Belia Sandakan sertai Temu Raya Orang Muda Tanjong Selor

13 orang belia telah menyertai Temu Raya Orang Muda Katolik (TROMK) di Keuskupan Tanjung Selor, Kalimantan Timur, Indonesia.

Jul 28, 2017

NUNUKAN, Kalimantan, Indonesia: 13 orang belia telah menyertai Temu Raya Orang Muda Katolik (TROMK) di Keuskupan Tanjung Selor, Kalimantan Timur, Indonesia.

TROMK merupakan program yang diadakan sekali dalam tiga tahun dan ia merupakan program Komisi Kemudaan Keuskupan Tanjung Selor. TROMK kali kedua ini telah diadakan pada 29 Jun-3 Julai di Gereja Paroki St Gabriel, Nunukan.

Seramai 434 peserta telah menyertai program yang datang dari 14 paroki di Keuskupan Tanjung Selor dan satu undangan tamu dari luar iaitu Keuskupan Sandakan. Acara ini juga disertai oleh 15 orang Paderi, dua Diakon dan dua Religus dari Keuskupan Tanjung Selor.

TROMK yang pertama telah diadakan pada tahun 2013 dan Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan telah dijemput untuk menyertainya. Namun pada ketika itu, Keuskupan Sandakan tidak dapat menghantar peserta kerana kebetulan mempunyai program di peringkat Keuskupan.

Penyertaan pertama ini merupakan satu titik permulaan bagi kedua-dua Keuskupan untuk menjalinkan jaringan persahabatan dan pastoral. Selain itu, ini juga merupakan satu peluang untuk saling mengenali budaya dan kehidupan kaum muda Katolik (OMK) di Keuskupan Tanjung Selor terutama sekali di Nunukan yang hanya mengambil masa dua jam untuk tiba di situ dari Tawau, dengan menggunakan perkhidmatan feri.

Program lima hari itu telah memberikan peluang kepada para peserta untuk merasai tinggal bersama keluarga angkat. Selain itu mereka juga disajikan dengan motivasi iman dan memberi peluang kepada pesertanya untuk menampilkan bakat serta kreativiti masing - masing.

Motivasi iman yang disampaikan oleh Bapak Stefanus Rizal Rejadi. mengajak OMK untuk membawa perubahan bagi Gereja, Bangsa dan Negara terutama di wilayah perbatasan.

Beliau juga menekankan pelayanan kepada mereka yang terbiar dan bagaimana belia mengambil peranan dalam hal kehidupan manusia di perbatasan terutama para migran dan perantau.

Dalam program ini juga diadakan Pawai Budaya Lintas Agama (Perarakan Budaya Pelbagai Iman). Penyertaan kaum muda dari agama yang berlainan menunjukkan bahawa selalu ada keindahan dalam perbezaan dan orang muda Katolik perlu berani mempertahankan keharmonian antara iman tersebut. Pada malam terakhir program dilanjutkan dengan pentas seni.

Komisi Kerasulan Belia Keuskupan Sandakan ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pihak penganjur yang dipimpin oleh Sdra Kornelis Kio Tobil selaku Ketua Panitia TROMK KTS 2. Semoga persahabatan ini berterusan dan undangan untuk menyertai TROMK pada masa akan datang dapat diteruskan.

Salah seorang peserta dari Keuskupan Sandakan, Lilian Alo Lein mengatakan bahawa beliau amat gembira kerana berpeluang mengikuti TROMK2 di Keuskupan Tanjung Selor. Lilian pasti tidak akan lupa perkongsian tentang seorang Ibu dan Sesi Iman bersama Romo Agus.

Katanya, “Apabila kembali ke Paroki, saya ingin melayani Gereja tanpa batas dan cuba untuk memberanikan diri dalam aktiviti belia agar dapat mengenali diri sendiri di samping membawa sukacita Yesus kepada semua orang.

“Saya sungguh-sungguh bersyukur kerana telah dijaga dengan baik oleh keluarga angkat sepanjang TROMK 2. Akhir kata, saya ingin melayani tanpa batas kerana yakin Tuhan selalu ada untuk umat yang ingin datang kepada-Nya.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments