Sesungguhnya kita ini hamba Tuhan

Sudah berturut-turut pada tiga Hari Minggu Adven (I, II, III) ketiga-tiga penulis Injil, iaitu Markus, Matius dan Lukas memperkenalkan kepada kita tokoh Yohanes Pembaptis, yang bertugas menyiapkan dan memperkenalkan kedatangan Yesus sebagai Almasih.

Dec 22, 2017

Renungan Hari Minggu
Adven Keempat (B)
2 SAM 7:1-5.8B-12.14A.16
RM 16:25-27
LUK 1:26-38

Sudah berturut-turut pada tiga Hari Minggu Adven (I, II, III) ketiga-tiga penulis Injil, iaitu Markus, Matius dan Lukas memperkenalkan kepada kita tokoh Yohanes Pembaptis, yang bertugas menyiapkan dan memperkenalkan kedatangan Yesus sebagai Almasih.

Pada Hari Minggu Adven IV ini Lukas memperkenalkan kepada kita tokoh Bonda Maria. Kita diajak oleh Lukas untuk mengenal siapa Maria itu sebenarnya. Tokoh wanita inilah yang melahirkan Penyelamat kita!

Hari Raya Natal, iaitu perayaan kelahiran Yesus sebagai Juru Selamat kita, akan bermula beberapa jam lagi. Yang kita rayakan adalah suatu peristiwa yang sungguh luarbiasa, yang tak mungkin dapat kita fahami menurut kemampuan daya fikir manusia. Bagaimana mungkin akan dilahirkannya "Anak Tuhan Yang Mahatinggi" menjadi manusia!

Tetapi bukan hanya kenyataan bahawa Tuhan menjadi manusia adalah suatu peristiwa yang luarbiasa, yang tiada duanya. Masih ada kenyataan luarbiasa lain yang juga tiada duanya, iaitu kata-kata yang diucapkan oleh seorang perawan bernama Maria, seorang penduduk sederhana di kampung Nasaret. Ketika dia menerima tawaran dari Malaikat Gabriel untuk menjadi ibu Putera Tuhan, walaupun sedar akan kesederhanaan dan keterbatasannya, dia berkata: "Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; terjadilah padaku menurut perkataanmu". Sikap dasar yang diungkapkan Maria dengan kata-kata itu sungguh luarbiasa dan tiada duanya! Mengapa?

Dalam ibadat liturgis kita mempersiapkan diri untuk nanti merayakan Hari Raya Natal, sebagai peringatan akan kelahiran Yesus sebagai Almasih di Betlehem duapuluh satu abad yang lalu. Tetapi perayaan Natal tidak akan ada maknanya, apabila Natal hanya sekadar merupakan peringatan akan sesuatu kejadian, namun tidak ada pengaruh dan buahnya yang konkrit bagi keselamatan kita yang merayakannya. Pesta Natal cenderung dirayakan sebagai pesta riang gembira. Tetapi kegembiraan Natal itu banyak kehilangan erti dan tujuannya yang sebenarnya, iaitu kelahiran Yesus sebagai Penyelamat dalam hati kita.

Sesudah tiga Hari Minggu yang lalu kita berusaha mengenal Yohanes Pembaptis, sekarang ini kita mengenal Bonda Maria, Ibu Yesus Penyelamat kita. Sikap dasar peribadi Maria sebagai perempuan perawan, yang sungguh percaya kepada Tuhan, diungkapkannya dalam kata “Fiat”, “terjadilah”, “terjadilah padaku menurut perkataanmu”. “Fiat” Maria sebagai kesediaannya yang total untuk melaksanakan kehendak Tuhan memang telah disiapkan oleh tanpa dosa.

Sebab Tuhan menghendaki pulihnya kembali hubungan-Nya dengan manusia, yang telah diciptakan-Nya menurut citra-Nya. Kerana itu Putera-Nya yang menjadi manusia sebagai Penebus harus lahir dari seorang perempuan yang tak bercela, iaitu Maria. Tuhan menghendaki agar Putera-Nya menjadi saudara kita sebagai manusia. Dan dengan demikian dalam Yesus Kristus Putera-Nya kita menjadi anak angkat Tuhan, Tuhan menjadi Bapa kita, seperti kita ucapkan dalam doa Bapa Kami.

Semuanya itu dapat menjadi suatu kenyataan berkat ucapan dan pelaksanaan “Fiat” Maria. Kata “Fiat” yang bererti “Terjadilah padaku menurut perkataanmu” dilaksanakan Maria dengan setia tanpa henti sepanjang hidupnya. Kata dan perbuatan Maria adalah satu, tidak berbeza! Maria adalah manusia dengan keperibadian yang utuh!

Maria bukanlah hanya Ibu/Bonda Yesus Penyelamat secara fizik belaka. Kebondaannya berlandasan pada imannya. Sebelum Maria menerima Yesus dalam kandungannya, dia telah menerima-Nya dalam iman; “Berbahagialah dia, yang telah percaya, sebab apa yang dikatakan kepadanya dari Tuhan akan terlaksana” (Luk 1:45). Injil Lukas hari ini memberi pesan kepada kita, supaya kita makin tahu dan sedar apa sebenarnya erti percaya kepada Tuhan.

Percaya bukanlah sekadar bererti mahu menerima sesuatu sebagai kebenaran, meskipun masih secara samar-samar. Orang baru sungguh percaya, apabila ia apa yang diimani atau dipercayai menentukan dan membentuk segenap arah dan corak hidupnya. Dengan kepercayaan serupa itulah orang-orang Ibrani merumuskannya dengan kata singkat “aman”, atau dalam bahasa kita “amin”. Dengan mengucapkan istilah alkitabiah “amin” yang percaya menyerahkan segenap hidupnya kepada kehendak Tuhan.

Itulah juga yang dilakukan Maria ketika ia menerima berita dari Malaikat Gabriel dengan menjawab “Fiat”, “Terjadilah padaku menurut perkataanmu itu”. Maria melaksanakannya tanpa cela dalam segenap peristiwa dan pengalaman yang dihadapinya: mulai dengan peristiwa penerimaan berita di Nasaret, melahirkan anaknya di Betlehem, mengungsikan anaknya yang akan dibunuh, menyaksikan sendiri penolakan Yesus puteranya oleh masyarakat, dan bahkan akhirnya harus menderita dan dihukum mati di Golgota. Tetapi tidak terkecuali: Maria juga mengalami puteranya bangkit kembali dan diangkat ke syurga.

Beberapa jam lagi kita akan menyambut kelahiran Yesus Penyelamat kita. Kita memperingati peristiwa kelahiran Almasih dua puluh satu abad yang lalu. Marilah kita mempersiapkan diri untuk menyambut kelahiran Yesus sebagai Almasih di dalam diri kita semua dan masing-masing, dengan sikap dasar Maria Bonda Yesus, tetapi juga Bonda kita, iaitu dengan ucapan dan penghayatannya: “Sesungguhnya aku ini adalah hamba Tuhan; terjadilah padaku menurut perkataanmu.”--Msgr. FX. Hadisumarta O.Carm

Total Comments:0

Name
Email
Comments