Belia Limbahau sukses anjur Hiking With Jesus

Hiking With Jesus .. You’ll never walk Alone merupakan program yang dianjurkan oleh Tim Pelayanan Belia Paroki Holy Rosary Limbahau (TPBP HRL) telah mendapat sambutan besar bukan sahaja di kalangan kaum muda tetapi umat setempat.

Apr 12, 2019

LIMBAHAU: Hiking With Jesus .. You’ll never walk Alone merupakan program yang dianjurkan oleh Tim Pelayanan Belia Paroki Holy Rosary Limbahau (TPBP HRL) telah mendapat sambutan besar bukan sahaja di kalangan kaum muda tetapi umat setempat.

Program yang diilhamkan oleh Penolong Paderi Paroki Holy Rosary Limbahau, Father Rayner Bisius itu merupakan Ibadat Jalan Salib dengan berjalan kaki sejauh empat kilometer menuju Bukit Pohumpung.

Dalam perjalanan pada 23 Mac itu, umat harus melalui jambatan gantung sepanjang 100 meter menghubungkan Kg Limbahau dengan Kg Papaga Biau. Doa pembukaan dipimpin oleh Fr Rayner selepas semua peserta menyeberang jambatan gantung tersebut.

Dalam perjalanan, umat dibawa untuk berdoa Rosari yang dipimpin oleh Veronnie Ann. Perjalanan ke Bukit Pohumpung mengambil masa selama 40 minit dan keselamatan semua umat dijaga oleh Marshall berbasikal. Di Bukit Pohumpung, Ibadat Jalan Salib dijalankan di mana setiap perhentian dipimpin oleh wakil ketua belia dari Komuniti Pastoral Umat Katolik. Acara kemuncak program ini ialah perayaan Ekaristi di puncak Bukit Pohumpung yang dipimpin oleh Fr Rayner.

Syukur kepada Tuhan cuaca agak baik meskipun keadaan bukit agak berhabuk kerana kesan pembakaran terbuka sehari sebelum program. Salah seorang peserta program ini, Sdri Theodora Micheal mengongsikan, “Pengalaman saya semasa mengikuti program “Hiking with Jesus” sangat memberikan kesedaran dan memperbaharui komitmen saya sebagai belia Katolik. Semasa menyeberang jambatan gantung saya berasa gayat kerana pergerakan saya tidak seimbang dan bebanan beg galas serta dua botol air yang bukan milik saya.

Tetapi saya kuatkan semangat dengan berdoa Salam Maria. Ibadat Jalan Salib juga telah memberi saya pengalaman istimewa, seakan-akan saya mengiringi Yesus yang menderita ke Bukit Golgota.

Perayaan Misa Kudus juga telah meneguhkan iman saya dan menyedarkan saya akan misi saya sebagai umat yang dibaptis dalam mewartakan Khabar Gembira,” ujar Theodora yang merupakan belia berasal dari Kg Nagapas.

Wakil belia dari St Sabina, Kg Titimboungon, Sdri Ratchell Boy mengatakan bahawa Jalan Salib dan Misa Kudus di Bukit Pohumpung itu memberi pengalaman unik. Ratchell yang bertugas dalam salah satu perhentian benar-benar merasai keagungan cinta kasih Tuhan yang sanggup menderita dan menerima hukuman meskipun Dia tidak bersalah, demi menebus dosa manusia.

Program ini juga dianjurkan untuk memupuk kesatuan di antara belia HRL. Lebih-lebih lagi apabila Paroki Limbahau dan Papar telah dipilih menjadi tuan rumah penganjur SYD 5- 2020. Secara tidak langsung, sikap kepimpinan di kalangan belia dan TPBP dapat dibentuk. — Evangelisa

Total Comments:0

Name
Email
Comments