Tuhan mengutus kita dengan kuasa, kasih dan kekuatan

Konvensyen Pastoral Semenanjung Malaysia IV, 2-5 Oktober, 2016

Nov 04, 2016

PLENTONG, Johor: Upacara Cahaya mengingatkan para perwakilan dari tiga keuskupan di Semenanjung Malaysia bahawa mereka adalah pembawa terang dan harapan Kristus kepada semua orang.

Konvensyen Pastoral Semenanjung Malaysia (PMPC IV) telah berlangsung di Pusat Pastoral Majodi, Plentong pada 2-5 Oktober lalu.

Konvensyen ini menggabungkan tiga keuskupan di Semenanjung Malaysia (SM) iaitu Keuskupan Agung Kuala Lumpur, Keuskupan Pulau Pinang dan Keuskupan Melaka- Johor.

Hari terakhir konvensyen diakhiri dengan Misa Kudus pada Oktober 5, di mana selepas Misa, para peserta menyertai upacara cahaya.

“Upacara ini adalah untuk menghidupi kembali. Kita mengingat kembali bahawa kita diutus ke dunia ini sebagai “cahaya dunia” dan pembawa harapan ... dengan upacara ini, semoga kita berani untuk terus maju sebagai pembawa Cahaya Kristus di seluruh pelosok keuskupan kita,” ujar Uskup Bernard Paul, pemimpin perayaan Ekaristi penutup PMPC IV.

“Cahaya ini bukanlah sesuatu yang baru. Cahaya ini sentiasa bersama dengan anda. Ada kalanya, kita leka. Ada kalanya, pandangan kita terhalang kerana beban. Tetapi cahaya itu tidak pernah meninggalkan anda. Cahaya itu tetap dan ada bersama dengan setiap anda. Biarlah ia menjadi sinar dalam diri anda. Biarlah ia menjadi sebuah kesedaran bagi anda. Dan marilah kita menyedari bahawa kita memiliki cahaya dan ia akan menjadi terang dalam kegelapan kita. Jadilah terang di dalam kegelapan.”

“Jika kita tidak bersatu, kita tidak mempunyai apa-apa untuk diperturunkan atau disebarkan. Bersatulah dengan Sang Pemberi Cahaya. Bersatulah dengan para uskup. Bersatulah dengan para klerus. Bersatulah dengan kaum awam, lelaki dan wanita. Bersatulah dengan umat yang majmuk. Bersatulah dengan semua orang demi kesejahteraan bersama. Kesatuan ialah mengenai perikatan. Kita perlu berhubung dan bersatu antara satu dengan lain,” tegasnya.

Apabila semua perwakilan memegang lilin bernyala, mereka melafazkan komitmen dengan lantang dan semangat baru. Ia diakhiri dengan lagu “Here I Am Lord”. Para perwakilan seterusnya diutus dengan kata-kata ini, “Pergilah ke seluruh dunia, beritakanlah Khabar Gembira. Jangan takut kerana Roh yang anda terima bukanlah roh ketakutan melainkan kuasa, kasih dan kekuatan.”

PMPC diadakan setiap 10 tahun sekali di SM. Para umat awam, religius dan klerus datang bersama dari ketiga-tiga keuskupan di Semenanjung Malaysia, untuk berdoa, berbincang, saling membantu, menyemak kembali, membuat perancangan bersama dan memperkasakan hala tuju Gereja Katolik di SM.

Oleh kerana anggota-anggota setiap paroki/keuskupan mempunyai pelbagai bakat yang unik dan bijak, maka PMPC memberikan peluang untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran demi membangun dan menyegarkan Gereja.

Lapan aspek baru yang Gereja patut ambil perhatian
PLENTONG, Johor: Lapan aspek baru yang perlu diberi perhatian oleh Gereja Malaysia ialah golongan miskin baru, belia, pekerja buruh asing, pergerakan buruh, dialog, politik-politik 'kecil' dan golongan majoriti bumiputera gereja. Dr Francis Loh, mantan Profesor Politik di Universiti Sains Malaysia dan juga penceramah di seminari College General, menyampaikan Sesi Pleno pertama: 'New Economy, New Society , No New Politics yet … whither the Church" semasa Konvensyen Pastoral Semenanjung Malaysia (PMPC IV) di Pusat Pastoral Majodi, Plentong pada 2-5 Oktober lalu.

Beliau memulakan sesinya dengan menyatakan populasi penganut Kristian (tidak ada statistik populasi Katolik dalam kerajaan).

Hanya terdapat 9.2% populasi Kristian di Malaysia. Di Semenanjung, terdapat 3-4% Kristian.

Majoriti Kristian adalah bumiputera Kristian di Malaysia Timur. Menurut statistik kerajaan pada tahun 2010, 65% Kristian adalah bumiputera, 29.5% Cina, 4.8% India dan 1.0% lain-lain. Dr Loh merumuskan bahawa Gereja akan menjadi lebih bumiputera pada masa akan datang.

Salah satu aspek baru yang ditekankan oleh Dr Loh untuk diberi perhatian oleh gereja ialah golongan majoriti bumiputera. Katanya, pada tahun 2010, golongan bumiputera Kristian adalah 29.5%. Purata pertumbuhan populasi tahunan bumiputera Kristian adalah lebih tinggi berbanding bukan bumiputera. Oleh itu, Gereja di Semenanjung menjadi lebih bumiputera pada masa hadapan? Adakah gereja menggunakan lebih banyak Bahasa Malaysia? Adalah perkara biasa bahawa bahasa adalah alat yang menyatukan bumiputera Kristian dengan bukan bumiputera.

Aspek baru lain yang harus menjadi perhatian gereja menurut Dr Loh ialah golongan belia. Dr Loh menegur bahawa kebanyakan program untuk belia masih bersifat konservatif. Gereja juga harus bersifat mesra IT iaitu seiring dengan aliran budaya belia masa kini.

Suara buruh asing yang menderita dan didiskriminasi juga harus didengar oleh gereja. Ramai buruh asing yang dianiaya dan sangat memerlukan penjagaan kesihatan. Begitu juga dengan buruh asing haram yang memerlukan bantuan dokumentasi dan pendidikan bagi anak-anak mereka.

Jadilah Gereja yang berintegrasi dengan mereka yang terpencil
“Saya sudah berada di Malaysia sebagai Wakil Sri Paus lebih tiga tahun dan saya ingin memberitahu anda, bahawa saya telah bertemu dan mengatakan kepada Sri Paus Fransiskus pada 19 September 2016, bahawa saya sangat gembira menyaksikan Gereja yang teguh, para uskup yang tabah menjalankan pelayanan mereka dengan kesederhanaan, para klerus yang bijak serta amat dekat dengan umat di mana sahaja mereka melayani. Sudah tentu, kekuatan Gereja ialah umat awam. Saya juga telah menyaksikan kaum awam lelaki dan wanita yang sangat komited akan iman mereka, bangga akan identiti Katolik dan saksi sejati dalam masyarakat melalui aksi serta tindakan Kristian mereka. Izinkan saya untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas kesaksian- kesaksian saya.

Dengan rendah hati saya meminta anda untuk membawa dua konsep ini dalam kehidupan harian anda, iaitu ajaran daripada Paus Fransiskus: Gereja sebagai medan hospital di mana alat-alat operasinya adalah belas kasihan dan matlamat utama gereja iaitu berintegrasi dengan mereka yang terpencil, dan mereka yang menanti kita untuk datang kepada mereka serta memenuhi kehausan dan keperluan mereka.--Uskup Agung Joseph Marino Salvador, Nunsio Apostolik ke Malaysia

Total Comments:0

Name
Email
Comments