Sri Paus tenang biar pun Vatikan kelam dan gelisah

Sri Paus tenang biar pun Vatikan kelam dan gelisah

Sep 14, 2018

VATIKAN: Sri Paus Fransiskus tetap tenang di tengah- tengah “kekacauan”. Tetapi Vatikan amat kecewa dan resah. Kardinal Pietro Parolin, Setiausaha Vatikan, memberikan kenyataan pertama selepas pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadap Bapa Suci selepas mantan utusan Vatikan ke Amerika Syarikat, Kardinal Carl Maria Vigano menuduh Paus Fransiskus juga menutupi kes salah laku seorang klerus dari Amerika.

Dakwaan Vigano yang terkandung dalam dokumen 11 mukasurat itu telah tersebar di seluruh dunia, menyebabkan rakan-rakan Fransiskus berasa amat kecewa, sedih dan.

Kesal. Menurut Vigano, pada tahun 2013, Sri Paus Fransiskus telah diberitahu tentang salah laku seksual yang dilakukan selama bertahun-tahun oleh kardinal dan bekas uskup agung Washington, Theodore McCarrick.

Vigano menuduh Fransiskus tidak berbuat apa-apa untuk mengambil tindakan terhadap McCarrick.

Tuduhan Vigano itu ditepis oleh Kardinal Parolin sendiri dan beberapa prelatus senior di Kuria Vatikan.

Ditanya bagaimana Fransiskus menghadapi kritikan dan kecaman terhadap beliau, Kardinal Parolin mengatakan Sri Paus menghadapinya dengan tenang.

"Saya membaca kenyataan dari Jabatan Akhbar Vatikan yang mengatakan Fransiskus baik-baik sahaja dalam menghadapi 'taufan' akibat tuduhan Vigano.

Dari apa yang saya lihat, dan dari pemerhatian saya semasa dan selepas kunjungan ke Ireland pada 25-26 Ogos lalu, Sri Paus tidak terganggu dengan berita-berita panas susulan tuduhan Vigano.

Kardinal Parolin juga mengatakan bahawa kunjungan Sri Paus ke Ireland adalah untuk persidangan keluarga tetapi prelatus itu tidak mahu melepaskan peluang untuk bertemu dengan para mangsa salah laku penderaan seksual yang dilakukan oleh klerus.

Kardinal Parolin juga tidak menafikan bahawa beliau amat terluka dengan sikap Vigano, di mana mereka berdua pernah bekerjasama dalam jangka masa yang lama. Parolin bagaimana pun enggan untuk mengulas mengenai dakwaan Vigano.

Kardinal itu enggan menyatakan apa yang benar dan apa yang salah dalam dokumen itu sebaliknya mengulangi apa yang Fransiskus telah katakan: Baca dokumen itu dan anda nilailah sendiri. Teks itu sendiri akan memberikan jawapannya.

Katanya, "Saya berdoa agar kita semua mencari kebenaran dan berjuang demi keadilan, inilah perjuangan kita yang sebenar, bukan perkara lain. Tetapi situasi sekarang tidaklah membimbangkan.

Ia masih terkawal meskipun ramai yang kecewa dan amat terluka dengan dokumen itu. —VIS

Total Comments:0

Name
Email
Comments