Waspada sentiasa agar tidak disesatkan

Sudah menjadi kebiasaan dalam mengakhiri tahun liturgi, peringatan akan akhir zaman atau kedatangan Kristus untuk kali kedua menjadi fokus utama liturgi Sabda.

Nov 11, 2016

HARI MINGGU BIASA 33
TAHUN C
MALEAKHI 3:19-20A
2 TESALONIKA 3:7-12
INJIL: LUKAS 21:5-19

Sudah menjadi kebiasaan dalam mengakhiri tahun liturgi, peringatan akan akhir zaman atau kedatangan Kristus untuk kali kedua menjadi fokus utama liturgi Sabda.

Pesanan akan akhir zaman akan terus diwartakan dalam Minggu pertama, kedua dan ketiga musim Adven. Ia bertujuan untuk mengingatkan kita bahawa hari Tuhan pasti akan datang maka kita harus sentiasa bersiap sedia di dalam iman dan harapan sambil menunggu kedatangan Tuhan.

Semasa menunggu kedatangan Tuhan ini menuntut kesabaran dan ketabahan dalam iman daripada kita. Kita perlu menghadapi segala kesukaran dan rintangan dalam perjalanan iman menuju kepada hidup syurgawi.

Di dalam pembacaan Injil hari ini, Tuhan Yesus memberitahu para murid-Nya supaya sentiasa berwaspada terhadap dua perkara. Pertama, supaya mereka tidak mudah disesatkan, sebab ramai orang akan datang dengan menggunakan nama Tuhan dan membuat pengakuan palsu untuk menipu.

Kedua, mereka harus ingat bahawa peperangan dan pemberontakan akan berlaku tetapi ia bukanlah tanda bahawa dunia ini akan kiamat dan ia tidak ada kaitannya dengan kedatangan akhir zaman.

Tuhan Yesus seterus menjelaskan kepada para murid-Nya mengenai pelbagai kejadian yang menakutkan akan terjadi: pergolakan di antara bangsa-bangsa, gempa bumi yang dahsyat, penyakit yang menular dan kelaparan serta tanda-tanda yang menakutkan dari langit. Namun, ini semua tidak penting untuk kita.

Apa yang penting bagi umat Kristian ialah apabila semuanya ini berlaku, kita tahu bahawa hari kedatangan Tuhan pasti akan datang, maka kita bersiap sedia menghadapinya dengan penuh iman dan harapan.

Tuhan Yesus juga mengingatkan kita bahawa sebelum semuanya ini terjadi sebagai pengikut-Nya, kita akan dianiaya. Namun, sebagai murid-murid Yesus kita tidak perlu takut untuk menghadapi ini semua walaupun di dalam keluarga kita dianiaya dan dibenci.

Yesus dengan jelas memberitahukan kita bahawa gereja akan menghadapi aniaya. Tetapi perhatikan nada positif tentang aniaya itu: “itu akan menjadi kesaksian bagi mereka; Hal itu akan menjadi kesempatan bagimu untuk bersaksi.”Itu bererti bagi orang percaya penderitaan bukan suatu petaka, tetapi sebuah kesempatan untuk bersaksi!

Mengapa kita begitu bingung dengan diri sendiri? Mengapa tidak justeru memusatkan diri untuk semakin memuliakan Tuhan dalam pergelutan kita?

Dalam kesukaran itu kita dapat menceritakan penyertaan dan kasih-Nya dalam hidup kita. Itu juga bererti konsentrasi kita adalah: “Injil harus diberitakan dahulu kepada semua bangsa.”

Orang percaya tidak usah terlalu dibingungkan dengan penyesatan, perang, bencana alam, dan bahkan penganiayaan; yang terpenting adalah memberitakan Injil!

Ini adalah kerana Tuhan sentiasa menyertai dan melindungi kita. Dalam keadaan inilah kita mengambil kesempatan untuk menjadi para saksi Kristus. Jika kita teguh dan tabah dalam iman maka kita akan dianugerahi keselamatan.

Pembacaan pertama men yatakan tentang kekecewaan umat Israel sesudah mereka kembali ke negera asal mereka daripada pembuangan. Walaupun sudah 50 tahun Bait Suci telah dibangun kembali, namun mereka tidak gembira kerana harta milik mereka telah dirampas oleh orang lain dan mereka menjadi miskin. Kota mereka tidak selamat. Iman dan semangat mereka pun menjadi semakin lemah.

Maka nabi Maleakhi berusaha untuk membangkitkan semangat umat Israel. Dia memberitahu mereka bahawa hari Tuhan akan datang. Tuhan akan datang untuk menyelamatkan mereka.

Dia menasihati mereka supaya tetap berpegang teguh pada perjanjian dengan Tuhan agar mereka tidak dihukum lagi. Bagi mereka yang teguh dalam iman, hidup akan bersinarkan keselamatan.

Pembacaan kedua menyatakan kepada kita bahawa umat Kristian di Tesalonika membuat kesilapan besar dalam mempersiapkan diri mereka dalam menunggu kedatang hari Tuhan.

Mereka telah meninggalkan pekerjaan mereka dan membuang masa dengan cerita-cerita kosong mengenai kedatangan Tuhan pada akhir zaman.

Santo Paulus mengkritik sikap mereka dan mengingatkan mereka bahawa dia telah bekerja keras untuk kehidupannya. Dia menegaskan bahawa umat Kristian merupakan orang yang bekerja untuk kemuliaan Tuhan.

Jika kita tidak berhati-hati dan tidak bertekun dalam iman, kita akan mudah tertipu oleh ajaranajaran sesat oleh para nabi palsu yang menggunakan nama Tuhan untuk mendapat keuntungan bagi dirinya sendiri dan menjadi popular. Tuhan Yesus pasti akan datang kedua kalinya pada akhir zaman tetapi tidak seorang pun di dalam dunia tahu bila waktu atau hari tersebut.--IJN

Total Comments:0

Name
Email
Comments