Belum terlambat untuk mengungkapkan kasih

Belum terlambat untuk mengungkapkan kasih

Mar 15, 2019

Seorang rakan setugas saya, seorang ahli terapi klinikal, mengongsikan kepada saya akan kisah ini: Seorang wanita datang menemuinya pada suatu hari.

Wanita itu dalam keadaan sangat tertekan. Suaminya baru sahaja meninggal dunia akibat serangan jantung. Kematian suaminya itu sangat mengejutkan dan berlaku pada waktu yang sangat tidak sesuai.

Mereka telah berkahwin dengan bahagia selama tiga puluh tahun dan sepanjang masa itu, mereka tidak pernah mempunyai krisis besar dalam perhubungan mereka sebagai suami isteri.

Tetapi pada hari suaminya meninggal dunia, mereka telah bertelingkah tentang sesuatu yang tidak penting namun dari hari ke sehari, pertelingkahan itu merebak menjadi sesuatu yang besar sehingga mereka berdua mulai saling mengeluarkan kata-kata kesat dan tidak mahu mendengar kata antara satu dengan lain.

Pada suatu ketika, kerana marah dan geram, si suami keluar dari rumah dan memberitahunya bahawa dia hendak pergi membeli barang, tetapi sebelum menaiki kereta, suaminya diserang sakit jantung dan meninggal dunia.

Jadi, tidak hairanlah, wanita itu sangat sedih dan kecewa di atas pemergian si suami yang tiba-tiba tanpa sempat mendengar atau mengucapkan kata-kata terakhir. Wanita itu dalam tangisannya berkata, “Sepanjang perkahwinan kami, kami mempunyai hubungan yang saling sayang menyayangi dan ketika kami bertelingkah di atas sebuah perkara yang sebenarnya tidak membawa manfaat, pertelingkahan yang tidak baik itulah yang menjadi percakapan terakhir kami!”

Ahli terapi itu pada mulanya mengatakan sesuatu yang humor. Katanya: “Betapa jahatnya dia kerana melakukan perkara itu kepada kamu! Dia pergi begitu sahaja!” Tetapi sudah tentu, suami wanita itu sendiri tidak menyangka bahawa akan menghembuskan nafas sedemikian, tetapi hal itu tidak dapat diterima oleh si isteri dan si isteri juga masih menyimpan rasa kesal yang tidak ada penghujungnya.
Kemudian, ahli terapi itu bertanya kepadanya, “Jika anda mempunyai lima minit sebelum suami anda meninggal dunia, apa yang kamu mahu katakan kepadanya?”

Dengan yakin wanita itu menjawab, “Saya akan memberitahu dia betapa saya mencintai dia, bahawa dia seorang yang sangat baik sepanjang perkahwinan kami, dan pertelingkahan kecil kami yang terakhir itu langsung tidak bermakna berbanding kasih sayang kami selama ini.”

Ahli terapi itu mengatakan kepada wanita itu, “Anda seorang wanita beriman, anda percaya di dalam persekutuan para kudus, suami anda masih hidup dan hadir dengan anda, jadi beritahulah kepada dia sekarang, apa yang anda telah beritahu kepada saya. Anda tidak pernah terlambat untuk memberitahu dia betapa anda menyayangi dia.”

Ahli terapi itu memang betul. Tidak ada istilah terlambat. Tidak ada istilah terlambat memberitahu orang-orang tersayang yang telah meninggalkan kita, tentang perasaan kita terhadap mereka.

Tidak ada istilah terlambat untuk meminta maaf di atas kesilapan yang membawa kelukaan pada hati mereka. Tidak ada istilah terlambat untuk memohon kemaafan daripada mereka kerana kealpaan kita dalam perhubungan dan tidak pernah terlambat untuk menyatakan ungkapan penghargaan, keyakinan dan kesyukuran yang seharusnya kita ucapkan semasa mereka masih hidup.

Sebagai penganut Kristian, kita mempunyai penghiburan besar bahawa kematian bukanlah pengakhiran, dan tidak ada istilah terlambat.

Dan kita semua memerlukan penghiburan sedemikian ... dan peluang kedua. Tidak kira siapa, kita memang selalu tidak sempurna dalam perhubungan.

Kita tidak selalu dapat hadir atau memenuhi permintaan orang tersayang seperti yang diperlukan, ada kalanya, kita mengeluarkan katakata marah dan kecewa yang meninggalkan kesan mendalam, kita mengkhianati kepercayaan orang lain dalam pelbagai cara, dan kita juga selalunya tidak matang dan tidak yakin untuk mengungkapkan perkara yang sewajarnya untuk orang tersayang kita.

Semua kita tidak sempurna dalam perhubungan. Semasa Karl Rahner mengatakan bahawa tidak ada seorang pun daripada kita yang pernah mengalami “simfoni penuh” dalam kehidupan ini, beliau bukan sekadar merujuk kepada fakta bahawa semua kita tidak dapat memenuhi segala impian yang kita impikan, tetapi beliau juga bermaksud bahawa dalam semua perhubungan penting di dalam kehidupan kita, tidak seorang pun daripada kita yang memiliki perhubungan yang sempurna.

Pada akhirnya, semua kita akan kehilangan orang tersayang mungkin dalam keadaan serupa seperti wanita yang kehilangan suaminya, pada waktu yang tidak dijangka dan masih ada perkara yang belum selesai.

Selalunya sentiasa ada perkara yang seharusnya diucapkan tetapi tidak sempat dikatakan begitu juga dengan kata-kata atau perkara yang selalunya tidak harus diungkapkan tetapi telah diucapkan.

Tetapi, sebagai umat Kristian, kita harus berpegang dengan iman kita. Bukan kita sahaja yang banyak kelemahan. Ketika Yesus di ambang maut, semua pengikut-Nya juga telah menghilangkan diri. Mereka menghilangkan diri pada waktu Yesus amat memerlukan mereka. Jumaat Agung pada waktu lampau, juga dianggap memalukan.

Tetapi, pada tahap ini, sebagai umat Kristian, kita tidak percaya bahawa dalam hidup ini, semuanya akan berakhir dengan baik dan kita seharusnya menerima bahawa kehidupan ini tidak selalunya indah. Tetapi, kita percaya kepenuhan dan kegembiraan hidup akan datang kepada kita melalui penebusan akan kesilapan yang telah kita lakukan.

G.K Chesterton mengatakan bahawa agama Kristian itu sangat istimewa kerana ia percaya akan persekutuan para kudus, “mereka yang meninggal masih dapat mengundi.” Oleh itu, lakukanlah lebih dari sekadar undi. Mereka juga masih dapat mendengar apa yang kita katakan kepada mereka.

Jadi ... jika anda telah kehilangan seseorang yang disayangi khususnya dalam situasi yang tidak dijangka dan masih ada perkara yang belum selesai, di mana ada tekanan yang perlu ditenangkan, di mana anda kesal kerana anda seharusnya lebih prihatin, atau anda berasa sangat kesal kerana tidak pernah mengungkapkan rasa kasih dan sayang yang sepatutnya, ketahuilah, anda tidak pernah terlambat. Anda tidak pernah terlambat untuk melakukannya! — Oleh Fr Ron Rolheiser @ Hakcipta Terpelihara 1999-2019

Total Comments:0

Name
Email
Comments