Siapa masyarakat pada hari ini tanpa religius?

Merayakan Misa Kudus sempena penutupan Hari Hidup Bakti di Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu pada 31 Januari lalu.

Feb 26, 2016

Salam damai Editor,

Merayakan Misa Kudus sempena penutupan Hari Hidup Bakti di Katedral Hati Kudus Kota Kinabalu pada 31 Januari lalu telah membuka mata saya terhadap sumbangan cemerlang dan tulus ikhlas para religius terhadap masyarakat masa kini.

Pada zaman moden ini, di dalam kesibukan manusia mahu menjadi mewah dan keselesaan menjadi keutamaan, hidup religius mahupun selibat bukanlah pilihan utama.

Ramai yang memandang rendah dengan pilihan hidup tunggal untuk Tuhan, berfikiran sempit bahawa kehidupan itu tidak membuahkan hasil dan menyangka bahawa hidup religius itu hanya berdoa di biara sahaja. Ramai yang tidak tahu, para religius melayani di tempat-tempat yang tidak mahu dituju oleh kita, melayani mereka yang telah dilupakan oleh masyarakat misalnya warga emas, orang kurang upaya dan para migran.

Para religius berada di tengah-tengah golongan yang menderita akibat peperangan dan keganasan. Di samping para sukarelawan, para religius ini menggadai nyawa, memberikan rawatan, memberi harapan dan menghibur mereka yang putus harapan.

Para religius juga memberi khidmat cemerlang dalam pendidikan dan kesihatan. Memberi latihan kemahiran dan pendidikan pada kaum muda yang tidak mampu untuk meneruskan persekolahan kerana kemiskinan. Para religius misalnya yang berada di pedalaman, contohnya di Paitan, Sook, Nabawan, memberi harapan kepada kanak-kanak, belia dan wanita dengan memberikan mereka pendidikan dan kemahiran.

Tempat-tempat yang tidak ada kemudahan elektrik, yang tidak ada penghawa dingin, tanpa Astro, tanpa kemeriahan pusat membeli belah, di sinilah para religius ini melayani tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.

Oleh itu, saya amat berharap para Paderi memberikan banyak kesedaran kepada para belia melalui khutbah dan program-program panggilan, bahawa siapalah masyarakat pada masa kini, dan bagaimana rupa Gereja pada masa kini, tanpa kehadiran religius?

Bibiana Southwell
Kota Kinabalu

Total Comments:0

Name
Email
Comments