Tambahkanlah iman kami!

Kadangkala apa yang kita harapkan kita terima dari Tuhan, bukan itu yang kita dapat, tetapi lebih baik dari apa yang kita harapkan.

Nov 14, 2019

PAITAN: "Kadangkala apa yang kita harapkan kita terima dari Tuhan, bukan itu yang kita dapat, tetapi lebih baik dari apa yang kita harapkan.  Maka apa yang Tuhan mahukan daripada kita adalah untuk membahagikan iman itu kepada orang lain," ujar Uskup Julius Dusin Gitom semasa melawat Mision Paitan pada 5-6 Oktober lalu.

Kunjungan Bapa Uskup itu adalah bersempena Empat Perayaan yang diraikan serentak di St Francis of Asissi Kg Sukang, Paitan. Empat perayaan istimewaan itu ialah Program Pesta Santo Penaung St. Francis Dari Assisi, Misa Kudus penerimaan Sakramen Krisma, Ulang Tahun Keuskupan Sandakan Ke-12 Peringkat Mision Paitan dan Ulang Tahun Kelahiran Bapa Uskup ke-62.

Terdahulu, bagi calon penguatan, telah diadakan rekoleksi bagi mereka pada 4-5 Okt di gereja St. Francis Of Assisi. Sesi di sepanjang rekoleksi ini disampaikan oleh Fr. Thomas Makajil, En. Adaris Moses Sintan, Pn. Martina Josiana dan Katekis Gabriel sebagai persiapan akhir sebelum para calon Krisma menerima Sakramen Penguatan pada 6 Okt.

Rekoleksi para calon penguatan berakhir pada 5 Okt dan diteruskan dengan acara sukaneka yang meriah disertai ramai umat. Kedatangan Bapa Uskup Julius Dusin Gitom bersama rombongannya, iaitu Komiti Misi Paitan Keuskupan Sandakan pada 5 Okt meningkatkan lagi keriangan makna pada perayaan itu.

Bapa Uskup kemudiannya mengetuai upacara menanam buah kelapa  bersama Paderi, Komiti Misi Paitan Keuskupan Sandakan, Ketua Komuniti Misi Paitan dan para Katekis di tepi kolam ikan St. Francis Of Assisi. Pada malamnya pula, aktiviti diteruskan dengan Doa Rosari dan tayangan video rohani bertajuk “Maria Dari Nazaret”.

Acara kemuncak adalah pada 6 Oktober 2019 dengan perayaan Ekaristi sempena sambutan hari penaung St. Francis of Assisi, Kg. Sukang sekaligus upacara penerimaan Sakramen Penguatan oleh para Krismawan.
Dalam homilinya, prelatus itu mengatakan, “Apabila kita meminta kepada Tuhan, “Tuhan tambahkanlah iman kami”, seperti yang diminta oleh para rasul, Tuhan akan memberikannya bukan mengikut kehendak kita tetapi dengan cara-Nya sendiri.  Kadangkala apa yang kita harapkan daripada Tuhan, bukan itu yang kita dapat, tetapi lebih baik dari apa yang kita harapkan.  Maka apa yang Tuhan mahukan daripada kita adalah untuk membahagikan iman itu kepada orang lain.  Dan apa bila kita memberikan iman itu kepada orang lain, di situlah pertambahan iman kita terjadi.

"Mungkin kita tidak menyedari pertambahan iman kita sendiri, tetapi orang lain boleh merasakannya dan melihatnya dalam diri kita."

Bapa Uskup turut berpesan bahawa doa adalah asas pertambahan iman. Katanya, "Apabila mempunyai hubungan intim dengan Tuhan, maka Tuhan akan mengambil alih dalam kehidupan kita, membimbing kita.  Di situlah kita akan lebih terdorong melakukan kehendak Tuhan dalam kehidupan seharian kita, membahagi iman kita kepada sesama.” -- SOCCOM Mision Paitan

Total Comments:0

Name
Email
Comments