Tiga peristiwa kebakaran ungkap panggilan dan pengutusan Tuhan

Tiga peristiwa kebakaran ungkap panggilan dan pengutusan Tuhan

Oct 05, 2018

KRUBONG, Melaka: Pada 9 September lalu setelah Umat Bahasa Malaysia selesai Misa minggu biasa, Umat telah mengikuti Formasi 4E mengenai "Tiga kisah Kebakaran". Formasi tersebut diadakan di Dewan Gereja Our Lady Of Guadalupe (OLG).

Sesi pertama iaitu mengenai "Semak yang Terbakar" disampai oleh Diakon Anthony Chua. Sesi ini menyentuh mengenai panggilan Musa yang diutus Tuhan semasa dia berada di gunung Horeb. Musa diutus untuk membawa bangsa Israel keluar dari Mesir yang ditindas di situ tetapi tidak yakin untuk menghadap Firaun. Tuhan memberi peneguhan kepada Musa, "Bukankah Aku yang akan menyertai engkau?".

Sesi ini menyedarkan para peserta agar tidak menyembunyikan diri atau lari apabila dipanggil untuk melayani kerana Tuhan sentiasa menyertai kita.

Manakala sesi kedua mengenai "Rumah yang Terbakar" disampaikan oleh Sr Maria Magdalena FSIC yang menceritakan mengenai Ratu Ester atau Hadasa anak saudara Mordekhai yang telah menyelamatkan bangsa Yahudi yang merupakan bangsanya sendiri. Sr Maria menceritakan tentang Mordekhai yang tidak mahu tunduk atau berlutut kepada Haman lalu mencetuskan kemarahan kepada Haman lalu mahu memusnahkan seluruh orang Yahudi. Ester, dengan berpandukan kepada Tuhan, telah menyelamatkan bangsa Yahudi dari dibinasakan.

Sr Maria menekankan bahawa Ester yang meskipun seorang ratu dan boleh hidup senang di istana tidak melupakan tanggungjawabnya terhadap komuniti dan keluarga. Ester tidak berdiam diri apabila bangsanya diperlakukan secara tidak adil. Ester memberi semangat kepada kita untuk bertindak berani, percaya kepada Tuhan demi membantu mereka yang lemah.

Sesi seterusnya mengenai "Hati yang Terbakar" oleh Sr Jaslia Ramut yang menceritakan mengenai dua orang murid Yesus dalam perjalanan mereka ke Emaus.

Dalam perjalanan itu, Seseorang telah menyertai mereka iaitu Yesus. Kedua-dua murid itu bagaimanapun tidak mengenal Yesus tetapi semasa Yesus memecah-mecahkan roti, mata mereka terbuka bahawa Yesus yang telah disalibkan, wafat dan dimakamkan itu telah bangkit serta hidup di antara mereka. Sesi ini mengajar kita bahawa kita mempunyai tugas memberitakan Injil dan sebagai seruan kepada kita untuk mengenakan budaya menyembah Ekaristi dalam kehidupan seharian.

Pada akhir sesi, para peserta dibahagikan dalam kumpulan perbincangan dan membuat perkongsian. Umat Bahasa Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Diakon Anthony, Sr Maria dan Sr Jaslia yang memantapkan lagi iman mereka dengan "Tiga kisah Kebakaran". — Sunnykanis

Total Comments:0

Name
Email
Comments