Bangkitkan semangat Merdeka/Hari Malaysia pada musim pandemik

Biarpun pada musim pandemik, semangat Merdeka/Hari Malaysia harus disemarakkan. Dengan tema “Malaysia Prihatin”, beberapa orang klerus, religius dan umat awam menyatakan pandangan mereka.

Aug 28, 2021

Biarpun pada musim pandemik, semangat Merdeka/Hari Malaysia harus disemarakkan. Dengan tema “Malaysia Prihatin”, beberapa orang klerus, religius dan umat awam menyatakan pandangan mereka:

Belajar dari semangat Santo Yosef
Nilai dan semangat Hari Malaysia dapat kita belajar daripada semangat Santo Yosef.

Semangat membuat pilihan seturut kehendak Tuhan, terlibat aktif sebagai penjaga keluarga Kudus, berani berkorban dalam setiap ruang dan keadaan, semuanya ini adalah teladan yang indah untuk kita di Malaysia ini.

Kita memang warga Malaysia… tetapi juga adalah warga ‘Malaysia baharu’ di syurga.

Di tengah-tengah pandemik ini, semangat bersyukur perlu diteruskan. Syukur atas kesejahteraan dan keamanan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada bumi Malaysia.

Selain itu, jika mampu, bantulah mereka yang memerlukan bantuan material, sokongan moral dan rohani. — Fr Francis Dakun, Kolej Santo Petrus, Kuching

SOP bukan alasan tidak prihatin
Tema hari kebangsaan 2021 “Malaysia Prihatin” bukan sekadar dikumandangkan tetapi semangat prihatin harus dihidupi terutama di kalangan mereka yang amat terkesan oleh pandemik ini.

Norma baharu yang harus diamalkan seperti “jaga jarak, keluar rumah hanya apabila perlu” tetapi ini bukan alasan bagi kita untuk tidak prihatin dengan menutup mata dan hati kepada sesama di sekeliling kita.

Prihatin dengan mengingatkan sesama, mendengar keluh kesah sesama yang tertekan emosi, menghulurkan bantuan semampunya, menguatkan mereka yang putus harapan dan sebagainya.

Semangat prihatin ialah adanya kepedulian kepada sesama, melindungi sesama dan dari sikap memperhatikan sesama ini kita akan membendung pandemik ini sehingga tercapainya perlindungan kelompok.

“Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu lakukan untuk salah seorang dari saudara-Ku yang paling hina ini, kamu telah melakukannya untuk Aku.” (Mat 25:40). — Sr Patricia Limun, FSIC, Katedral St Francis Xavier, Kenin

“Malaysia prihatin” harus dijiwai
Keadaan pandemik seolah-olah menyuramkan sambutan Hari Malaysia. Namun seharusnya sebagai umat Kerajaan Tuhan dan rakyat berbilang bangsa semangat patriotik tetap mekar di hati kita masing-masing.

Kibarkan Jalur Gemilang di rumah ,premis dan kenderaan kita, sampaikan ucapan Hari Malaysia melalui media elektronik. Semarakkan semangat kesatuan dan perpaduan, sebarkan Kasih.

Perkara simple seperti ini sebenarnya memberikan impak yang besar kepada masyarakat. Bersama kita prihatin terhadap satu sama lain, bergandingan bahu dengan seluruh rakyat Malaysia, menghadapi badai pandemik. Bersama Tuhan, pasti kita akan menang. Amen. — Nancy Nelly Joneh, Pengerusi Majlis Pastoral Katedral St Francis Xavier, Keningau

Kibarkan Jalur Gemilang
Pertama-tama saya berdoa agar kita semua terus bertahan dan diberi kekuatan dalam usaha kita bersama untuk menamatkan wabak COVID-19.

Semangat perjuangan para pemimpin dahulu dalam menuntut kemerdekaan negara walau penuh dengan ranjau dan liku-liku, kita jadikan sekarang pula sebagai pengajaran dan sumber inspirasi kepada kita semua demi mencetuskan semangat kebersamaan di antara kita dalam memerangi wabak COVID-19.

Melalui semangat cinta akan negara yang sentiasa diperkukuhkan, kita dapat mempertahankan kehidupan yang harmoni, saling mencintai, dan bersatu sesama manusia walaupun berlainan bangsa, agama, dan latar belakang kehidupan.

Kini kita sudah menikmati kebebasan dan kemerdekaan yang ke-64 maka marilah kita kibarkan Jalur Gemilang dengan bangga, kesyukuran akan penyertaan Tuhan kepada Negara kita dan penuh keyakinan mengharungi kehidupan mendatang.

Walaupun kita masih berhadapan dengan musuh yang sukar dilihat dan lebih berbahaya ini, namun jangan patah semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman atau kenderaan kita sebagai tanda semangat solidariti untuk menyatakan cinta kita kepada Negara tercinta, disertai doa dan harapan agar negara kita segera pulih dari wabak Covid-19, segera mencapai tahap imunisasi kelompok, dan akhirnya kembali ke kehidupan normal menikmati kesejahteraan bersama. — Father David Gasikol, Katedral St Francis Xavier Keningau

Hayati Rukun Negara
Sempena Hari Merdeka dan Hari Malaysia pada musim pandemik ini, mungkin kita boleh lakukan aksi sederhana untuk membangkitkan semangat cintakan negara.

Pada tahun lalu, saya mengajak anak-anak saya untuk memberi sumbangan kepada Gereja, mengirim e-kad Hari Malaysia kepada rakan-rakan melalui media sosial, membaca Rukun Negara atau mengajar anakanak menyanyikan lagulagu patriotik agar semangat cintakan tanah air tidak luntur dan tidak mudah dilupai oleh generasi muda.

Aktiviti-aktiviti kecil ini diteruskan pada tahun ini. Selain itu, saya menggalakkan anak-anak saya untuk menyertai pertandinganpertandingan yang dianjurkan oleh pihak sekolah atau swasta yang bertema Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Namun, paling penting ialah berdoa Novena sembilan hari untuk keamanan negara dan mengikuti Misa Kudus sempena Hari Malaysia. — Pauline John, Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu

Persefahaman kekalkan perpaduan
Bagi pendapat saya, untuk menghidupkan semangat kemerdekaan adalah JIWA dan JATI DIRI. Di mana dari diri kita sendirilah untuk kita bermula. Selain itu, PERSEFAHAMAN juga penting untuk kita serta masyarakat yang berbilang kaum ini untuk terus kekalkan hubungan. — Niklas Phuan Keuskupan Sandakan

Total Comments:0

Name
Email
Comments