Kaamatan memperkasa kehidupan komuniti berpusat kepada Kristus

Makan Malam Amal pada 28 April dan Larian Kaamatan pada 10 Mei merupakan acara-acara awal Pesta Menuai sebelum Pesta Kaamatan peringkat Paroki Katedral St Mary.

Jun 16, 2017

SANDAKAN: Makan Malam Amal pada 28 April dan Larian Kaamatan pada 10 Mei merupakan acara-acara awal Pesta Menuai sebelum Pesta Kaamatan peringkat Paroki Katedral St Mary.

Pada 20 Mei 2017, umat Paroki St. Mary Katedral, Sandakan termasuk Sub-Paroki St. Mark dan St. Petrus menyambut perayaan Pesta Kaamatan dengan begitu meriah. Pelbagai sukaneka dan sukan tradisional dianjurkan seperti tiup belon, melastik, menyumpit, isi air dalam botol, lari membawa bola pingpong dalam sudu, kupas pinang, tiup tepung, tarik tali, bowling kelapa, rampanau, lontar peluru, permainan gasing dan melontar tali menangkap kerbau.

Suasana kampung terasa apabila rumahrumah tradisi yang diperbuat daripada bambu turut dibina di perkarangan dewan paroki yang membawa nostalgia perayaan Kaamatan masa lampau.

Pada hari berikutnya iaitu 21 Mei 2017, perayaan Kaamatan diberkati dengan Misa Kudus pada jam 9.15 pagi. Misa dimulakan dengan perarakan umat berpakaian tradisi dari Dewan Paroki ke Katedral bersama selebran, Bapa Uskup Julius Dusin Gitom dan Fr Sunny Chung.

Misa dirayakan di dalam dwi-bahasa Melayu dan Kadazan Dusun dengan kehadiran hampir 2000 umat.

Di dalam homilinya, Uskup Julius menerangkan sambutan Pesta Kaamatan yang di sambut oleh kaum Kadazandusun merujuk kepada upacara kesyukuran di atas hasil tani mereka. Katanya, perayaan Kaamatan mengingatkan kita sebagai umat Kristian agar sentiasa bersyukur kepada Tuhan di atas segala pemberian dan berkat Tuhan yang diterima sepanjang tahun.

Sesuai dengan tema tahun ini “Kaamatan Memperkasa Kehidupan Berkomuniti Berpusat Pada Kristus” ianya dapat mewujudkan budaya kesatuan menjadi satu komuniti dan keluarga yang besar yang dibentuk oleh Tuhan.

Pada masa yang sama, Bapa Uskup juga menyeru kepada semua umat untuk sentiasa memupuk budaya melayani antara sesama agar kita menjadi satu keluarga besar yang berpusatkan pada Kristus.--Rogena Sining

Total Comments:0

Name
Email
Comments