Belia ziarah ke gunung 8,000 kaki demi kebebasan beragama

Dengan tema “Kami menuntut kebebasan beragama,” ribuan anak muda Katolik melakukan ziarah pada Januari 17 lalu ke monumen Kristus Raja yang terletak di Bukit Cubilete setinggi 8,900 kaki di Guanajuato, Mexico.

Jan 28, 2024

Sebahagian peserta yang menyertai Ziarah Belia Nasional ke bukit Cubilete.


KOTA MEXICO: Dengan tema “Kami menuntut kebebasan beragama,” ribuan anak muda Katolik melakukan ziarah pada Januari 17 lalu ke monumen Kristus Raja yang terletak di Bukit Cubilete setinggi 8,900 kaki di Guanajuato, Mexico.

Menurut Andrea Perea, presiden gerakan penganjur Saksi dan Harapan, Perarakan Belia Nasional ke-42 dipersembahkan sebagai manifestasi bakti dan komitmen masyarakat.

“Tahun ini, selain ziarah di mana ia adalah salah satu bentuk persembahan hasil kerja kami kepada Tuhan, kami juga mahu mengadakan perarakan atau ziarah sebagai tanda kehadiran belia Katolik yang juga mahu menyumbang sesuatu,” kata Andrea kepada akhbar ACI Prensa, sebuah akhbar Katolik berbahasa Sepanyol.

Pemimpin gerakan Katolik itu menekankan bahawa pelbagai aktiviti rohani yang dirancang adalah dimaksudkan sebagai “panggilan kepada umat Katolik atas tanggungjawab mereka dalam menghadapi kenyataan serta realiti di negara ini.”

“Tuntutan untuk kebebasan beragama adalah kerana rasa cinta yang kita miliki terhadap bangsa kita; kami berusaha untuk menumbuhkan kepercayaan pada generasi muda Mexico, mengingatkan mereka bahawa umat Katolik juga harus bertanggung jawab terhadap lingkungan mereka,” tambahnya.

Andrea juga menjelaskan bahawa ziarah itu bertujuan untuk menyatukan remaja dan generasi muda “untuk bekerja sama membangun Kerajaan Tuhan,” dan menjadi pengingat tahunan bahawa “Mexico sebagai tempat yang ideal bagi kaum muda Katolik.”

Ziarah pada Januari 17 itu menuju ke monumen Kristus Raja, patung setinggi 75 kaki di Bukit Cubilete, yang didirikan pada tahun 1950 sebagai penghormatan kepada para martir Perang Cristero.

Pada tahun 1926, Perang Cristero tercetus hingga tahun 1929, akibat penganiayaan agama yang dialami umat Katolik di negara tersebut di bawah pemerintahan Presiden Plutarco Elías Calles.

Rejim Plutarco tidak hanya membunuh mereka yang mengangkat senjata untuk membela iman mereka tetapi juga para pemimpin yang secara damai menyatakan penolakan mereka terhadap undang-undang anti-klerikal yang disahkan oleh Plutarco di depan umum.

Meskipun ada penindasan dari pemerintah, perang dan perjuangan Cristero terkenal hingga kini kerana seruannya “Hidup Kristus Raja!” dan “Hidup Perawan Guadalupe!” -- CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments