Veteran Mahathir raikan kemenangan bersejarah

Dr Mahathir mencipta rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia selepas mencipta kemenangan bersejarah buat parti pembangkang dengan menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada tampuk pemerintahan negara sejak 61 tahun lalu.

May 18, 2018

PETALING JAYA: Pada usia 92 tahun, Dr Mahathir mencipta rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia selepas mencipta kemenangan bersejarah buat parti pembangkang dengan menyingkirkan Barisan Nasional (BN) daripada tampuk pemerintahan negara sejak 61 tahun lalu.

Penantian sejak pagi 10 Mei lalu, berakhir apabila Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad kembali memimpin negara secara rasmi sebagai perdana menteri Malaysia ke-7, pada pukul 9.00 malam, 10 Mei.

Negarawan itu mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, di Istana Negara.

Pemimpin empat parti komponen PH, iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu bersama beberapa ahli Parlimen PH dan pegawai kanan kerajaan, termasuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa turut menghadiri upacara itu.

Kira-kira 1,000 penyokong turut menunggu pintu Istana Negara bagi mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga adalah perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia dari 1981 hingga 2003.

Presiden PPBM itu pada awalnya dijangka mengangkat sumpah pada 9.30 pagi pada 10 Mei, tetapi ditangguhkan tanpa sebarang alasan diberikan.

Menerusi pilihan raya umum ke- 14 pada 9 Mei lalu, empat parti dalam PH yang diketuai Dr Mahathir memenangi 125 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, menewaskan BN yang sekadar mendapat 79 kerusi dan PAS (18).

Parti politik yang mendapat majoriti mudah, iaitu 112 kerusi boleh membentuk kerajaan persekutuan.

Pada 10 Mei, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Razak yang mengetuai BN melalui kekalahan paling teruk dalam sejarah negara, berkata beliau menerima keputusan rakyat dan menggesa semua pihak bertenang untuk membolehkan Agong menentukan perdana menteri ke-7.

Siapa Mahathir?
Dr. Mahathir dilahirkan di Lorong Kilang Ais, Seberang Pe-rak, Alor Setar, Kedah pada 10 Julai 1925. Merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dari pasangan Mohamed Iskandar dan Wan Tempawan Wan Hanapi.

Antara pencapaian beliau yang paling diingati masyarakat Malaysia dan antarabangsa adalah ketika membawa Malaysia keluar dari krisis kewangan Asia 1997 dengan beliau menolak cadangan dan juga bantuan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang beliau sifatkan memburukkan lagi krisis.

Langkah-langkah radikal yang diambil beliau ketika itu dikritik hebat oleh banyak pihak termasuk IMF sendiri.

Semasa menghadapi krisis kewangan dunia itu, Dr. Mahathir melancarkan beberapa perubahan dalam ekonomi dan asas fiskal negara yang bercanggah dengan timbalan beliau, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau de-ngan berani melupuskan Ringgit Malaysia di luar negara, menjadikan matawang itu tidak sah diperdagangkan.

Ini menyebabkan mata wang ringgit melimpah masuk ke dalam negara. Beliau juga memberikan pengecualian cukai sebagai insentif kepada mereka yang membawa masuk semula wang yang banyak ke dalam negara. Seterusnya menghalang pengaliran modal ke luar negara. Tindakan ini mendapat cemuhan daripada pelbagai kumpulan.

George Soros, raja pelaburan mata wang terkenal telah mempersendakan Dr. Mahathir dengan menyatakan tindakan itu mengundang kebinasaan. Sebaliknya Soros terperanjat, bila tindakan Dr. Mahathir yang ‘kejam’ itu mendatangkan hasil kerana Malaysia berjaya mempertahankan kestabilan kewangannya tanpa perlu mengambil pinjaman IMF seperti Thailand dan Indonesia.

Pada masa sama, Dr. Mahathir merupakan seorang tokoh politik yang bersifat vokal berhubung isuisu antarabangsa sehingga ada mencetuskan kontroversi.

Beliau menyokong “Sistem Ekonomi Pasaran” terkawal sebagai alternatif kepada “Sistem Ekonomi Persendirian” dan secara amnya menolak “Pasaran Bebas”.

Gaya pentadbirannya dari 1981 hingga 2003 juga sering dikritik dengan dilabelkan sebagai autokratik oleh pelbagai pihak termasuk badan dan media antarabangsa.

Antara projek berprofil tinggi (juga digelar ‘projek mega’) yang dibangunkan pada zaman pentadbirannya termasuk Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Koridor Raya Multimedia (MSC), Pusat Pentadbiran Putrajaya dan Litar Antarabangsa Sepang.

Bersara pada Oktober 2003, Dr. Mahathir dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun. Beliau turut dinobatkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana berjaya membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri baharu yang disegani dalam kalangan negara-negara membangun.

Tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai pemimpin kedua paling lama yang memegang jawatan tersebut di Asia Tenggara selepas Presiden Suharto dari Indonesia.

Tetapi dengan majlis angkat sumpah beliau semalam, menjadikan Dr. Mahathir melepasi rekod Suharto. Jika diukur sumbangan beliau, boleh dikatakan sebagai sebahagian besar pencapaian Malaysia hari ini.

Dan sebelum mengangkat sumpah semalam, beliau memberitahu, Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan akan berusaha mendapatkan Pengampunan Diraja untuk Anwar apabila dibebaskan pada 8 Jun nanti - sebelum Anwar diberi laluan untuk menggantikannya sebagai Perdana Menteri. — FMT, Malaysiakini & mstar.com.my

Total Comments:0

Name
Email
Comments