Apa yang ku nilai sebagai terbaik dalam hidup ini?

Untuk hidup di dunia ini segala-galanya memerlukan wang dan harta

Sep 16, 2016

HARI MINGGU BIASA 25
TAHUN C
AMOS 8:4-7
I TIMOTIUS 2:1-8
INJIL LUKAS 16:1-13

Untuk hidup di dunia ini segala-galanya memerlukan wang dan harta. Tanpa wang dan harta kehidupan manusia menjadi tidak menentu dan tidak ada masa depan yang cerah. Ini adalah disebabkan oleh wang dan harta ramai orang yang sanggup melakukan apa saja untuk mendapatnya.

Sama ada cara mendapatkannya dengan jalan yang baik atau tidak baik, orang yang gilakan wang dan harta tidak peduli. Disebabkan wang dan harta duniawi ada orang sanggup menggadaikan nyawa, keluarga dan diri atau tubuh sendiri.

Ramai juga orang yang sanggup menindas, menipu, mencuri dan membunuh orang lain untuk memiliki lebih banyak wang dan harta di dunia ini.

Tetapi kita semua tahu bahawa kebahagiaan sejati tidak dapat dimiliki dengan menggunakan wang atau harta. Kekayaan di dalam dunia ini tidak menjamin kegembiraan dan kebahagiaan seseorang atau keluarganya.

Namun demikian, mengapa manusia terus mencari dan mahu memiliki lebih banyak wang dan harta untuk dirinya sehinggakan wang dan harta menjadi tuhan dalam hidupnya.

Bagi kita umat Kristian bukan salah atau dosa untuk menjadi kaya dan memiliki banyak harta asalkan kita mendapatnya dengan cara yang benar dan tidak bertentangan dengan kehendak Tuhan.

Kekayaan dan harta milik kita di dunia ini merupakan berkat dan pemberian daripada Tuhan sumber kehidupan manusia, maka ia haruslah digunakan untuk kebaikan terutama sekali untuk membantu mereka yang memerlukan.

Dalam erti kata lain, ia haruslah digunakan untuk mengabdi kepada Tuhan.

Perumpamaan dalam pembacaan Injil hari ini menyatakan tentang sikap seorang bendahara yang menyalahgunakan harta milik tuannya untuk kepentingan dirinya sendiri.

Dia tidak jujur dalam menjalankan tanggungjawabnya. Apabila dia dipecat oleh tuannya dia melakukan sesuatu dengan cerdik supaya dia diterima oleh orang lain. Seolah-olah dia berbuat baik kepada mereka berhutang pada tuannya dengan meringankan bebanan mereka. Malah dia sanggup menipu majikannya dengan melibatkan orang lain demi kepentingan dirinya sendiri.

Di dalam perumpamaan ini Tuhan Yesus mengajar kita supaya sentiasa bersikap jujur dan bertanggungjawab dalam pekerjaan terutama sekali dalam hal mengurus harta milik orang lain. Tuhan mengingatkan kita supaya tidak mencari kepentingan diri sendiri.

Kejujuran dan bertanggungjawab dalam pekerjaan atau pelayanan sama ada kecil atau besar merupakan ungkapan iman kita serta pengabdian kita kepada Tuhan. Tuhan Yesus menegaskan bahawa orang yang setia dan jujur dalam melakukan perkara-perkara kecil akan menjadi orang yang setia dan jujur dalam melakukan perkara-perkara besar juga.

Tuhan juga menekankan bahayanya jika wang dan harta milik digunakan tidak bersesuaian dengan kehendak Tuhan. Pesanan Injil hari mengajak kita sebagai umat Kristian yang bertanggungjawab supaya membangun dunia ini dengan keadilan dan kejujuran.

Orang yang merasa moden menganggap ajaran Yesus itu naïf, tidak realistik! Itulah pandangan juga kaum Farisi. Yesus dianggap tidak mengenal dunia dan manusia. Kaum Farisi ini ingin “hidup enak dan menyenangkan”.Dan untuk hidup enak, memerlukan wang. Tetapi di depan umum mereka juga ingin tampak saleh dan beragama. Maka mereka beribadat — Inilah hidup dan perbuatan orang beriman yang beribadat palsu!

Dalam pembacaan pertama nabi Amos menentang sikap orangorang kaya yang menindas dan menipu orang-orang miskin demi kepentingan diri mereka supaya mendapat keuntungan yang lebih besar.

Dia mengingatkan mereka bahawa Tuhan tidak akan melupakan perbuatan jahat mereka itu. Santo Paulus, dalam pembacaan kedua, mengajak kita supaya berdoa untuk semua orang kerana Tuhan menghendaki semua orang diselamatkan.

Sebagai umat Kristian, kita bertanggungjawab untuk berdoa bagi para pemimpin dan pembesar dunia supaya mereka menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dengan adil dan jujur. Berdoa bagi semua orang merupakan ungkapan iman kita kepada Yesus Kristus yang telah mati untuk menebus semua manusia.

Pesan Injil hari ini: Hidup kita di dunia adalah sementara. Hidup kita yang tertinggi dan adalah hidup bersatu dengan Tuhan yang abadi kelak. Kita jangan memutlakkan milih jasmani/material untuk hidup sementara. Yang kita utamakan ialah berikhtiar sekuat tenaga untuk memiliki dan menghayati hidup rohani untuk dapat hidup dengan Tuhan selamanya.--IJN

Total Comments:0

Name
Email
Comments