Sri Paus, pemimpin Lutheran berikrar pulihkan kesatuan

Sri Paus menyertai para pemimpin Lutheran World Federation (LWF) dalam sebuah ibadat sempena perayaan ulang tahun ke-500 Reformasi

Nov 08, 2016

LUND, Sweden: “ Pengalaman rohani Martin Luther mencabar kita untuk beringat bahawa tanpa Tuhan kita tidak dapat berbuat apa-apa," Sri Paus Fransiskus menyatakan kenyataan tersebut semasa ibadat doa ekumenikal di Lund, Sweden pada 31 Oktober lalu.

Sri Paus menyertai para pemimpin Lutheran World Federation (LWF) dalam sebuah ibadat sempena perayaan ulang tahun ke-500 Reformasi. Pada akhir ibadat, Bapa Suci dan Uskup Munib Youhan, presiden LWF, menandatangani sebuah kenyataan bersama di mana mereka berikrar untuk meneruskan usaha sama demi memulihkan kesatuan Kristian dan kesatuan penuh di antara Katolik dan Lutheran.

Paus Fransiskus terbang ke Malmo, Sweden pada waktu pagi hari Isnin, 31 Oktober. Meskipun kunjungan Bapa Suci ini bukanlah acara rasmi negara namun setibanya di Malmo, prelatus itu disambut oleh Perdana Menteri Stefan Lofven.

Fransiskus turut mengadakan kunjungan kehormat kepada Raja Carl Gustaf XVI dan Pemaisuri Silvia sebelum beredar ke katedral Lutheran di Lund. Di Lund, Uskup Roma itu disambut oleh pemimpin utama Lutheran Sweden, Uskup Agung Antje Jackelen.

Dalam ibadat itu, Uskup Youhan mendahului ucapannya. Ini disusuli oleh Sri Paus yang menyampaikan ucapannya dalam bahasa Sepanyol.

Katanya, “Sebagai Katolik dan Lutheran, kita telah memilih sebuah perjalanan yang damai," ujar Bapa Suci. Beliau mengungkapkan doa kesyukuran sempena kejayaan karya ekumenikal sejak 50 tahun yang lalu, dan menyatakan bahawa pengiktirafan bersama ulang tahun Reformasi boleh menjadi “peluang baru untuk menerima jalan yang sama.”

Sri Paus berkata bahawa "perpecahan antara kita telah mencetuskan penderitaan dan salah faham, namun ia juga telah membawa kita untuk mengenal secara jujur bahawa tanpa [Yesus] kita tidak dapat berbuat apa-apa.”

Kita juga perlu melihat dengan cinta kasih dan kejujuran tentang masa lalu, mengakui kesalahan dan memohon keampunan kerana hanya Tuhan satu-satunya hakim kita. Kita patut mengakui bersama, dengan kejujuran dan cinta kasih bahawa perpecahan antara kita telah menjauhkan kita daripada hati nurani yang dianugerahkan oleh Tuhan kepada kita, di mana secara alamiah, ia rindu untuk menjadi satu, dan bahawa ia telah diabadikan sejarah oleh yang berkuasa di dunia ini daripada umat beriman, yang sentiasa dan di mana-mana perlu dibimbing pasti dan penuh kasih sayang oleh Gembala Baik itu.

Sudah tentu, terdapat usaha ikhlas daripada kedua-dua pihak untuk menjunjung dan mempraktikkan iman yang sejati tetapi pada masa yang sama, kita sedar, bahawa kita menutup diri kita kerana ketakutan atau prejudis terhadap iman yang diamalkan oleh orang yang berbeza loghat dan bahasa.

Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani pada akhir ibadat oleh Paus Fransiskus dan Uskup Youhan, para pemimpin Katolik dan Lutheran mengakui bersama bahawa, “Lutheran dan Katolik telah melukai kesatuan utuh Gereja.”

Menurut mereka, perbezaan teologi yang disertai prejudis, konflik serta agama yang digunakan bagi politik ... Pada hari ini, kami mendengar perintah Tuhan untuk mengetepikan segala konflik. Kami mengakui bahawa kita dibebaskan oleh rahmat-Nya untuk melangkah ke arah kesatuan dengan Tuhan yang tidak pernah berhenti memanggil kita.

“Kami ingin kelukaan dalam Tubuh Kristus ini disembuhkan,” ujar kenyataan ini lagi.

Kenyataan bersama ini khususnya ditujukan bagi prospek perkongsian Komuni dengan menumpukan bagi perkahwinan berlainan iman.

“Kami turut merasai kesakitan yang dialami oleh mereka yang mempersembahkan seluruh hidup mereka tetapi tidak dapat mengongsikan kehadiran Tuhan yang menebus kita di meja Ekaristi," ujar kenyataan tersebut yang memberikan petunjuk pertama bagi polisi yang memungkinkan perkongsian Komuni bagi pasangan berkahwin.

Kenyataan bersama itu turut menggesa Gereja Katolik dan LWF untuk bekerjasama bagi isuisu sosial seperti yang telah ditekankan oleh Paus Fransiskus termasuk melindungi kaum pelarian dan migran serta melindungi alam sekitar.--CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments