Yesus mengecam mereka yang mengeksploitasi pekerja

Yesus mengecam mereka yang mengeksploitasi pekerja

Jun 01, 2018

KOTA VATIKAN: “Malanglah kamu yang mengeksploitasi orang lain dan mereka yang menghindari cukai, tidak menyumbang kepada dana pencen pekerjanya dan tidak memberi mereka percutian berbayar. Malanglah kamu! Ini adalah dosa besar manusia yang mengeksploitasi pekerja.

Demikianlah peringatan Sri Paus Fransiskus baru-baru ini semasa memimpin Misa di Casa Santa Marta, yang diilhami dari pembacaan pertama dari Sto Yakobus, yang menyatakan tangisan dan ratapan para pekerja yang tidak dibayar upah telah didengar Tuhan.

Fransiskus yang mendedikasikan Misa pada hari itu untuk "rakyat China" sempena perayaan Bonda Maria dari Sheshan, mengundang umat beriman untuk berdoa sedikit lebih dan melakukan sedikit lebih penebusan bagi yang kaya, kerana kekayaan menjadikan yang tamak sebagai hamba dan Yesus memperingati bahawa, “kamu tidak dapat melayani dua tuan, sama ada kamu melayani Tuhan atau kamu melayani kekayaan.”

Prelatus itu memetik inspirasi dari Surat Sto Yakobus yang mengatakan bagaimana pekerja yang tidak diberi upah, meratap dan mengeluh kepada Tuhan, memohon keadilan. Paus Fransiskus mengatakan bahawa petikan itu mengecam mereka yang kaya dan tamak serta peringatan tentang apa yang Yesus sendiri katakan kepada mereka.

“Malanglah kamu yang kaya. Jika seseorang pada hari ini untuk memberitakan kata-kata ini, media pula pada hari berikutnya akan menulis: 'Imam itu adalah seorang komunis.' Namun sesungguhnya kemiskinan ialah jantung Injil. Berkhutbah mengenai kemiskinan adalah inti pesan Yesus: “Berbahagialah orang-orang miskin” — inilah kata-kata pertama Yesus dalam Sabda Bahagia. Inilah pengenalan akan diri-Nya ketika Dia mempersembahkan diri-Nya di Sinagoga dan ketika Dia kembali ke kota-Nya, Nazaret.

“Roh Tuhan ada pada ku kerana Dia telah mengurapi aku untuk membawa Khabar Gembira kepada yang miskin.” Tetapi mengikut sejarah, kita jarang membantu yang lemah malah tidak berkhutbah tentang kemiskinan kerana kita percaya, soal kemiskinan adalah tanggungjawab ahli-ahli politik. Tidak, Inilah inti Injil, murni dan sederhana.

Sri Paus kemudiannya memberi renungan mengapa Yesus amat tegas dalam berkhutbah tentang isu kemiskinan.

“Kekayaan adalah semacam penyembahan berhala,” jelasnya. Yesus sendiri menegaskan bahawa seseorang tidak dapat melayani dua orang tuan. Menurut Sri Paus, biasanya apabila kita leka dengan kekayaan, ia akan menghambat kita untuk taat kepada perintah Tuhan yang pertama iaitu mengasihi Tuhan dengan segenap hati kita. Kekayaan, juga berlawanan dengan perintah Tuhan yang kedua kerana ia memusnahkan hubungan harmoni antara sesama.

Paus Fransiskus berkata sesetengah orang menyamakan Sto Yakobus seperti ketua kesatuan pekerja tetapi menurut Sri Paus, rasul itu menulis di bawah inspirasi Roh Kudus. Malah, di Itali sendiri, menurut Fransiskus, ramai orang meninggalkan pekerjaan demi memelihara pelaburan modal. Ini bertentangan dengan perintah kedua, jadi: “Malanglah kamu!” Yesus memberi amaran.

“Malanglah kamu yang mengeksploitasi orang lain dan mereka yang menghindari cukai, tidak menyumbang kepada dana pencen mereka, dan tidak memberi mereka upah ketika mereka bercuti. Malanglah kamu ... Jika kamu tidak membayar, ketidak adilan yang anda lakukan adalah dosa besar. Anda tidak berada dalam kasih karunia Tuhan. Bukan saya yang mengatakannya, tetapi Yesus dan Sto Yakobus. Itulah sebabnya kekayaan menghambat anda daripada menuruti perintah kedua, iaitu cinta kepada sesama anda.” — CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments