Tim Turun Ladang lawati stasi terjauh di paroki KSFX

Pada 21 hingga 23 Disember 2020 yang lalu, Team Turun Ladang KSFX bersama Father David Gosikol telah melakukan lawatan pastoral KUK-KUK di Zon Pohon B

Jan 15, 2021

KENINGAU: Pada 21 hingga 23 Disember 2020 yang lalu, Team Turun Ladang KSFX bersama Father David Gosikol telah melakukan lawatan pastoral KUK-KUK di Zon Pohon Batu, zon terjauh di bawah naungan Paroki KSFX, Keningau.

Turut menyertai lawatan pastoral ini ialah Seminarian Larry David Misol dan Aspirant Michael Mok serta beberapa umat yang lain.

KUK pertama yang dilawati adalah KUK St. Isidorus, Pengaraan pada 21 Disember 2020. Misa Kudus dimulakan pada jam 5.00 petang. Dalam Misa ini, Fr David turut memimpin upacara Pembaptisan Kanakkanak, Kesyukuran Ulang Tahun ke-30 penubuhan KUK St. Isidorus, Pengaraan, Kesyukuran Ulang Tahun ke-30 pelayanan sebagai katekis bagi Katekis Isidorus serta sambutan Hari Krismas 2020.

Katekis Isidorus, dalam ucapannya, mengongsikan suka duka beliau melayani sebagai katekis dan sejarah singkat tertubuhnya secara rasmi KUK Pengaraan ini 30 tahun yang lalu.

Beliau menyatakan bahawa jumlah umat semakin bertambah setiap tahun dan Gereja sudah tidak dapat menampung bilangan umat yang datang ke Misa Kudus atau Ibadat Sabda.

Kat. Isidorus juga bersyukur atas pang gilan menjadi Katekis 30 tahun yang lalu dan masih bertahan hingga sekarang atas sokongan Bapa Uskup, para Paderi serta umat dan berharap agar ada pelapis yang akan menyahut panggilan seperti beliau  di KUK tersebut.

Fr. David Gosikol di dalam ucapannya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kat. Isidorus dan semua umat di KUK Pengaraan atas semangat pelayanan dan pembangunan iman di tempat ini serta mendoakan agar perjalanan iman umat di KUK itu sentiasa berterusan.

Pada hari yang seterusnya iaitu 22 Disember 2020, rombongan TTL meneruskan  perjalanan ke KUK St. Paulus, Pohon Batu. Di sini, Misa Kudus dimulakan pada jam 5.00 petang dengan upacara pembaptisan bagi kanak-kanak dan dewasa serta Pemberkatan Perkahwinan bagi tiga pasangan di kampung tersebut.

Pada akhir Misa Kudus, dalam ucapan alu-aluannya, Katekis St Paulus, Sdra Paulus mengungkapkan rasa syukurnya di atas kedatangan rombongan TTL serta dapat merayakan Misa Kudus bersama Fr David.

Katanya, merayakan Misa Kudus yang amat dirindui oleh umat di KUK tersebut. Umat juga bersukacita dengan upacara pembaptisan yang menandakan bilangan  umat Katolik semakin bertambah.

Pada hari ketiga, 23 Disember 2020, hujan yang turun dengan lebat menyukarkan pergerakan rombongan TTL  untuk ke KUK St Joseph, Lumiti.

Dengan semangat yang kental, mereka berhadapan keadaan jalan yang licin, tanah runtuh serta lumpur tebal. Kepayahan meredah perjalanan yang sukar itu terubat melihat wajah-wajah para umat yang menanti kedatangan rombongan TTL sejak pagi untuk melakukan Pengakuan dan merayakan Misa Kudus.

Selepas Misa Kudus, paderi dan rombongan TTL beramah mesra dengan para penduduk dalam acara persaudaraan yang sederhana.  KUK St Joseph merupakan KUK terakhir yang dilawati oleh rombongan TTL sebelum kembali ke Paroki. —Ronz

Total Comments:0

Name
Email
Comments