomas Makajil, acara suai kenal sambil ber-BBQ. Pada masa yang sama tag nama diedarkan dan pembahagian kumpulan diadakan. Hari pertama diakhiri dengan doa malam, membersih dewan dan seterusnya kembali ke tempat penginapan masing - masing.

Hari kedua kem dimulakan dengan Misa yang dipimpin oleh Fr Thomas. Selepas Misa, para peserta memuji dan menyembah Tuhan diikuti sesi pertama, “Panggilan sebagai Pelayan Altar” oleh Katekis Gabriel JP Lim. Dalam sesi ini, para peserta didedahkan dengan panggilan dan bagaimana melayani sebagai seorang pelayan altar. Selain itu mereka juga diberi pengetahuan tentang panggilan dan pelayanan lain yang sesuai dengan para belia.

Kem pada hari kedua diteruskan dengan sesi kedua yang disampaikan oleh Fr. Thomas iaitu Santo Penaung bagi Pelayan Altar. Peserta diperkenalkan dengan Santo Penaung bagi Pelayan Altar iaitu Santo Tarsisius. Semoga dengan mengenali Santo penaung pelayan altar ini, para peserta akan lebih berminat untuk melayani lebih sungguh sebagai pelayan altar.

Pada sebelah petang para peserta didedahkan dengan pelbagai doa seperti meditasi dan doa Kerahiman Ilahi. Aktiviti diteruskan dengan Running Servers, permainan yang memerlukan peserta untuk menyelesaikan masalah, memberi pendapat dan bekerjasama sebagai satu pasukan. Games ini bertujuan untuk meneguhkan semangat dalam pelayanan agar tidak mudah berputus asa dalam pelayanan dan kehidupan seharian. Sebelum kembali ke penginapan masing-masing para peserta berdoa Rosari bagi penutup aktiviti petang.

Pada sebelah malam, peserta dibawa dalam berdoa Taize. Ini merupakan pengalaman yang pertama kali bagi kebanyakan peserta yang mengikuti kem ini. Mereka amat menyukai doa ini dan berharap agar Doa Taize ini dapat diteruskan.

Pada hari ketiga, aktiviti dimulakan dengan doa Rosari, diikuti dengan Misa. Sesi ke-3 diteruskan dengan tajuk, “Asas Pelayanan sebagai Pelayan Altar” oleh Katekis Gabriel JP Lim.

Dalam sesi ini, para peserta didedahkan dengan tatacara Liturgi dalam Misa dan tatacara pelayanan pelayan altar dalam misa. Para peserta memberi respon yang sangat baik dan telah mengikuti semua arahan yang diberikan.Diharapkan sesi ini dapat membantu para pelayan altar mengaplikasikannya di chapel masing-masing.

Sesi berikutnya, “Alat-alat Lain yang Digunakan dalam Misa” oleh Fr Thomas membimbing para peserta untuk mengenal penggunaan alat-alat yang digunakan semasa perayaan Ekaristi. Kemudian Katekis Gabriel membimbing para peserta dalam sesi empat dan lima, “Objek Sakramental yang Lain”.

Dalam sesi ini, para peserta diminta untuk mengingati semua peralatan yang digunakan semasa perayaan Ekaristi. Sesi ini juga memberi kesempatan kepada para peserta untuk membuat praktikal dalam perjalanan tatacara sebagai pelayan Altar secara berkumpulan.

Kem pada hari ketiga dilanjutkan pada sebelah malam dengan tayangan video sepanjang program, disusuli sesi pujian dan penyembahan. Kem ini diakhiri dengan perkongsian dari peserta dan AJP. Dalam perkongsian, mereka sangat gembira kerana diberi kesempatan untuk mengalami pengalaman yang baru dan dapat mengenal pelbagai cara untuk berdoa.

Bagi peserta kanak-kanak, mereka sangat gembira dan berharap akan dapat melayani sebagai pelayan altar apabila mencapai usia yang layak. Dapat dilihat keterujaan mereka yang begitu ketara dan bersungguh-sungguh menjalankan setiap arahan diberi ketika sesi-sesi praktikal. Adalah menjadi harapan agar mereka menjadi pelapis kepada pelbagai pelayanan yang ada di Gereja.

Misa Kudus penutupan merupakan acara kemuncak pada hari keempat yang dipimpin oleh Fr. Thomas. Fr. Thomas berharap agar program seperti ini dapat dianjurkan pada tahun hadapan bagi menghasilkan belia yang mampu berfikir secara kritikal dalam apa juga situasi dan mempersiapkan mereka untuk berhadapan dengan pelbagai cabaran hidup.

Paul Miming Basingan, salah seorang daripada AJP Kem Pelayan Altar, berharap agar dalam penganjuran kem Pelayan Altar kali kedua pada tahun hadapan akan lebih dapat membawa para belia untuk tekun melayani Tuhan dan mampu mengelakkan diri daripada gejala sosial yang semakin berleluasa.

Seorang lagi AJP iaitu Joanna Ayang Joseph (SOCCOM Belia Mission Paitan), berharap agar para belia di Mission Paitan dapat meneguhkan iman mereka dan terus melayanni Tuhan seturut denga tema “Melayani Sesama dengan Kasih Tuhan.” Meskipun tinggal di bahagian pendalaman, kesatuan para peserta ini membuktikan mereka boleh menghidupkan Ekaristi sebagai sumber pengharapan iman.

Rosemary Ondong Joseph, selaku Pengerusi Penganjur berharap agar para belia di Mission Paitan tidak akan merasa mereka tidak dipedulikan, tercicir dari Gereja atau tidak layak melayani Tuhan akibat rasa rendah diri.

Rosemary berharap agar kelemahan itu dijadikan pencetus semangat untuk belajar sesuatu yang baru dan menjadikan doa sebagai sumber kekuatan dalam pelayanan dan kehidupan sehari-hari. Beliau juga rasa bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi salah satu penganjur dan berharap pada tahun hadapan ramai lagi belia yang akan menyahut panggilan sebagai AJP.

Alice Iling, melayani sebagai penjaga masa bagi Kem Pelayan Altar, sangat gembira kerana diberi peluang untuk mendengar keluhan dan masalah yang dihadapi oleh para belia di Misi Paitan.

Dia berharap agar belia dapat menjalankan hidup mereka dengan kasih Tuhan dan mengelakkan diri dari gejala sosial yang tidak baik.

Total Comments:0

Name
Email
Comments