Usaha karya amal Keuskupan Sandakan melalui misi pelayanan Caritas

Pada 24 Oktober lalu, Uskup Julius Dusin Gitom melalui pertemuan atas talian bersama beberapa perwakilan paroki di Keuskupan Sandakan menyatakan rasa syukur kerana Ajaran Sosial Gereja telah diperkenalkan di Keuskupan itu sejak penubuhan Komisi Pembangunan Insan melalui bantuan Kongregasi Good Shepherd Sisters iaitu Sr. Maria Dipal, RGS.

Nov 14, 2020

SANDAKAN: Pada 24 Oktober lalu, Uskup Julius Dusin Gitom melalui pertemuan atas talian bersama beberapa perwakilan paroki di Keuskupan Sandakan menyatakan rasa syukur kerana Ajaran Sosial Gereja telah diperkenalkan di Keuskupan itu sejak penubuhan Komisi Pembangunan Insan melalui bantuan Kongregasi Good Shepherd Sisters iaitu Sr. Maria Dipal, RGS.

Maka dengan pengetahuan ini, amat mudah bagi Keuskupan memahami misi Caritas kerana ia juga menjadikan Ajaran Sosial Gereja sebagai panduan dan teras dalam misi sosialnya.

Prelatus itu berkata demikian dalam satu Perbincangan Kumpulan Fokus (Fokus Group Discussion/FGD) di mana seramai 20 peserta dari paroki-paroki naungan Keuskupan Sandakan bertemu di alam maya. Pertemuan ini juga dihadiri oleh  Fr. Phillip Anthony Muji, dua orang religius dari FSIC dan 18 pemimpin umat awam.

FGD diadakan khusus untuk mendapatkan maklumat berkenaan situasi di komuniti-komuniti seluruh Keuskupan Sandakan. Respon yang diperolehi amat penting agar pihak Pastoral Keuskupan khususnya Caritas Keuskupan dapat memahami situasi yang dihadapi oleh orang-orang dalam komuniti tersebut.

Ini merupakan langkah pertama, meskipun secara sederhana dapat membantu Caritas Keuskupan dan Paroki untuk merenung, merancang dan membentuk pelan tindakan yang sesuai untuk memenuhi keperluan komuniti yang terlibat.

Uskup Julius pada awal ucapannya menyampaikan sedikit sebanyak sejarah tentang kewujudan Caritas dan misi utamanya iaitu berusaha membina dunia yang lebih baik, terutama bagi golongan miskin dan yang tertindas.

Bapa Uskup menjelaskan bahawa struktur yang sudah sedia ada iaitu Komisi Pembangunan Insan Keuskupan akan diguna pakai  sebagai dasar bagi mengelak pertindihan kerja kerana komisi ini menjalankan kegiatan-kegiatan yang sama seperti Caritas. Segala kegiatan amal yang dijalankan di peringkat Paroki akan diteruskan dan dilaksanakan di bawah Caritas.

Beliau juga berharap agar perbincangan kumpulan fokus ini akan membuahkan hasil yang diharapkan iaitu mendengar suara-suara dari akar umbi. Adalah menjadi tanggungjawab tim pelaksana untuk memahami impian komuniti-komuniti setempat dan menjadikan ia sebagai panduan dalam menjalankan misi di setiap paroki.

Pada akhir ucapan, Bapa Uskup berharap agar Caritas di peringkat paroki dapat bekerjsama dan berjalan rapat dengan Paderi Paroki dan pembantunya agar apa sahaja kegiatan pastoral sosial dapat dijalankan dengan lancar.

Selepas ucapan dari Bapa Uskup,  sesi diteruskan dengan pengenalan kepada Caritas Malaysia agar peserta akan dapat memahami per anan utama Caritas dan bagaimana keuskupan Sandakan juga boleh membantu dalam misi pelayanan sosial ini.

Dijelaskan bahawa Caritas yang ditubuhkan pada 7 Januari 2020 boleh Konferensi para Uskup Katolik Malaysia merupakan sebuah badan pelayanan dengan misi untuk melayani yang miskin dan memerlukan, membantu dalam hal-hal kemanusiaan dan menolong menyebarkan amal dan keadilan dalam dunia yang berlandaskan Firman dan ajaran Gereja Katolik.

Sejurus selepas pengenalan Caritas, para peserta dibawa dalam sesi perbincangan kumpulan fokus. Pihak penganjur telah terlebih dahulu bertemu untuk membincangkan dan menyenaraikan isu-isu yang berlaku di komuniti tempatan. Dari senarai isu yang banyak, mereka telah menyenarai pendek isu tersebut kepada satu isu utama iaitu peluang mencari nafkah hidup untuk menyara diri dan keluarga (livelihood opportunity).  Para peserta yang dibahagikan kepada dua kumpulan, telah diberikan soalan-soalan berikut sebagai panduan bagi perbincangan mereka:

–– Apakah sebab - sebab bagi isu utama ini? lSiapa yang paling terkesan dari isu utama ini? Apa yang boleh dilakukan untuk mengatasi penderitaan mereka? Siapa yang akan memainkan peranan untuk mengurangkan penderitaan mereka?

–– Apakah sokongan yang mereka perlukan dari luar untuk meneruskan tindakan bagi hal ini?

–– Apakah aspirasi / impian komuniti anda?

Hasil perbincangan para peserta ini turutdirekodkan dan disatukan serta telah dibentang dalam pertemuan perwakilan Caritas peringkat negeri Sabah dan gabungan laporan Caritas dari tiga Keuskupan di Sabah turut dibentangkan dalam Perhimpunan National Caritas Malaysia yang diadakan pada awal bulan November 2020.

Total Comments:0

Name
Email
Comments