Rumah-Ku akan disebut rumah doa

“Rumah-Ku akan disebut Rumah Doa,” demikian antara salah satu tema pemberkatan dan perasmian tiga bangunan gereja baru di Keuskupan Keningau.

Nov 08, 2016

KENINGAU: “Rumah-Ku akan disebut Rumah Doa,” demikian antara salah satu tema pemberkatan dan perasmian tiga bangunan gereja baru di Keuskupan Keningau.

Gereja Santo Yohanes Vianney, Kg Sanang, Gereja Santa Anna, Inandung dan Gereja St Emmanuel, Kg Libodon merupakan antara gerja yang telah dibuka, dirasmikan dan diberkati oleh Uskup Cornelius Piong sempena Tahun Belas Kasihan ini.

Ketiga-tiga gereja itu telah memberi sukacita dan keselesaan kepada penduduk tempatan untuk beribadat dan memuliakan Tuhan.

Gereja Sto Yohanes Vianney diberkati dan dirasmikan pada 6 Mei, Gereja St Emmanuel pada 17 Julai dan Gereja Sta Anna pada 26 Julai.

Dalam salah satu ucapannya ketika memberkati dan merasmikan gereja di Kg Sanang, prelatus itu menyatakan bahawa dengan terdirinya gereja baru itu, diharapkan umat menjadikannya sebagai bait Tuhan yang hidup, sebagai tempat untuk mewartakan Khabar Gembira dan menjadikan Tuhan sumber Terang dalam keluarga, masyarakat dan bernegara.

Uskup Cornelius berharap, dengan berdirinya Gereja ini, ia mampu mempersatukan seluruh umat untuk sama-sama beribadat memuliakan Tuhan Yesus dan juga sentiasa menjadi sumber kebaikan dengan umat yang berbeza agama mahupun gereja.

Ketika merasmikan Gereja Santa Anna, Inandung, Bapa Uskup berpesan kepada umat setempat agar sentiasa berjumpa dan berdialog dengan Tuhan di rumah-Nya.

Semasa berada di Gereja Emmanuel, Kg Libodon, Bapa Uskup menegaskan kepada umat agar sentiasa memperhatikan dan memperbaharui hubungan mereka dengan Tuhan, prihatin kepada keperluan orang lain dan memelihara bangunan gereja baru itu agar ia dapat menjadi tempat pertemuan sukacita bagi umat beriman dan mereka yang mahu mengenal Kristus.

Total Comments:0

Name
Email
Comments