Belia orang asli sebagai penjaga budaya

Uskup Agung Caccia, Pemerhati Tetap Takhta Suci kepada PBB, telah menyampaikan ucapan pada Sesi ke-23 Forum Tetap PBB mengenai Isu Orang Asli di New York, April 16 lalu.

Apr 26, 2024

Bapa Suci bertemu dengan perwakilan belia orang asli di Vatikan pada Mei 30, 2018.


NEW YORK: Uskup Agung Caccia, Pemerhati Tetap Takhta Suci kepada PBB, telah menyampaikan ucapan pada Sesi ke-23 Forum Tetap PBB mengenai Isu Orang Asli di New York, April 16 lalu.

Pertemuan bertema, “Meningkatkan Hak Orang Asli untuk Penentuan Nasib Sendiri dalam Konteks Deklarasi PBB mengenai Hak Orang Asal: Menekankan Suara Belia Orang Asli”

Dalam kenyataannya, Uskup Agung menyatakan bahawa Takhta Suci mengiktiraf kerja-kerja Forum Tetap Isu Orang Asli.

Prelatus itu menegaskan tentang Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP) serta menekankan kepentingan mengiktiraf “peranan belia orang asli sebagai penjaga budaya mereka sekarang dan masa depan.”

Uskup Agung Caccia menjelaskan bahawa Sri Paus Fransiskus telah menggalakkan golongan muda orang asli untuk mengekalkan budaya mereka dengan memerangi penyisihan, pembaziran dan kemiskinan demi membina dunia yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

Prelatus itu juga berbicara mengenai sumbangan belia orang asli dalam bidang kebudayaan.

“Mereka boleh melibatkan diri secara aktif dalam melindungi dan menghidupkan semula amalan budaya mereka serta menyumbang kepada pemeliharaan cara hidup masyarakat mereka yang berbeza, melindungi hak mereka demi kelangsungan budaya serta kehidupan mereka,” katanya.

Belia orang asli berfungsi sebagai “jambatan antara generasi, memupuk dialog, persefahaman, dan kerjasama antara generasi dalam komuniti mereka,” tambah Uskup Agung.

Mereka juga berada di barisan hadapan dalam memperjuangkan perlindungan tanah nenek moyang, sumber asli dan ekosistem, yang merupakan komponen utama identiti orang asli.

Diplomat Vatikan itu memetik kata-kata daripada Sri Paus Fransiskus yang menegaskan bahawa “Tuhan, Pencipta dan Bapa semua orang dan segala yang ada, memanggil kita hari ini untuk hidup dan menjadi saksi kepada panggilan kita untuk mewujudkan persaudaraan sejagat, kebebasan, keadilan, dialog, perjumpaan, cinta dan kedamaian demi mengelak daripada tercetusnya kebencian, perpecahan, keganasan dan peperangan.” — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments