Uskup Sim berterima kasih kepada Sri Paus kerana memilih “seseorang dari pinggiran”

Vikaris Apostolik Brunei berterima kasih kepada Sri Paus Fransiskus kerana “memilih seseorang dari pinggiran” untuk dipercayai masuk ke kalangan para kardinalnya.

Nov 14, 2020

VATIKAN: Vikaris Apostolik Brunei berterima kasih kepada Sri Paus Fransiskus kerana “memilih seseorang dari pinggiran” untuk dipercayai masuk ke kalangan para kardinalnya. Dalam wawancara dengan Vatican News, Uskup Cornelius Sim menggambarkan Gerejanya sebagai “pinggiran di sebuah pinggiran.” Uskup itu mengatakan, Sri Paus memahami bahawa Gereja ada di tempat-tempat kecil yang tidak banyak publisiti tetapi imannya sangat hidup.

Seperti calon kardinal lain, Uskup Cornelius Sim juga tidak menyedari dan  tidak percaya bahawa beliau termasuk di antara 13 kardinal baharu, namun  kemudian menerima kebenaran itu. “Bagi saya, agak mengejutkan dan tidak terduga,” kata Msgr Sim kepada Vatican News. Penduduk asli Brunei yang berusia 69 tahun itu berbicara tentang cabaran Gereja Brunei,  salah satu Gereja termuda dan terkecil di Asia Tenggara, dan mungkin juga di dunia.

Ditahbiskan sebagai imam 26 November 1989, Uskup Sim adalah imam peribumi pertama. Pada tahun 1995, Uskup Sim diangkat menjadi Vikaris Jenderal keuskupan yang ketika itu merupakan Keuskupan Miri-Brunei, dan tahun 1998 ia diangkat menjadi Prefek Brunei.

Santo Sri Paus  Yohanes Paulus II mengangkat status Brunei menjadi Vikariat Apostolik, 20 Oktober 2004, dan orang kudus itu melantik Pastor Sim sebagai Vikaris Apostolik yang pertama. Maka, beliau merupakan uskup tempatan pertama di Brunei. Sim dinobatkan sebagai uskup pada 21 Januari 2005.

Uskup Sim, bersama tiga orang paderinya, memimpin Gereja Brunei. Sebahagian besar umatnya adalah pekerja asing, sekitar 20,000 orang. Negara kaya minyak dan gas itu memiliki populasi sekitar 500,000 orang, lebih dari 70% di antaranya adalah Muslim.

Dalam konteks ini, Uskup Sim mengatakan cabaran Gereja Brunei adalah “memberikan rumah bagi mereka yang jauh dari rumah” iaitu umat Katolik yang sebahagian besar adalah pendatang. Gereja mengusahakan yang terbaik untuk menyokong mereka, terutama pada saat-saat sukar seperti penyakit atau kematian. Gereja juga membantu mereka secara kewangan melalui program-program seperti pemberian makan percuma.

Gereja secara khusus prihatin dengan orang muda, yang kebanyakan idea mereka bukan datang melalui saluran tradisional sebaliknya dari rakan-rakan “du nia mereka” media sosial. Maka hubungan mereka dengan pihak berwenang tidak seperti dulu. Komitmen dalam peranan baru sebagai kardinal, kata Msgr Sim, memberikan sumbangan untuk mencipta perdamaian, kerukunan dan niat baik dalam kerjasama dengan warga negara dari pelbagai keyakinan dan agama.

Bagi warga Brunei, jelas Uskup Sim, komitmen terhadap perdamaian mempunyai erti sangat khusus kerana nama negara mereka bererti “tempat tinggal perdamaian.”

Dalam hal ini, Gereja yang telah berada di Brunei selama 90 tahun lebih, kata uskup itu, telah memberikan sumbangan kepada negara khususnya melalui  sekolah-sekolahnya.

Sekitar 60 hingga 70 peratus pelajar di tiga buah sekolah Katolik di negara itu adalah Muslim.

Berbicara tentang memperkaya iman berdasarkan rasa komuniti, Uskup Sim menghuraikan beberapa keutamaan Gereja di Brunei, seperti tentang Alkitab dan iman, perhatian pastoral untuk kaum muda dan keluarga, panggilan imamat dan religius, evangelisasi dan kesejahteraan sosial.

Gereja, jelas uskup, bukan hanya liturgi, yang sangat penting, tetapi juga perlu membangun persahabatan, pertama dalam komuniti , dimulakan dalam keluarga dan keluar ke masyarakat, seperti tempat kerja dan belajar. Pada ketika ini,  Gereja Brunei berada dalam tahun terakhir fokus keluarga sepanjang tiga tahun. — Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments