Pintu Suci KK bakal ditutup

Pada tarikh yang sama juga, Sri Paus akan mengakhiri Tahun Belas Kasihan di Roma.

Nov 08, 2016

KOTA KINABALU: Keuskupan Agung Kota Kinabalu secara rasmi akan mengakhiri Tahun Luar Biasa Belas Kasihan pada 20 November 2016, pada jam 5.00 petang di Katedral Hati Kudus. Pada tarikh yang sama juga, Sri Paus akan mengakhiri Tahun Belas Kasihan di Roma.

Semua umat dijemput hadir untuk menyaksikan upacara ini. Perayaan Ekaristi akan dipimpin oleh Uskup Agung John Wong. Sempena penutupan Tahun Jubli ini, pada akhir Misa Kudus, umat akan berpeluang menonton beberapa acara penting yang dijalankan sepanjang Tahun Belas Kasihan di Keuskupan Agung Kota Kinabalu.

Sepanjang Tahun Belas Kasihan ini, Keuskupan Agung KK telah banyak menganjurkan pelbagai seminar dan pembinaan yang menekankan keagungan belas kasihan serta cinta kasih Tuhan. Empat Pintu Suci yang dibuka di keuskupan agung ini juga dikunjungi ribuan orang.

Antara acara besar yang dilaksanakan sepanjang Tahun Belas Kasihan ialah “24 Jam Bersama Tuhan” pada 4-5 Mac lalu, Hari Belia Sabah ke-4 yang diadakan di Tawau, Sabah, Jubli bagi para Katekesis pada 24 September dan Konferensi Wanita Katolik kali ke-3.

Keuskupan Agung KK juga dirahmati pada Tahun Belas Kasihan ini di mana seorang pemuda yang berani menyahut panggilan Tuhan, Fr Joshua Liew, telah ditahbis sebagai Paderi pada 3 Mei lalu.

Sebelum penutupan Tahun Jubli Belas Kasihan, Katedral Hati Kudus merayakan ulang tahun ke-35 pada 19 November, 2016, jam 6.00 petang.

Katedral Hati Kudus telah menjadi saksi penting beberapa peristiwa bersejarah Gereja iaitu pengangkatan Keuskupan KK sebagai Keuskupan Metropolitan (2008) dan dua pentahbisan episkopal pada tahun 1987 dan 2010.

Total Comments:0

Name
Email
Comments