Rancang pembangunan rohani berdasarkan doa imamat Yesus

Rancang pembangunan rohani berdasarkan doa imamat Yesus

Nov 30, 2018

KENINGAU: Dalam surat pastoralnya menjelang Perayaan Kristus Raja, Uskup Cornelius Piong telah menulis untuk para paderi, religius, brothers dan Sisters dan para kaum beriman bahawa tahun 2018 sudah hampir selesai.

Prelatus itu bersyukur kepada Tuhan kerana sepanjang tahun 2018, Tuhan telah memberi banyak berkat. Antara lain umat Keuskupan Keningau telah merayakan Jubli Perak Keuskupan Keningau (UTK- 25) pada 4-5 Mei 2018 yang lalu. Kemudian, Keuskupan itu juga telah mengadakan perhimpunan Umat Katolik Keuskupan ke-11 (PUKAT 11) dengan tema, “Umat Tuhan, berjalan bersama dalam Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus”.

“Marilah kita sentiasa mendasari pembentukan peribadi, keluarga dan komuniti kita dengan tiga tonggak ini. Demikian juga dengan aktiviti-aktiviti rohani dan pastoral yang kita rancang di peringkat keluarga, KKD, KUK, Zon mahupun Paroki. Dengan berlandaskan doa-doa ImamatYesus, maka sudah tentu Dialah sumber, alasan dan tujuan hidup kita yang memampukan kita melahirkan “Komuniti Umat Tuhan yang komited dan efektif melayani Kerajaan-Nya.”

Seperti yang semua umat sudah ketahui, bahawa pada tahun ini, hampir semua paderi akan bertukar Paroki. Tidak kira seorang Paderi masih baru atau sudah lama melayani di sesebuah Paroki/Mision, pertukaran adalah perlu dan merupakan perkara yang baik bagi Paderi itu sendiri mahupun umat.

Paderi-paderi yang terlibat dengan pertukaran diharap akan mengatur proses pertukaran secepat mungkin yang akan bermula selepas Pesta Kristus Raja pada 25 Nov dan selesai selewat-lewatnya sebelum Pesta Penampakan Yesus, 6 Januari 2019.

“Kita ucapkan selamat melayani di Paroki baru kepada Paderi yang terlibat. Kepada semua umat, teruskan memberi sokongan padu yang tidak berbelah bahagi kepada sesiapapun Paderi yang akan melayani di Paroki anda,” lafaz Uskup Cornelius.

Surat Pastoral Bapa Uskup Cornelius turut mengumumkan pembubaran dan pemilihan pastoral MPP, MPM, Zon, Kuk, KKD, Komisi, Kerasulan, Komiti dan Komuniti. Jawatankuasa semua peringkat pastoral sesi 2015-2018 dibubarkan selepas Pesta Kritus Raja, 25 Nov. Proses pemilihan Pastoral bagi mendapatkan mandat jawatankuasa baru bagi sesi 2019-2021 akan diusahakan oleh Paderi Paroki, Religius dan MPP selaku pentadbir sementara bermula di peringkat KKD.

Ucapan terima kasih turut diucapkan oleh Uskup Cornelius kepada semua Pengerusi dan ahli-ahli TPK, MPP, MPM, KWK, KBK, KKD, KUD, Zon, Komisi,Komiti dan semua komuniti dan Kerasulan sesi 2015-2018 kerana rela melayani dalam Pentadbiran Pastoral walaupuan melebihi masa tiga tahun kerana mengambil kira masa perayaan Jubli Perak Keuskupan yang jatuh pada tahun 2018.

Uskup Cornelius mengajak seluruh umat berdoa agar persiapan Pemilihan Pastoral akan datang dapat dijalankan di semua peringkat berlandaskan Kesatuan, Kesetiaan dan Kekudusan Yesus Kristus.

Total Comments:0

Name
Email
Comments