60 tahun belum tua ... Katekis senior perbaharui komitmen

Mereka masih cergas, kacak, segak dan mantap ... Empat puluh dua orang katekis di atas usia 60 tahun telah memperbaharui komitmen pelayanan mereka dalam kursus selama tiga hari di Pusat Retret Pace Bene, pada 21-23 Jun lalu.

Aug 10, 2018

PAPAR: Mereka masih cergas, kacak, segak dan mantap ... Empat puluh dua orang katekis di atas usia 60 tahun telah memperbaharui komitmen pelayanan mereka dalam kursus selama tiga hari di Pusat Retret Pace Bene, pada 21-23 Jun lalu.

Kursus tersebut dianjurkan oleh Komisi Kateketikal Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Matlamat kursus ini adalah untuk mengemaskini pelayanan mereka menurut edisi terbaharu semakan Pedoman Umum Misale Romawi

Pada masa yang sama, para katekis di atas usia 60 tahun ini juga menambah pengetahuan mereka tentang ajaran-ajaran Gereja, pengetahuan rohani, kemahiran presentasi, penyediaan dan penyampaian homili (bagaimana menyedia dan menyampaikan refleksi sempena perayaan Hari Minggu Tanpa Paderi).

Komisi Kateketikal telah mereka bentuk khusus kursus ini menjadi program pembinaan alternatif bagi para katekis yang telah berusia lebih 60 tahun yang sedang melayani di paroki masing-masing serta mendapat rekomendasi daripada paderi paroki.

Selain itu, Komisi Kateketikal juga telah menjalankan beberapa program bertahap iaitu Tahap Pertama — pembinaan untuk katekis baharu, Tahap Dua dan Tahap Tiga bagi para katekis yang sudah melalui tahap pertama dan sedang melayani di paroki. Walau bagaimanapun, Komisi juga menyedari bahawa tahap-tahap ini adalah sukar bagi katekis veteran kerana durasi program yang panjang.

Para katekis senior juga berpendapat dan berharap agar Komis Kateketikal dapat menambah baik program-program yang ada. Mereka mencadangkan agar topik “Kualiti Kepimpinan seorang Katekis” dapat ditambah dalam kursus akan datang.

Satu lagi maklum balas daripada para peserta iaitu mahu lebih banyak program kemas kini dianjurkan oleh Komisi kerana ia bukan sahaja membawa manfaat kepada katekis, tetapi juga kepada para umat. Beberapa katekis mengongsikan bahawa mereka sudah melayani semasa era para misionari asing memberitakan Khabar Gembira di Sabah dan bersama mendiang Fr Augustine Amandus.

Mereka menjelaskan bahawa format penginjilan dan ibadat pada masa dahulu adalah sangat berbeza dengan masa sekarang. Oleh itu, mereka mahu agar kursus-kursus pembinaan dapat diselaraskan demi perkembangan iman umat di tempat mereka melayani.

Semasa perbincangan dalam kumpulan, ramai katekis senior ini bersetuju bahawa program yang mereka sertai amat baik untuk penyegaran dan pembaharuan iman, namun pada masa yang sama mereka mengatakan bahawa sukar menumpukan perhatian jika kursus yang dijalankan memakan masa yang panjang.

Kursus ini diakhiri dengan Misa yang dipimpin oleh Father Nicholas Stephen diikuti majlis penyampaian sijil kepada katekis-katekis senior yang hadir.

Total Comments:0

Name
Email
Comments